Sabtu, Jun 25, 2016

Muhyiddin, Mukhriz dipecat, keahlian Shafie Apdal digantung?


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dipecat daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal digantung keahlian daripada parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan, keputusan itu dibuat ekoran tindakan Muh­yiddin dan Mukhriz melanggar disiplin parti.

“Lebih-lebih lagi apabila mereka telah berada di atas pentas dengan pemimpin pembangkang, membuat ucapan bersama mereka dan menyerang pimpinan serta parti.

“Maka, itu adalah kesalahan besar dari segi disiplin parti dan berdasarkan kelakuan tersebut, MT UMNO secara sebulat suara mengambil keputusan memecat kedua-dua pemimpin tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyua­rat MT UMNO di Ibu Pejabat UMNO, Menara Datuk Onn di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Sebelum ini, Muhyiddin dan Mukhriz digantung semua jawatan dalam parti 26 sejak Februari lalu berikutan tindakan mereka menyerang kepemimpinan parti.

Berhubung tindakan disiplin terhadap Mohd. Shafie, Najib memberitahu, penggantungan berkuat kuasa sehingga laporan diterima daripada Jