Sabtu, Oktober 31, 2015

Panass...!!! AirAsia runding jual syarikat?


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan sudah mula mengadakan perbincangan bersama pihak bank bagi mengambil alih syarikat penerbangan tambang murah itu pada nilai AS$200 juta (RM859.82 juta).

Menurut laporan Reuters, perkara berkenaan ekoran harga saham syarikat penerbangan berkenaan yang dikatakan telah jatuh merudum.

Selain itu, usahawan dan rakan kongsi perniagaan beliau, Datuk Kamarudin Meranun yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Berhad (AirAsia X), turut dilaporkan meminjam wang ke atas 19 peratus pegangan tidak langsung mereka dalam AirAsia daripada Credit Suisse dan CIMB Bank (CIMB) untuk membantu dana usaha niaga swasta terbabit.

Jelas laporan itu, kejatuhan dalam harga saham AirAsia telah membawa kepada pelanggaran syarat-syarat cagaran pinjaman dan menurut dua sumber, ia adalah salah satu sebab mengapa kedua-dua ahli perniagaan tersebut memulakan rundingan kepada pembelian kuasa pengurusan.

Dalam pada itu, ketika dihubungi, jurucakap AirAsia menolak untuk memberi sebarang komen berkaitan hal itu malah menurut Reuters, Fernandes dan Kamarudin pula tidak membalas emel yang dihantar bagi mendapatkan penjelasan.

Kewujudan pinjaman berkenaan yang tidak pernah didedahkan kepada umum adalah disebabkan transaksi yang bersifat peribadi mula menunjukkan sedikit sebanyak hala tuju serta masa depan syarikat penerbangan berkenaan yang juga merupakan pelanggan utama kepada Airbus di Asia kini terikat kepada pelaburan lain daripada pengasasnya, jelas laporan itu.

Malah mengikut dua sumber yang mempunyai pengetahuan berkaitan situasi itu, pinjaman telah dilakukan bagi membantu membiayai pembelian pada tahun 2011 oleh syarikat induk Fernandes iaitu Tune Group.

Untuk pinjaman saham yang disokong ia merupakan perkara biasa yang berlaku dalam kalangan hartawan di rantau ini, memerlukan sejumlah besar cagaran kerana mereka tertakluk kepada turun naik pasaran saham dan ia adalah situasi yang kurang jelas sekiranya Fernandes dan rakan perniagaannya telah meminta untuk pinjaman yang segera secara rasmi.

Namun begitu, tiada bukti mengatakan sama ada Fernandes atau Kamarudin yang telah memulakan empayar perniagaan yang dianggarkan bernilai melebihi nilai pinjaman saham yang disokong itu dan tidak berkemampuan untuk membayar kembali wang pinjaman itu.

Sementara itu, jurucakap Credit Suisse yang berpangkalan di Hong Kong serta CIMB turut menolak untuk memberikan maklum balas ataupun komen.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Oktober 30, 2015

Justo akan saman tiga pihak terima datanya di Singapura?


Warga Switzerland, Xavier Andre Justo, yang kini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand kerana cuba memeras bekas majikannya PetroSaudi International, akan menyaman pemilik kumpulan media The Edge dan eksekutif tertingginya serta editor Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di Singapura.

Justo mahu Toong Kooi Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Penerbit The Edge Communications Sdn. Bhd., Ho Kay Tat, serta pengasas-editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown memulangkan data yang telah diserahkannya kepada mereka, menurut sumber yang berkaitan dengan kes itu.

Sumber itu memberitahu Bernama bahawa saman itu dijadual didengar di Mahkamah Tinggi di Singapura pada 4 November ini.

Saman itu akan difailkan di Singapura kerana data berkenaan, yang dicuri Justo daripada PetroSaudi, telah diserahkan kepada ketiga-tiga pihak itu di republik berkenaan.

Justo mengaku mencuri data berjumlah 90 gigabyte termasuk e-mel dan dokumen daripada PetroSaudi sebagai sebahagian daripada percubaan untuk memeras bekas majikannya itu.

Apabila percubaan pemerasan itu gagal, dia menyerahkan data berkenaan kepada Toong dan Brown, yang dikatakan telah menawarkan kira-kira AS$2 juta kepadanya, tetapi dia ditangkap pada 22 Jun lalu di pulau Koh Samui di selatan Thailand sebelum menerima bayaran itu.

Pada Isnin, Justo memohon ikat jamin tetapi permohonannya ditolak oleh mahkamah. Justo dijangka memfailkan permohonan baharu untuk ikat jamin pada minggu depan.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Oktober 29, 2015

Pembangkang perlu dedah penyumbang dana politik?


Demi kepentingan politik, parti pembangkang sanggup merahsiakan penyumbang dana politik mereka walaupun mengetahui ada antaranya didakwa terdiri dalam kalangan penyokong kerajaan.

Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff mendakwa, sekiranya sumber dana tersebut didedahkan, perkara itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada kepentingan peribadi penyumbang dan agenda politik parti pembangkang.

“Sampai sekarang, pembangkang tidak pernah dedahkan siapa penyumbang dana politimereka. Boleh jadi sumber tersebut datang daripada individu atau pihak yang sebenarnya menyokong kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

“Mungkin penyumbang dana dan parti pembangkang sudah bersetuju untuk saling membantu dan merahsiakan perkara sebenar demi menjaga kepentingan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim semalam mengenai parti pembangkang terutama DAP dan PKR yang tidak pernah telus dalam perjuangan apabila terus menyembunyikan identiti penyumbang dana politik mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor berkata, parti pembangkang disifatkan seperti baling batu sorok tangan apabila berterusan tidak mahu bekerjasama memberitahu sumber dana politik mereka.

Menurut beliau, sikap degil pembangkang itu seperti tidak menghiraukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

“Adakah parti pembangkang takut jika rakyat mengetahui sumber dana politik yang diterima? dan kenapa perlu takut sekiranya yakin mereka adalah pemimpin rakyat?

“Sudah tiba masanya pembangkang bersikap telus kepada rakyat dan jangan membiarkan isu sumber dana politik mereka disembunyikan,” ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Oktober 27, 2015

Pakatan Pembangkang Bagaikan Ayam Jantan Berkokok?


Pakatan pembangkang sen­tiasa sahaja menganggap merekalah paling hebat, mereka sering menguar-uarkan pa­ling layak memerintah negara dan mereka juga sentiasa mendabik dada sebagai penentang rasuah serta telus dalam apa juga tindakan.

Dalam bahasa mudah apa yang ingin ditunjukkan oleh pembangkang sejak dulu lagi kepada rakyat ialah mereka kelompok manusia yang hebat dari segi politik, telus dalam segala perbuatan, bersih dalam apa juga tindakan dan wira dalam memperjuangkan kebenaran.

Justeru sepanjang masa, apa pun yang dilakukan oleh kerajaan demi rakyat tidak pernah mendapat pujian. Buatlah apa sahaja kebaikan, bentangkan apa juga jasa Barisan Nasional (BN), ia sudah pasti tidak akan mendapat secebispun penghargaan daripada mereka.

Parti-parti pembangkang seperti DAP, PKR dan kini sekutu terbaru mereka yang wujud hasil perpecahan dalam Pas iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) sentiasa sahaja akan membangkang, siang dan malam, pagi petang, subuh mahupun dinihari kerja mereka hanya membangkang. Itulah kehebatan pembangkang di negara ini.

Pakatan pembangkang juga ‘bijak’ dalam seni politik khususnya memanipulasikan sesuatu isu, ‘pandai’ mengambil kesempatan, ‘berani’ dalam tindakan, ‘telus’ dalam berkata-kata dan ‘hebat’ apabila berada dalam gelanggang pilihan raya.

Tetapi ‘kebijaksanaan’, ‘kepandaian’, ‘keberanian’, ‘ketelusan’ dan ‘kehebatan’ itu tidak ke mana apabila sehingga hari ini mereka tidak menyahut cabaran untuk mendedahkan daripada sumber mana dan berapa jumlah dana politik yang mereka peroleh.

Mereka hanya bijak mencerca dan mengkritik habis-habisan dalam isu dana politik yang diperoleh oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sanggup berperangai seperti budak-budak tadika di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu sejurus sahaja Perdana Menteri selesai membentangkan Bajet 2016.

Walaupun Perdana Menteri dan beberapa menteri sudah menjelaskan RM2.6 bilion adalah dana politik manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri sudah mengesahkan ia adalah hasil wang derma namun pakatan pembangkang sengaja memekakkan telinga, menutup mata dan hati untuk menerima penjelasan itu.

Bagi mereka, ia adalah satu-satunya modal politik mereka yang miliki dalam usaha untuk memburuk-burukkan kerajaan BN dan sekali gus meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Tambahan pula Bajet 2016 mendapat reaksi positif daripada rakyat, ini menyebabkan pembangkang bagai ‘cacing kepanasan’, mereka buntu mencari jalan untuk memburuk-burukkan bajet tersebut, apatah lagi ia jauh lebih baik daripada Bajet Bayangan mereka yang boleh dianggap sekadar bahan bacaan bagi meletihkan mata jika tidak boleh lena.


Justeru itulah mereka cuba mengalih tumpuan rakyat kepada Bajet 2016 dengan menganggap bajet tersebut bagi menutup penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN.

Tetapi malangnya, pembangkang sendiri tidak bersikap profesional (walaupun kita tahu mereka tidak memilikinya) apabila membangkitkan isu 1MDB yang masih dalam siasatan dan dana politik yang sudah banyak kali dijelaskan oleh kerajaan.

Kalaulah pembangkang benar bijak, pandai, hebat, telus dan berani sokonglah undang-undang dan peraturan berkaitan dana politik.

Namun malangnya pembangkang diam seribu bahasa, kalaupun ada yang suara seperti biasa BN juga yang diburuk-burukkan. Sepatutnya pembangkang khususnya PKR dan DAP tidak takut atau bimbang untuk mendedahkan sumber dan dana politik masing-masing jika benar mereka bersikap telus dan bertanggungjawab.

Apa yang hendak dibimbangkan kalau dana itu diperoleh daripada sumber yang tidak menyalahi undang-undang, apa yang hendak ditakutkan kalau dana itu disumbangkan oleh mereka yang tiada kepentingan serta apa yang hendak dikhuatirkan kalau dana itu datangnya daripada insan-insan yang ikhlas dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan?

Kenapa hanya mendesak kerajaan berbuat demikian? Kenapa atas dasar kononnya memperjuangkan keadilan, kebenaran dan ketelusan pembangkang tidak mahu menyokong undang-undang mengenai dana politik atau secara sukarela menyahut cabaran agar dana politik diisytiharkan? Apa yang hendak disembunyikan? Apa yang hendak dirahsiakan?

Ini memandangkan pembangkang menyatakan mereka sentiasa telus dalam apa juga perkara dengan rakyat. Oleh itu bersikap terbukalah untuk mengisytiharkan dana politik yang diperoleh bukannya hanya mendesak BN sahaja berbuat demikian.

Melalui cara itu juga ia akan mampu mengelakkan sebarang tuduhan atau tafsiran buruk terhadap perolehan dana oleh parti-parti pembangkang.

Jika pembangkang tidak mahu melakukan apa yang diperkatakan dalam soal dana politik ini maka usahlah bersikap retorik dan hipokrit kononnya mereka kelompok paling bersih di muka bumi Allah ini. Soal ketelusan yang sering mereka laungkan hakikatnya hanyalah mainan lidah tidak bertulang dan sekadar mahu meraih sokongan politik.

Lebih buruk daripada itu rakyat akan menganggap pembangkang negara kita bertaraf ‘ayam jantan berkokok kuat tapi ekor sendiri berlumuran najis’, mengata orang lain berkudis, mereka sendiri sudah berkurap! - Mahukah pembangkang dianggap sedemikian?

Suara Politik
Belantan

Isnin, Oktober 26, 2015

‘Tidak perlu bernostalgia sesuatu pernah berlaku’?


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berhenti mengungkit kisah lama tentang kesetiaannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah fokus terhadap realiti yang akan berlaku.

“Saya hormati apa yang dilontarkan dan hormati perasaan beliau. Namun saya fikir, realiti yang harus dihadapi, kita tidak perlu bernostalgia terhadap sesuatu yang pernah berlaku tapi tak jadi realiti,” katanya disini hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengimbau kesetiaannya sehingga memberi laluan kepada Najib menggantikan Abdullah walaupun mendapat sokongan Mahathir.

Muhyiddin berkata beliau terus membantu Najib sebagai orang nombor dua sebelum krisis 1MDB bermula.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Oktober 25, 2015

Guan Eng perlu tunai 'janji manis' mansuh tol?


Ketua Menteri, Lim Guan Eng digesa menunaikan janji yang dibuatnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 untuk memansuhkan tol di Sungai Nyior di sini.

Selepas memenangi kerusi Parlimen Bagan, Guan Eng didakwa berjanji memohon kepada Kerajaan Pusat untuk menghapuskan tol itu yang menghubungkan Seberang Jaya ke Butterworth dalam tempoh lima tahun selepas 2008.

Namun sehingga kini, tol yang diuruskan pemegang konsesi Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth itu masih beroperasi, ma­lah kadar tolnya dinaikkan dari 50 sen untuk kereta kepada RM1.20 sejak minggu lalu.

Naib Ketua Pemuda Gerakan Bahagian Bagan, Tan Gia Wei berkata, Guan Eng seolah-olah melupakan janjinya apabila masih berdiam diri mengenai isu tol itu.

KHAW TEE YONG menunjukkan keratan akhbar mengenai janji Lim Guan Eng pada Pilihan Raya Umum Ke-12 mahu memansuhkan tol di Sungai Nyior di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.

“Selepas PRU 2008, Guan Eng janji untuk hapuskan tol ini, tapi sehingga sekarang iaitu selepas tujuh tahun, tol ini masih beroperasi dan kadarnya turut dinaikkan.

“Tol ini amat membebankan rakyat kerana jarak antara Seberang Jaya ke Butterworth hanya tiga kilometer tapi terpaksa bayar tol yang mahal,” katanya kepada pemberita di plaza tol itu hari ini.

Perkara sama diakui Ketua Komunikasi MCA Bagan, Khaw Tee Yong yang mahu Guan Eng tidak bersikap lepas tangan dengan janji yang dibuatnya.

Jelasnya, Guan Eng perlu kotakan janji menghapuskan kutipan tol itu serta tidak berdolak-dalik.

“Mana janjinya untuk bentangkan perkara itu di Parlimen? Kami kecewa dengan sikap Guan Eng yang tidak hiraukan masalah rakyat.

“Jika beliau ikhlas mahu membela rakyat, sila bentangkan cadangan penghapusan tol itu di Parlimen dalam sidang kali ini,” ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Oktober 24, 2015

Intipati Rumusan Pembentangan Bajet 2016 Malaysia


Bajet 2016 memperuntukkan RM 167.2 Billion dan Bajet 2016 kali ini bertemakan “Mensejahtera Kehidupan Rakyat” bertunjangkan 5 keutamaan utama.

* Kelajuan intenet luar bandar akan ditambah kelajuan 5 kali ganda daripada 5 Mbps kepada 20 Mbps.

* Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara-Johan Setia, Klang dengan anggaran kos pembinaan RM10b mula dibina 2016, siap pada 2020.

* RM 200 juta menaiktarafkan jalan di kawasan FELDA. Manakala RM1.4b bagi membina serta naik taraf jalan luar bandar sepanjang 700km di seluruh negara.

* Pengecualian duti setem sebanyak 20% ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah.

* Projek Bus Rapid Transit KL-Klang pada kos melebihi RM1.5b dan Bus Rapid Transit Kota Kinabalu pada kos hampir RM1b akan dilaksanakan.

* Kerajaan akan bina tambahan lagi 30 Sekolah Rendah, 27 Sekolah Menengah, 4 MRSM dan 5 SBP.

* Bantuan Persekolahan RM100 akan diberikan kepada Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah.

* Bantuan Persekolahan RM100 akan dibayar pada Januari 2016 namun dikhususkan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 dan kebawah.

* Program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada pelajar IPT sebanyak RM250 diteruskan pada Bajet 2016.

* Bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) hanya boleh ditebus di Kedai Buku yang diiktiraf Sahaja dan tidak boleh ditebus dikedai yang tidak berdaftar.

* Lebuhraya pertama iaitu Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan bebas daripada bayaran tol.

* Program e-Rezeki dan e-Usahawan akan diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.

* Program Rumah Mampu Milik diperluaskan seperti PR1MA, Rumah Mesra Rakyat, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Program Rumah Pertama dan Program Perumahan Rakyat.

* Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama bagi individu yang belum memiliki rumah. Melalui skim ini, kerajaan akan membantu individu yang belum pernah memiliki rumah untuk mendapatkan bantuan deposit perumahan.

* Gaji kakitangan awam naik kepada 1 Gred.

* Gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada RM1200 sebulan.

* Kadar pencen minimum bagi golongan pesara kerajan dinaikkan kepada RM950 sebulan.

* Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2016 diteruskan dan dinaikkan.

* BR1M Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3k ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1000.

* BR1M Kategori baru diperkenalkan bagi penerima dalam senarai e-Kasih yg berpendapatan bulanan bawah RM1k akan terima BR1M sbyk RM1050.

* BR1M Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3k ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1000.

* BR1M Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4k, pemberian BR1M ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800.

* BR1M Bagi individu bujang 21 tahun ke atas, pendapatan tidak melebihi RM2k sebulan, bantuan ditingkatkan drp RM350 kpd RM400.

* BR1M Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak RM1000 akan diteruskan.

* Berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada RM900 kpd RM1,000 sebulan bagi Semenanjung.

* Gaji minimum Sabah, Sarawak dan WP Labuan dinaikkan RM920 sebulan daripada RM800 bagi semua sektor kecuali perkhidmatan domestik/pembantu rumah.

* Bayaran khas bonus RM500 bagi kakitangan awam akan dibayar pada Januari 2016.

* Pesara Kerajaan akan menerima bayaran bantuan khas atau bonus sebanyak RM250 dan dibayar pada Januari 2016.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Oktober 22, 2015

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina..!!! Bantah kenaikan Tol?

KERATAN akhbar China Press bertarikh 16 Oktober 2015

AKHBAR China Press bertarikh 16 Oktober 2015 menyiarkan artikel mengulas kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya baru-baru ini setelah Kerajaan Pusat memutuskan untuk menghentikan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi.

Artikel bertajuk ‘Si pencekik darah bantah pencekik darah’ yang ditulis oleh Lai Shao Kwang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C9.

Ada pihak mendakwa kenaikan kadar tol itu dilakukan secara mengejut, tiada sebarang perbincangan dan dilaksanakan pada waktu tidak sesuai ketika berlaku peningkatan kos sara hidup.

Benarkah langkah ini dibuat secara mengejut? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana semua pihak mengetahui bahawa kadar tol rendah yang dinikmati rakyat sekarang kerana kerajaan telah membayar pampasan kepada syarikat konsesi. Kadar tol akan naik pada bila-bila masa sahaja jika bayaran ganti rugi berkenaan dihentikan.

Misalnya, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP). Kenaikan kadar tol sepatutnya dibuat pada 2007, tetapi kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) ingin meraih undi pada pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada waktu terdekat maka peningkatan itu ditangguhkan.

Dalam tempoh tujuh tahun penangguhan itu, Kerajaan Pusat telah membayar ganti rugi sebanyak RM89 juta kepada syarikat pengendali LDP.

Lebuh raya lain juga beroperasi menurut model yang sama, jadi tidak benar dakwaan kenaikan kadar tol baru-baru ini berlaku secara mendadak.


Cuma yang ingin penulis bangkitkan ialah sikap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang seolah-olah bersetuju kenaikan kadar tol LDP dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) sedangkan kerajaan negeri memiliki 20 peratus saham dalam LDP dan Lebuh Raya Sprint melalui Kumpulan Perangsang dan 30 peratus dalam Kesas melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dua tahun lepas, diberitakan PKNS mahu menjual saham dalam Kesas dengan nilai jualan RM375 juta tetapi wakil rakyat daripada DAP membantah kerana berpendapat pemilikan saham berkenaan akan membolehkan kerajaan PKR Selangor bersuara dan menolak sebarang cadangan menaikkan kadar tol pada masa depan.

Bagaimanapun, setelah tol dinaikkan, barulah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mahu bertanyakan kepada syarikat konsesi berkenaan rasional peningkatan kadar tol. Langkah itu ibarat air banjir sudah masuk ke dalam rumah baru nak berbincang. Adakah ini sikap sebuah kerajaan negeri yang dikatakan sayangkan rakyat seperti anak sendiri.

Kerajaan Pusat yang diterajui BN pula mempunyai alasan tersendiri kenapa kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan kerana syarikat konsesi boleh menyaman kerajaan jika langkah itu dihalang dan jika ganti rugi terus dibayar kerajaan akan muflis.

Dalam pada itu, kita tidak dapat menerima alasan Menteri Kerja Raya, yang seolah-oleh mahu melepas diri daripada bertanggungjawab apabila menyatakan persetujuan kenaikan kadar tol itu telah dibuat oleh pemimpin kerajaan yang lepas.

Adakah bertukar Perdana Menteri itu bermakna telah tukar kerajaan sedangkan pemerintah sekarang juga daripada BN?

Apapun alasan yang diberikan Kerajaan Pusat dan kerajaan PKR Selangor, satu hakikat yang harus difahami ialah rakyat perlu memastikan kenaikan kadar tol tidak menguntungkan pemegang saham syarikat konsesi dan ‘kroni’ pihak tertentu semata-mata sehingga mereka menjadi gemuk.

Perjanjian dengan syarikat konsesi yang ibarat ‘perjanjian dengan lanun’ yang dibuat oleh kerajaan terdahulu juga perlu disemak semula. Pastikan juga sebahagian besar tol yang dikutip dapat diagihkan kembali kepada rakyat.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Oktober 21, 2015

SEMAKIN KURANG AJAR : Video MP DAP Halang Pembinaan Masjid Kerana Azan?




Menjadi viral di laman-laman sosial hari ini apabila cadangan pembinaan sebuah masjid di sebuah taman di Kota Kinabalu, Sabah telah dihalang oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang mewakili DAP, Jimmy Wong sehingga menimbulkan sedikit ketagangan disana.

Video yang berdurasi 2 minit 46 saat ini telah dimuat naik semula oleh orang ramai berikutan kritikan berterusan Jimmy Wong berhubung laungan azan yang mengganggu penduduk bukan Islam di Kota inabalu sejak akhir-akhir ini.

Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar tahun 2014 ini sememangnya menimbulkan kemarahan umat Islam di Kota Kinabalu berikutan Jimmy yang sering kali menemplak umat Islam disana dengan kata-kata yang disifatkan sebagai menghasut dan melanggar kontrak sosial yang telah di perakui sejak zaman berzaman.

Tidak kira apa pun parti ikutan kita, hak beragama di negara ini tidak pernah dipersoalkan sejak sekian lama, namun selepas DAP berjaya meraih banya kerusi pada Pilihanraya Umum yang ke 13 lalu, mereka dilihat semakin biadab dan kini berani mempertikaikan hak mutlak Islam di Malaysia.

Mungkin ada yang terlupa, didalam Perlembagaan Malaysia, Islam diperakui sebagai agama rasmi negara manakala hak-hak kaum bumiputera terutamanya Melayu sentiasa dipelihara daripada dicabuli oleh mereka-mereka yang berniat mahu menghapuskan hak istimewa kaum bumiputera di Malaysia

Menyentuh kaum Bumiputera, ianya bukan tertakluk kepada satu kaum sahaja iaitu Melayu. Ianya tertakluk kepada Orang Asli, Iban, Bidayuh, Kenyah, Melanau, Ulu, Kayan, Kadazan, Murut, Sulu, Bajau dan lain-lain lagi. Tidak kurang daripada 70 kaum Bumiputera telah dicatatkan didalam Perlembagaan negara hari ini.

Sumber : BBB

Suara Politik
Belantan

Apa lagi MCA mahu?


MCA perlu membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan Cina, barulah boleh menuntut ini dan itu. Jika tidak, tidak perlu terlalu bising sangat.

Buatlah kajian akademik kenapa MCA, mahupun Gerakan dan SUPP tidak mendapat perhatian orang Cina. Isu Cina babi dan sekolah vernakular yang dibangkitkan, perlu juga dilihat secara positif, kenapa Melayu memberi respons sedemikian, tentu ada sebab.

Melayu Islam yang saya kenali tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat jika mereka tidak marah. Melayu pantang dicabar dan rasa tercabar. Cuba fahami psiko orang Melayu sebagaimana saya fahami.

Sudah acap kali saya sebut dalam ceramah dan tulisan bahawa saya amat tidak bersetuju dengan kata-kata kesat stereotaip seperti 'Cina babi', 'Cina mampus', dan sebagainya.

Tidak kurang pula yang memuji seperti Cina rajin, Cina pandai berniaga dan pujian positif yang lain. Justeru, janganlah terlalu sensitif, sehingga terlalu memaksa.

Apabila PM berkata, SJKC akan terus kekal dalam sistem pendidikan, maka buatlah penambahbaikan supaya operasi tidak terlalu kecinaan, sehingga lebih Cina daripada Cina di negara China.

Biar pelat sedikit dalam bahasa ibunda, tak apa. Asalkan bahasa kebangsaan dimartabatkan. Begitu juga, jika mahu UEC diiktiraf, maka ikutlah syarat-syarat KPM. Kenapa susah sangat mahu memenuhi permintaan KPM? Bukan mahu mengasimilasikan orang Cina.


Pernahkah kajian dibuat, kenapa pelajar berada dalam universiti awam mahupun swasta, masih lagi hidup dalam kotak perkauman. Pergi ke kelas, duduk sesama mereka, keluar kelas, ke kantin sesama mereka. Boleh dikatakan, kita akan nampak dengan jelas tompok, putih, hitam, antara keduanya, di dalam dan di luar kelas.

Terlalu obses dengan jawatan dan mahukan itu dan ini juga membahayakan sebab mencabar kesabaran Melayu. Orang Melayu diminta berkorban, sedangkan diri sendiri tidak menampakkan pengorbanan tersebut.

Ikutlah tindak-tanduk Parti Progresif Penduduk (PPP), bersedia melepaskan kerusi yang ditandinginya kepada Gerakan jika itu yang diminta. PPP bukan sebuah parti yang mementingkan kerusi. Sebaliknya mementingkan perpaduan dalam BN dan semangat kerjasama untuk memastikan kemenangan BN.

Pada PRU13, PPP gagal memenangi semua kerusi yang diambil daripada Gerakan. Apakah Gerakan boleh memenangi kerusi tersebut jika diberi semula? Seperti syor saya minggu lalu kepada MCA, Gerakan juga tidak layak untuk menduduki kerusi Kabinet berasaskan kepada prestasinya. Namun, diberi juga atas nama setia kawan.

Berbalik kepada MCA, cadangan agar kerajaan mewujudkan Majlis Rekonsilasi Tadbir Urus Politik, Hal Ehwal Agama dan Perpaduan bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan sosioekonomi masyarakat, tidak perlu kerana kita sudah ada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Perkukuhkan JPNIN. Ketuanya juga adalah orang Cina.

MCA juga mendesak mahu menubuhkan sebuah Bank Koperasi Kojadi bagi memperkasakan pembangunan ekonomi dan transformasi secara berkesan. Mungkin mahu mencontohi kejayaan Bank Rakyat. Tak puas lagi dengan apa yang ada? Apa lagi MCA mahu?


Bayangkan selepas ini semua parti BN mahu menubuhkan bank koperasi, apakah kerajaan juga akan tunduk? Cadangan saya, jutawan-jutawan MCA, tampillah membantu orang Cina. Bayangkan daripada 40 terkaya di Malaysia, hampir 30 ialah orang Cina, masih tidak mampukah untuk bantu orang Cina yang lain sehingga terpaksa tubuh bank?

Zaman globalisasi hari ini kerajaan sibuk untuk mengecilkan bilangan bank, MCA pula mahu menambah bank. Kenapa begitu ultra kiasu.

Janganlah terlalu fokus kepada ekonomi sangat kerana kedudukan orang Cina secara puratanya sudah teguh. Jika mahu fokus pun, tumpukan kepada Cina yang masih gelandangan atau mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Tidak perlu menyenangkan lagi yang sudah kenyang.

Fokus utama kini adalah fikirkan bagaimana mahu merapatkan hubungan kaum Cina-Melayu terutama melalui pendidikan. Bantulah kerajaan untuk memberikan kefahaman kepada NGO ultra kiasu, terutama penambahbaikan SJKC supaya operasinya tidak terlalu kecinaan seperti saya syorkan minggu lalu.

Jika asimilasi itu sudah ditolak sepenuhnya, integrasi dan akomodasi yang menjadi keutamaan, lakukan yang terbaik untuk menjunjung agenda negara, bukan mewujudkan negara dalam negara.

Jika perkara ini tidak diperbaiki, tidak mustahil akan muncul banyak lagi perhimpunan baju merah melawan kuning. Perkataan yang lebih kesat akan keluar. Ketika itu tidak guna lagi beremosi.

Oleh : Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PP1, UNISZA

Suara Politik
Belantan

Selasa, Oktober 20, 2015

HARAPAN BAJET RAKYAT?


Bagaimana Bajet 2016 boleh membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi? Satu kajian menunjukkan 79 peratus mencadangkan pengurangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diikuti 68 peratus tumpuan kepada kawalan harga lebih ketat dan 51 peratus mahu lebih banyak subsidi.

Turut mendapat perhatian ialah 41 peratus mencadangkan penurunan kadar tol; 31 peratus meningkatkan gaji minimum; 23 peratus perbanyakkan bantuan untuk golongan kurang berkemampuan dan 6 peratus lebih banyak pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Apakah langkah yang bakal diumumkan oleh Najib dalam pembentangan bajet Jumaat ini? Setakat ini cadangan untuk menurunkan kadar tol tidak menjadi kenyataan selepas 12 lebuh raya di Lembah Klang mengenakan kadar baharu mulai Khamis lalu. Beberapa lebuh raya di Pulau Pinang dan Johor turut mengambil tindakan yang sama. Jika kadar baharu itu ditarik balik, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat.

Pampasan itu juga datang daripada wang rakyat yang tidak semuanya pengguna lebuh raya bertol. Wang pampasan itu sepatutnya diagihkan kepada keperluan lain termasuklah BR1M.

Berkaitan subsidi, rasionalisasi subsidi telah dilaksanakan dengan pengurangan subsidi bahan api dan gula. Kita harus bersedia untuk menerima pengurangan subsidi ini kecuali dalam hal berkaitan pendidikan dan kesihatan. Program subsidi menjadi tidak efektif dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukannya atau yang kurang bernasib baik.

Subsidi akhirnya turut dinikmati golongan kaya, warga asing dan perniagaan besar. Di samping membantu golongan kurang berkemampuan, bajet kali ini diharap dapat memberi perhatian terhadap usaha mengurangkang kos sara hidup rakyat.

Kawalan harga barang dan perkhidmatan perlu dilakukan dengan lebih baik. Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam juga perlu dipertingkatkan jika mahu membantu rakyat mengurangkan kos harian mereka. Diharapkan Bajet 2016 melegakan rakyat di setiap peringkat.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Oktober 19, 2015

Rumah di Selangor taraf 'mampu tengok'?

lsmail (tengah) ketika menjawab soalan media pada Himpunan Selamatkan Selangor, hari ini.

Taraf rumah-rumah yang dibina di negeri Selangor didakwa 'mampu tengok' bukan mampu milik kata Umno Ampang.

Ketuanya, Datuk Ismail Kijo berkata, pasangan muda yang mendirikan rumah tangga menghadapi masalah untuk mencari rumah pada harga yang mampu milik.

"Janji pilihan raya yang dibuat PR pada 2008, mereka kata tujuan utama kalau menang, mereka akan buat rumah murah seberapa banyak yang boleh dengan tujuan memberi kepuasan dan peluang kepada pasangan baru kahwin.

"Tapi sehingga hari ini, di kawasan Ampang, tiada satu pun rumah murah. Setahun kira-kira 480 pasangan baharu, di mana mereka nak tinggal?" katanya ketika berucap pada Himpunan Selamatkan Selangor, di sini, hari ini.

Beliau juga mendakwa, rumah murah yang sepatutnya dibina di kawasan Ampang juga akhirnya tidak kelihatan sebaliknya rumah yang berharga RM300,000 didirikan.

"Yang lebih malang, kerajaan Selangor telah meluluskan rumah-rumah yang mampu tengok sahaja. Harga termurah RM700,000 seunit. Siapa yang mampu beli?


"Kemudian di kawasan Ampang ini, di Kosas, berhampiran dengan tanah perkuburan, tanah itu memang milik kerajaan negeri yang diberi kepada syarikat swasta yang dulunya nak dibina rumah murah tapi hari ini, kita lihat iklan yang dikeluarkan, rumah di situ hampir RM300,000 seunit. Siapa nak beli?" katanya.

Oleh itu, beliau menggesa agar pasangan muda yang baharu mendirikan rumah tangga dan memerlukan rumah untuk bangkit menuntuk kepada kerajaan negeri agar disediakan rumah yang murah.

Perhimpunan Selamatkan Selangor yang dijadualkan di sekitar pusat membeli belah Spectrum, Ampang ditukar lokasii ke bangunan Umno Ampang susulan tidak mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Himpunan bagi menyatakan bantahan kepada pentadbiran Menteri Besar Selangor, Azmin Ali itu dihadiri beberapa pemimpin Umno termasuk Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dan Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Oktober 18, 2015

Kedudukan ahli Parlimen Pas bakal berubah Isnin ini?


Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang bersidang Isnin ini akan menyaksikan perubahan tempat duduk beberapa ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang berikutan rentetan persitiwa dalam senario politik kebelakangan ini.

Kedudukan barisan ahli Parlimen Pas, yang diketuai presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini telah berubah dari Blok I ke Blok G dan ada yang di Blok F.

Sebelum ini, semasa bersama dalam pakatan pembangkang, Abdul Hadi berserta beberapa pemimpin kanan parti itu diletakkan bersama dengan kepimpinan parti PKR dan DAP di Blok I, mengikut rajah tempat duduk ahli-ahli Dewan Rakyat yang dimuatkan dalam laman web Parlimen Malaysia www.parlimen.gov.my.

Tempat duduk Pas kini telah diisi oleh parti baharu, Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan parti serpihan Pas, yang kini telah bergabung dengan PKR dan DAP dan menamakan gabungan mereka sebagai Pakatan Harapan.

Naib Pengerusi parti itu, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) kini duduk sebaris dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan ketua pembangkang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di Blok I, iaitu di I-3.

Turut berada dalam Blok I tersebut adalah ahli jawatankuasa parti itu Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang), ahli jawatankuasanya Khalid Abd Samad (Amamah-Shah Alam), ketua wanitanya Siti Mariam Mahmud (Amanah-Kota Raja) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah-Kuala Terengganu).

Seorang lagi ahli parti itu iaitu ahli jawatankuasa parti itu, Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Kuala Krai) ditempatkan di Blok H sebaris dengan Timbalan Pengerusi PKR, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai (DAP-Cheras) dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Pas kini hanya mempunyai 14 ahli Parlimen berbanding 21 sebelum ini.

Selain ahli Parlimen Pas yang menyertai Amanah, seorang lagi ahli Parlimen Pas dari Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar telah menyertai PKR pada 11 September lepas.

Sementara itu, ahli Parlimen DAP veteran, Dr Tan Seng Giaw kini telah dipindahkan ke Blok F. Sebelum ini, beliau adalah antara ahli Parlimen DAP yang ditempatkan bersama pemimpin kanan parti pembangkang di Blok I.

Kedudukan tempat duduk ahli Parliamen dari Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat turut berubah berikutan pengguguran lima anggota Parlimen BN daripada Kabinet pada rombakan 28 Julai lepas.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri kini ditempatkan di barisan pertama Blok A sebelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, manakala Muhyiddin diletakkan di barisan pertama Blok E, bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Turut ditempatkan di Blok E ialah bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekas presiden MIC dan bekas menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan bekas menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin.

Tempat Palanivel sebelum ini di Blok A, diganti oleh Presiden MIC baharu, Datuk Seri Dr S Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan.

Sementara kedudukan kerusi barisan menteri yang baharu dilantik turut berubah termasuk Datuk Hamzah Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).

Selain beberapa perubahan dengan pelantikan baru jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir anak Kujat, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh anak Gumbek.

Selain itu, muka baharu dalam Dewan Rakyat terdiri daripada Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Senator Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pendidikan.

Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin ini akan berjalan selama 25 hari dijangka hangat dengan pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini oleh Najib serta isu-isu semasa.

Najib juga dijangka mengemukakan usul untuk menamakan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baharu bagi menggantikan Nur Jazlan yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Dalam pada itu, laporan akhir persempadanan semula bahagian-bahagian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka dibentangkan pada persidangan kali ini berikutan kemungkinan ia akan diadakan awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dipetik sebagai berkata pembentangan laporan itu bagi membolehkan 11 kerusi Dun yang baharu diwujudkan, mendapat kelulusan dan diwartakan, sekali gus menjadikan keseluruhannya 82 kerusi Dun dipertandingkan pada PRN Sarawak ke-11.

Dalam pada itu, lima rang undang-undang dijadual untuk dikemukakan bagi bacaan kali pertama iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan 2016, Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Syarikat 2015 dan Rang Undang-Undang Skim Kepentingan 2015.

Empat lagi rang undang-undang yang dibawa dari mesyuarat lepas turut disenarai untuk dikemukakan bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-undang Keterangan (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015, Rang undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2014.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Oktober 17, 2015

DAPig Perak gesa MCA negeri putus hubungan dengan Umno?

Kah Woh (tengah, duduk) bersama sebahagian pimpinan DAP Perak.

DAPig Perak menggesa MCA Negeri memutuskan kerjasama politik dengan Umno berikutan kenyataan berbaur perkauman yang diluahkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Setiausahanya, Wong Kah Woh berkata, tindakan itu perlu dilakukan kerana tiada sebarang hukuman dikenakan terhadap Tajuddin meskipun aduan rasmi telah dihantar MCA Negeri kepada BN Perak pada 12 Oktober lalu.

"MCA Negeri perlu memutuskan hubungan dengan Umno yang dilihat gagal dan enggan mengambil tindakan terhadap Tajuddin sehingga ke hari ini.

"MCA Negeri juga seharusnya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melucutkan jawatan Tajuddin selaku Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Wisma DAP Perak, disini, hari ini.


Hadir sama Penolong Setiausaha DAP Perak,Yong Choo Kiong, Bendahari DAP Perak, Teh Hock Ke dan Ketua Pemuda Sosialis DAP Perak, Howard Lee Chuan How.

Menurutnya, kenyataan berbaur perkauman itu perlu dipandang serius oleh Umno kerana ia bukan pertama kali diluahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

"Pada tahun 2006, kalau tak silap saya, beliau pernah mengugut untuk mencederakan Pengerusi DAP Perak, Ngar Kor Ming," katanya.

Beliau berkata, DAP Perak juga akan mengadakan ceramah di Parlimen Pasir Salak pada penghujung Oktober depan bagi mendesak hukuman tatatertib dikenakan terhadap Tajuddin.

"Ia bertujuan mendesak dan memberi tekanan kepada BN dan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadap beliau," katanya.



Sebelum ini, Tajuddin dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman selepas Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang melakukan lawatan di Jalan Petaling pada 25 September lalu.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Tajuddin selain menganggap ucapannya telah disalah tafsir oleh sebahagian media.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Oktober 15, 2015

1MDB gesa Tony Pua 'cakap dan buat'?


1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menggesa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua 'cakap dan buat' dan menyediakn bukti jelas kepada pihak berkuasa undang-undang untuk tindakan selanjutnya.

"1MDB secara konsisten menyatakan jika terdapat sebarang bukti salah laku, maka tindakan perlu dilakukan melalui undang-undang," kata 1MDB dalam kenyataan, di sini.

"Bagaimanapun, jika Pua tidak dapat menyediakan bukti maka beliau perlu berhenti membuat dakwaan liar dan tidak berasas yang secara jelasnya bermotifkan politik," kata kenyataan itu.


Syarikat milik kerajaan itu berkata Pejabat Peguam Negara sudah mengemukakan fakta berkaitan siasatan 1MDB melalui kenyataan yang jelas dikeluarkan pada 13 Oktober 2015 dalam www.agc.gov.my.

"Dalam ringkasan Pejabat Peguam Negara telah mengkaji semua dokumen berkaitan dalam kertas siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) mematuhi undang-undang tadbir berkaitan perkara terbabit dan mengesahkan 'tidak ada kesalahan telah dilakukan' oleh 1MDB," katanya.

1MDB juga berkata syarikat akan terus bekerja rapat dengan Jabatan Audit Negara bagi menyediakan maklumat yang dikehendaki untuk laporan akhir yang akan dikemukakan pada hujung tahun ini kepada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara) yang dianggotai Pua.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Oktober 14, 2015

Benarkah masyarakat dunia hilang percaya terhadap Malaysia?


Malaysia sedang berhadapan dengan masalah besar apabila rakyat dan masyarakat antarabangsa sudah mula hilang kepercayaan terhadap integriti dan kewibawaan pemimpin di negara ini.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka turut mempertikaikan tentang beberapa isu lain, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion, kepimpinan dan ekonomi negara.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, isu dibangkitkan itu telah menjejaskan integriti negara di peringkat global dan akhirnya memberikan kesan buruk kepada negara.

"Saya ada ramai kawan di luar negara dan mereka hubungi saya serta bertanyakan 'What is happening to Malaysia? (apa sudah berlaku pada Malaysia). Mereka mengaku sudah hilang kepercayaan terhadap Malaysia. Begitu juga apa yang diperkatakan oleh pemimpin kerajaan.

“Ini masalah besar kepada negara. Malah ketika di Jakarta baru-baru ini atas urusan Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin Yasin (TSMCG), saya turut diminta oleh tokoh perniagaan terkenal negara itu menceritakan masalah yang berlaku di negara ini.


Saya beritahu apa yang beliau ingin tahu kerana saya seorang yang bercakap benar," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ketua-ketua Kampung Negeri Johor Kali ke-15 di Kompleks Sri Pekembar Pagoh, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Senator Datuk Noriah Mahat, Ketua Puteri Umno Bahagian Pagoh, Rohaizah Ahmad dan Pengerusi Persatuan Ketua-ketua Kampung Negeri Johor, Rosli Kasmin.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, suatu masa dahulu kejayaan dan kehebatan Malaysia dalam pembangunan, pertumbuhan ekonomi yang pesat serta kemasukan pelaburan berbilion ringgit sering menjadi topik perbualan masyarakat antarabangsa.

Namun katanya, apa yang berlaku hari ini sebaliknya, apabila ramai memperkatakan perkara yang tidak baik tentang Malaysia, seolah-olah sudah melupakan kejayaan negara sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin juga mahu rakyat memanfaatkan kemajuan yang dicapai di negeri ini kerana Johor telah banyak mengalami pembangunan serta perubahan pesat berbanding ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor pada tahun-tahun 90-an.

“Saya mahu Johor bangkit membangun sebagai kuasa baharu, bukan sahaja untuk negara tetapi di rantau Asia Tenggara. Rakyat negeri ini semakin bijak dan mereka sentiasa mahu mengetahui masalah yang berlaku dalam negara.

“Johor adalah kubu kuat Umno dan BN. Kita mahu pertahankan negeri Johor jadi kawasan biru dan begitu juga dengan bendera Johor supaya terus berkibar megah," katanya.

Suara Politik
Belantan

Pesawat penumpang MH17 ditembak BUK?


AMSTERDAM - Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) mengesahkan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine tahun lepas.

Pengerusinya, Tjibbe Joustra berkata, peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.

“MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK,” katanya ketika membentangkan laporan akhir tragedi MH17 di Pangkalan Udara Gilze-Rijen, Belanda hari ini.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada ketinggian 9,144 meter dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Semua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, terkorban.

Joustra berkata, siasatan mendapati, MH17 terbang secara normal sehingga pada masa kejadian, apabila pesawat itu melintasi ruang udara timur Ukraine.


Beliau berkata pada pukul 1.25 tengah hari waktu tempatan, peledak 9N314M yang dilancarkan menerusi sistem peluru berpandu BUK dari timur Ukraine, meledak di sebelah kiri dan atas kokpit.

“Bahagian hadapan pesawat itu ditembusi oleh beratus-ratus objek berkuasa tinggi daripada bahan peledak tersebut.

“Berikutan daripada impak dan letupan berikutnya, tiga anak kapal dalam kokpit terbunuh serta-merta dan pesawat itu berkecai di udara,” katanya.

Beliau berkata, bangkai pesawat terbabit bertaburan dalam jarak 50 kilometer persegi.

Laporan itu dikeluarkan 15 bulan selepas siasatan oleh pasukan antarabangsa dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

Joustra berkata, laporan akhir oleh DSB itu dibuat berdasarkan siasatan kepada beberapa sumber termasuk sistem senjata yang digunakan, corak kerosakan pada badan pesawat, serpihan yang dijumpai di lokasi kejadian dan badan penumpang, serta bagaimana pesawat itu pecah.


Tambah beliau, penemuan itu juga disokong oleh data dalam perakam penerbangan termasuk Perakam Suara Kokpit (CVR) yang merekod bunyi bising semasa detik akhir kejadian.

“DSB turut menolak punca tragedi disebabkan letupan dalam pesawat atau ditembak oleh peluru berpandu udara ke udara,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada keadaan tidak selamat konflik di Ukraine ketika itu, Kiev sepatutnya menutup ruang udara di kawasan tersebut.

“Kami memutuskan, Ukraine sebenarnya mempunyai alasan yang kuat untuk menutup ruang udaranya,” ujar Joustra.

Mereka yang terbunuh adalah 192 warganegara Belanda; Malaysia (44); Australia (27); Indonesia (12); United Kingdom (10); masing-masing empat dari Belgium dan Jerman; Filipina (3); dan masing-masing satu dari Kanada, dan New Zealand.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Oktober 13, 2015

Cubaan sabotaj - Khairuddin, Matthias didakwa?


Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Khairuddin dan Matthias. Kedua-duanya merupakan tertuduh pertama didakwa mengikut seksyen tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Ra­ya, Masri Mohd. Daud dan Mohd. Dusuki Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh terbabit diwakili peguam-peguam bela, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Zainur Zakaria.

Semasa prosiding, keadaan menjadi agak tegang apabila Masri memohon sebutan semula kes itu dibuat dalam tempoh sebulan agar segala dokumen berkaitan kes ber­kenaan dapat dilengkapkan sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau juga tidak mencadangkan sebarang jumlah ikat jamin kerana pertuduhan tersebut tergolong di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan.

Mohamed Haniff bagaimanapun membantah atas alasan tiada asas yang menunjukkan bahawa pertuduhan terhadap Khairuddin, 53, dan Matthias atau nama penuhnya Chang Wen Chieh, 65, tergolong di bawah akta terbabit.

Beliau juga memohon agar kes itu dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan sama ada Seksyen 124L tergolong di bawah SOSMA kerana ia boleh menjejaskan urusan ikat jamin kedua-dua tertuduh.

Selepas mahkamah berhenti seketika, Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan sebutan semula kes itu pada 26 Oktober ini dan tiada jaminan dibenarkan.

Terdahulu, sebelum Mahkamah Majistret mula bersidang, penyokong dan ahli keluarga kedua-dua tertuduh dilihat bersorak dan melambai ke arah Khairuddin dan Matthias ketika mereka berdua dibawa keluar dari lokap ke kandang tertuduh.

Kedua-dua lelaki terbabit pada ketika itu berada dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap berwarna jingga. Pakaian tersebut bagaimanapun dilihat telah ditukar sebelum mereka dibawa pulang ke penjara.

Matthias juga sempat menyatakan bahawa dia tidak bersalah dan menyatakan bahawa mogok lapar­nya sudah memasuki hari kelima sejak dia ditahan pada 8 Oktober lalu.

Yang turut hadir di mahkamah hari ini ialah isteri Khairuddin yang juga pelakon, Datin Seri Umie Aida, anak pasangan tersebut Mohd. Daniel Firdaus dan adik kepada Umie, Betty Rahmad.

Berhubung permohonan habeas corpus bagi mencabar penahanan Khairuddin di bawah SOSMA, Mohamed Haniff berkata, kes itu akan disebut esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Ha­shim namun beliau belum dapat memastikan sama ada permohonan itu akan diteruskan memandangkan anak guamnya itu telah didakwa hari ini.-UMO

Suara Politik
Belantan


Isnin, Oktober 12, 2015

Langgar Bai’ah: Mujahid, Mohammad Nizar 
didesak letak jawatan Ahli Parlimen, ADUN?


Berikutan tindakan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meninggalkan Pas, kedua-duanya kini didesak oleh parti itu supaya mengosongkan kerusi masing-masing.

Desakan tersebut dibuat terhadap kedua-dua bekas pemimpin Pas itu setelah mereka didakwa melanggar bai'ah dengan bertindak melompat parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang baru sahaja diluluskan oleh Jaba­tan Pendaftaran Per­tubuhan (ROS).

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, kedua-dua wakil rakyat itu telah menandatangani bai'ah ketika dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu di atas tiket Pas.

Katanya, berdasarkan bai'ah tersebut, mana-mana calon yang telah memenangi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kemudiannya bertindak meninggalkan Pas, maka mereka perlu meletak jawatan dan mengosongkan kerusi tersebut.

“Sebagaimana yang umum ketahui, Dr. Mujahid telah diisytiharkan sebagai Naib Pengerusi 1 Amanah, manakala Nizar pula dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat parti dan Naib Pengerusi Amanah Perak.

“Disebabkan itu, berdasarkan perjanjian yang telah dibuat oleh mereka, Pas mendesak supaya kedua-duanya mengosongkan jawatan yang telah mereka menang atas tiket diamanahkan oleh parti kepada mereka pada pilihan raya umum lalu.

“Untuk membuktikan bahawa mereka ini benar-benar mendukung sebuah parti Amanah, maka, wajarlah kedua-duanya memenuhi amanah yang telah diberikan dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Misbahul Munir Masduki; Ketua Dewan Ulama negeri, Sidek Mohd.Nor, Ketua Dewan Muslimat negeri, Najihatussalehah Ahmad, Setiausaha Pas negeri, Mohd. Zawawi Abu Hasan dan Ketua Penerangan Pas negeri, Dr. Muhd. Zuhdi Marzuki.

Ditanya sama ada Pas akan mengambil sebarang tindakan sekiranya kedua-dua wakil rakyat itu enggan mengosongkan kerusi masing-masing, Muhd. Zuhdi memberitahu bahawa tiada apa yang boleh dilakukan parti itu daripada aspek undang-undang.

“Bai'ah ini melibatkan mereka, parti dan Allah, tiada kaitan dengan kontrak perjanjian undang-undang. Cuma apabila mereka langgar bai'ah, kesannya adalah dari segi moral dan akhlak.

“Kedua-duanya diangkat sebagai pendukung parti yang dikatakan amanah, tetapi mereka sendiri langgar perjanjian, jadi dari segi moralnya jatuh. Kemudian kesan lainnya ialah di akhirat kelak, sebab bai'ah melibatkan Allah sebagai saksi,” jelas beliau.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Oktober 10, 2015

Pemimpin Melayu pun ada maruah, kenapa perlu minta maaf?


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat keputusan tepat apabila tetap dengan pendiriannya untuk tidak meminta maaf kepada orang Cina berhubung isu tampar.

Sebelum ini Tajuddin didakwa membuat kenyataan kononnya mahu menampar orang Cina dari Malaysia yang mencari perlindungan China. Berikutan itu, melompat-lompat puak tertentu khususnya daripada MCA yang menggesa beliau meminta maaf.

Tetapi Tajuddin sudah menjelaskan beliau tidak melakukan kesilapan sehingga perlu berbuat demikian, malah beliau juga mendakwa kenyataannya diputarbelitkan oleh media tertentu bagi mencetuskan polemik dan kontroversi. Dengan penjelasan itu, sepatutnya beliau tidak lagi didesak untuk meminta maaf, sebaliknya pihak yang membuat desakan tersebut perlu meminta maaf kerana tidak memeriksa dahulu kesahihan berita yang diterima.

Tajuddin Abdul Rahman

Ini bukanlah kali pertama, pemimpin UMNO didesak meminta maaf terhadap kaum lain. Sebelum ini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dipaksa berbuat demikian apabila ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai memboikot mana-mana peniaga Cina yang menaikkan harga barang.

Keadaan ini mewujudkan persoalan adakah apabila kita menyebut nama kaum tertentu biarpun ia berdasarkan kepada fakta yang betul akan dianggap rasis atau perkauman?

Sama ada Tajuddin mahupun Ismail Sabri, mereka ha­nya menyatakan perkara yang betul. Tak kanlah bila bercakap benar pun kena meminta maaf, malah tindakan itu sama sekali tidak wajar jika ia hanya bersandarkan kepada laporan media yang diputar belitkan.

Oleh itu berhentilah mendesak pemimpin-pemimpin UMNO meminta maaf seolah-olah kaum-kaum tertentu terlalu sensitif untuk ditegur atau dikritik. Kenapakah hanya pemimpin parti itu sahaja menjadi sasaran? Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin parti lain termasuklah dalam kalangan bukan Melayu membuat kenyataan atau tindakan yang menyinggung orang Melayu?

Ismail Sabri

Penulis tidak perlu menyenaraikan apa kes-kes itu, mereka yang terlibat boleh membuat kajian. Tetapi soalnya adakah pemimpin berkenaan meminta maaaf? Tidak ada pula mana-mana parti begitu lantang tampil mendesak permohonan maaf dilakukan.

Lebih mengecewakan, apabila pemimpin terlibat mendakwa kenyataan beliau diputarbelitkan maka ia di­terima secara terbuka oleh semua pihak tanpa banyak soal, tetapi apabila pemimpin Melayu memberi jawapan sedemikian, ia tetap tidak diterima seolah-olah sama ada betul atau salah pemimpin berkenaan mesti minta maaf.

Keadaan itu menampakkan dalam apa juga situasi hanya pemimpin Melayu dan orang Melayu sahaja yang patut beralah atau mengaku salah biarpun atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Selain itu, orang Melayu sahaja perlu diberi ingatan untuk menjaga sensitiviti kaum lain lebih daripada kaumnya sendiri.

Inilah realiti yang berlaku sekarang. Pemimpin-pe­mimpin Melayu akan `diserang habis-habisan’ kalau mereka tersilap membuat kenyataan atau melahirkan pendapat untuk kepentingan bangsanya. Mereka akan dituduh rasis dan cuba melakukan provokasi bagi memecah belah perpaduan rakyat negara ini.

Tetapi soalnya bagaimana dengan pihak lain? Apakah mereka tidak boleh dipaksa meminta maaf apabila melakukan perbuatan menyinggung perasaan orang Melayu dan umat Islam?


Bagaimana dengan peristiwa memijak gambar pe­mimpin ketika perhimpunan haram Bersih pada 29 Ogos dan 30 Ogos lalu?

Kenapa tiada desakan berterusan daripada kelompok tertentu yang mahu DAP dan pemimpin Bersih meminta maaf? Kenapakah tidak ada pemimpin bukan Melayu mendesak supaya DAP Pahang meminta maaf kepada Jabatan Mufti Pahang kerana mengkritik khutbah Aidiladha? Kenapakah tidak ada perjuangan oleh kelompok tertentu untuk menggesa pemimpin pembangkang memohon maaf dalam kes-kes melibatkan tuduhan kepada badan kehakiman?

Hakikatnya banyak lagi kes atau peristiwa yang me­nunjukkan kebiadaban sesetengah pihak terhadap orang Melayu. Namun ia dilupakan begitu sahaja tetapi apabila melibatkan pemimpin Melayu gempak gempita tekanan diberikan supaya pemimpin itu tunduk kepada desakan meminta maaf.

Semua ini berlaku kerana sesetengah pihak melihat orang Melayu dan kepemimpinan mereka berada dalam keadaan lemah. Oleh itu, sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan maka tekanan akan diberikan seolah-olah pemimpin-pemimpin Melayu ini tidak ada pilihan selain tunduk kepada kehendak orang lain.

Namun begitu kita juga harus mengakui bahawa ‘keberanian’ untuk membuat desakan terhadap pemimpin Melayu berlaku disebabkan oleh sesetengah pemimpin Melayu itu sendiri. Demi menjaga hati orang lain, media yang menye­belahi mereka pun akan dikritik kononnya membuat laporan salah atau memutarbelitkan kenyataan.


Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada sesetengah pemimpin-pemimpin Melayu yang terlalu takut untuk me­laksanakan atau menyatakan sesuatu pendirian berkaitan kaum lain, mereka bimbang akan kehilangan sokongan politik biarpun pendirian yang hendak dibuat akan meng­untungkan orang Melayu tanpa mengambil hak kaum lain.

Oleh itu, cukup-cukuplah beralah kepada pihak lain. Pemimpin Melayu juga ada maruah. Tidak mengapa kalau betul ada pemimpin-pemimpin Melayu melakukan kesalahan atau tindakan yang menyinggung perasaan kaum lain, mereka layak meminta maaf tetapi apa yang berlaku sekarang banyak tidak betul.

Apatah lagi kalau ia dilaporkan oleh portal pro pembangkang Malaysiakini dan Malaysia Insider, tetapi hendak buat macam mana sebab dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri ada yang lebih percaya kepada laporan kedua-dua portal berita itu dan menjadikan mereka sebagai `tempat untuk melepas’ geram. Justeru apabila satu hari kenyataan mereka diputar belitkan maka tanggunglah akibatnya.

Namun apa pun sikap mendesak hanya pemimpin-pemimpin Melayu sahaja meminta maaf harus dihentikan kerana semua orang tahu ada sesetengah pemimpin pembangkang bukan Melayu jauh lebih biadab, tetapi mereka sering terlepas dan tidak diberi tekanan waima oleh musuh politik mereka sendiri, kenapa? Fikirlah sendiri.

Suara Politik
Belantan

Fitnah PM - Liong Sik enggan mohon maaf?


Bekas Pre­siden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik hari ini menegaskan beliau tidak akan memohon maaf dan mempertahan kenyataannya yang me­nuduh Datuk Seri Najib Tun Razak menyalahgunakan dana kerajaan.

Malah, beliau yang juga bekas Menteri Pengangkutan menerima cabaran Perdana Menteri yang mahu mengemukakan tuntutan saman terhadapnya.

Liong Sik dalam satu kenyataan di sini memberitahu, beliau tidak akan memohon maaf kerana mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

“Saya berkata kepada Perdana Menteri, jika anda memilih untuk mengemukakan saman kepada saya, saya akan mempertahankan diri.

“Dengan penuh rasa rendah diri, saya terima cabaran anda. Saya mahu menyaksikan Perdana Menteri berada di kandang saksi kerana tidak syak lagi beliau akan lakukan jika beliau berkata reputasinya tercabar.

“Saya mahu mengulangi bahawa saya pertahan apa yang katakan. Saya tidak akan mohon maaf,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri me­ngemukakan surat tuntutan terhadap Liong Sik berhubung penerbitan artikel yang mendakwa beliau menyalahgunakan dana kerajaan.

Surat tuntutan itu dikemukakan melalui firma guaman Tetuan Hafarizam, Wan, Aisha & Mubarak dialamatkan ke kediaman Liong Sik di Bukit Damansara di sini.

Najib dalam surat tuntutan itu antaranya mengarahkan peguam­nya mengambil tindakan dan me­nuntut penarikan balik artikel tersebut, membuat permohonan maaf tanpa syarat dan ganti rugi yang munasabah berhubung perkataan yang didakwa berbaur fitnah dalam artikel disiarkan akhbar dalam talian Malay Mail Online bertajuk: MCA’s Liong Sik Joins Call for Najib’s Ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket pada 3 Oktober lalu.

Surat tuntutan tersebut yang bertarikh kelmarin ditandatangani oleh peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan memberikan masa tujuh hari supaya Liong Sik tidak lagi mengeluarkan fitnah terhadap beliau selain membuat permohonan maaf bertulis tanpa bersyarat disiarkan dalam dua akhbar dan memberikan akujanji tidak mengeluarkan perkataan yang sama.

Jika Liong Sik gagal berbuat demikian, surat itu menyatakan Najib akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Oktober 08, 2015

Pakatan Baharu - 25 kepemimpinan PKR hantar petisyen kepada Wan Azizah?

Amirudin Shari

Sebilangan besar pemimpin PKR mahu kerjasama parti itu dalam pakatan pembangkang yang baharu seperti diumumkan oleh Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada September lalu diteliti semula.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Amirudin Shari dan desakan penelitian semula itu dinyatakan menerusi satu petisyen yang ditandatangani 25 kepemimpinan parti termasuk beliau sendiri sebagaimana tersebar menerusi laporan media ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menafikan petisyen itu merupakan satu usaha untuk menolak kepimpinan Wan Azizah sebagai Presiden PKR sebaliknya tuntutan pihaknya yang mahu meminta penjelasan lanjut mengenai kerjasama parti tersebut dalam pakatan pembangkang baharu selain mahu perbincangan lanjut diadakan mengenainya.

“Kita nak dapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara dalam pakatan pembangkang baharu. Isu ini penting kerana melibatkan kesepakatan parti-parti politik dalam barisan pembangkang untuk pilihan raya umum akan datang dan masa depan PKR itu sendiri.

“Justeru, kepimpinan parti harus membincangkan perkara ini secara terperinci dan mendalam. Jadi tuntutan itu adalah supaya diadakan mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendeta Za'ba di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.


Amirudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri mengulas dakwaan bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin kononnya sekumpulan pemimpin kanan PKR didakwa membentuk kartel bagi merancang komplot untuk menggulingkan Wan Azizah sebagai Pre- siden parti itu.

Dakwaan Badrul Hisham itu dinyatakan menerusi laman blog, chegubard.blogspot.my pada 3 Oktober lalu yang antara lain mendakwa komplot berkenaan dipercayai didalangi beberapa pemimpin kanan parti yang kurang senang dengan tindakan Wan Azizah mengumumkan penyertaan PKR dalam pakatan pembangkang baharu pada 22 September lalu.

Menurutnya, kartel tersebut dikatakan mengambil kesempatan dengan melancarkan petisyen agar mesyuarat khas MPP PKR diadakan dengan agenda untuk menarik balik penyertaan parti tersebut daripada pakatan pembangkang baharu.

Dalam pada itu, Amirudin menolak dakwaan Badrul Hisham tersebut selain menyifatkannya sebagai satu ‘imaginasi oleh orang tidak ada kerja’.

“Mengenai undi tidak percaya dan menjatuhkan Presiden PKR ini satu imaginasi oleh orang yang tidak ada kerja.

“Kita ada perbezaan pandangan, maka adalah lebih baik perbezaan itu dapat dibawa dalam satu mesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya yang enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap Badrul Hisham.

Suara Politik
Belantan

Krisis PKR : Saya lihat dari luar?


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau mengambil pendekatan hanya melihat dari luar dan melibatkan diri dalam dakwaan wujudnya gerakan menubuhkan parti baharu oleh ahli PKR.

Namun katanya, beliau tidak hairan sekiranya usaha itu wujud susulan kegagalan PKR mengurus parti itu dengan sebaiknya.

“Saya tidak berasa hairan sekiranya ada usaha daripada ahli PKR untuk menubuhkan parti baharu bagi mewujudkan gerakan kuasa ketiga demi mewujudkan suasana politik yg lebih seimbang.

“Saya percaya usaha pihak-pihak terbabit akibat daripada kegagalan PKR mengurus parti mereka sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini. Terlalu banyak aduan ahli parti yang gagal ditangani oleh pimpinan secara adil, telus dan menyeluruh,” katanya dalam kemas kini status di Facebook, hari ini.


Sebelum ini, ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dilaporkan mendakwa ada gerakan dalam kalangan pemimpin dan aktivis parti itu berkomplot untuk menubuhkan parti baharu.

Sehubungan itu, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, beliau tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk melaksanakan hak demokrasi mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menyedari tindakan parti-parti politik di dalam PR mutakhir ini juga gagal menyediakan wadah yang lebih kondusif dan inklusif. Meskipun demikian saya lebih suka mengambil pendekatan untuk melihat perkara ini dari luar dan tidak langsung terlibat di dalam usaha mereka mewujudkan gerakan pihak ketiga tersebut.

“Saya akan menumpukan kepada usaha dan memberi pandangan dari segi memulihkan kedudukan ekonomi negara yang kini diasak dari dalam dan luar,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Oktober 06, 2015

Nampaknya ada komplot guling Wan Azizah dari dalam?


Sekumpulan pemimpin kanan PKR didakwa membentuk kartel bagi merancang komplot untuk menggulingkan Presiden parti tersebut, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, komplot itu dipercayai didalangi beberapa pemimpin kanan parti yang kurang senang dengan tindakan Wan Azizah mengumumkan penyertaan PKR dalam pakatan pembangkang baharu pada 22 September lalu.

Menurut beliau, kartel tersebut seterusnya mengambil kesempatan dengan melancarkan petisyen agar mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR diadakan dengan agenda untuk menarik balik penyer­taan parti tersebut daripada pakatan pembangkang baharu.

“Ini ialah ‘coup d’etat’ (rampasan kuasa). Ini ialah usaha undi tidak percaya yang dipelopori kartel berkenaan ke atas Wan Azizah ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim terpenjara.

“Bayangkan nanti MPP akan me­ngambil keputusan ‘u-turn’ dalam usaha pakatan pembangkang, di mana Wan Azizah hendak letak muka?” katanya dalam kenyataan melalui laman blog beliau (http://chegubard.blogspot.my) hari ini.


Dalam laman blog tersebut, Badrul Hisham yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut menyenaraikan nama 25 pemimpin PKR yang didakwa terlibat dengan kartel menggulingkan Wan Azizah.

PKR akan mengadakan Kongres Nasional Tahunan di Shah Alam, Selangor pada 30 Oktober dan 1 November ini.

Badrul Hisham menambah, kartel berkenaan sedang dalam usaha untuk bersatu dengan kumpulan-kumpulan kecil dalam PKR yang kecewa dengan keangkuhan Setiausaha Agung parti, Rafizi Ramli.

Beliau memberitahu, pasukan yang bakal dibentuk itu agak besar dan akan memberi cabaran kepada Wan Azizah.

“Kepada Wan Azizah, belajarlah kesilapan Anwar iaitu kamu ada banyak panglima setia tetapi kamu sendiri singkirkan mereka kerana tenggelam dalam fatamorgana puji dan puja,” jelasnya.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Oktober 05, 2015

Jika berlaku ketegangan kaum, DAP akan lepas tangan?


DAP tidak akan bertanggungjawab dan hanya akan bersikap ‘lepas tangan’ jika berlaku ketegangan antara kaum akibat permainan politik mereka yang menyentuh sentimen perkauman.

Sebelum situasi buruk itu berlaku, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendesak parti itu menghentikan segera perbuatan bermain dengan isu tersebut semata-mata mahu mendapat sokongan masyarakat Cina.

Mengambil kira sikap terdesak DAP itu, Tunku Aziz melontarkan persoalan adakah kaum kedua terbesar itu benar-benar berada dalam keadaan masalah tanpa pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

“Tindakan DAP itu jelas dapat dilihat melalui penganjuran demonstrasi Bersih, walaupun tujuannya dikatakan mahu menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil, tetapi demonstrasi tersebut yang disertai hampir kesemuanya masyarakat Cina hanya bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika berterusan membuat provokasi dengan cara tersebut, lama kelamaan, apabila keadaan tidak lagi terkawal, mereka akan lari dan tidak mahu mengambil tanggungjawab,” katanya di sini hari ini.

Pelbagai pihak semalam meminta DAP menghentikan segera bermain dengan sentimen perkauman sehingga membawa kepada polarisasi sosial dan ketegangan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Dalam pada itu, Tunku Aziz berkata, setiap parti politik sepatutnya berusaha untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman antara masyarakat pelbagai kaum.

Kata beliau, mana-mana rakyat tidak mengira kaum yang terjebak dengan agenda DAP itu perlu mengambil sikap berjaga-jaga supaya tidak menjadi mangsa permainan politik mereka dengan cara mengheret rakyat untuk menyertai demonstrasi jalanan.

“Semua pihak perlu bersikap neutral dan bebas walaupun berbeza fahaman dan ideologi politik masing-masing.

“Nikmat keamanan dan ke­selamatan yang dikecapi rakyat selama ini tidak boleh dipertaruhkan demi kepentingan mana-mana parti politik,” katanya.

Suara Politik
Belantan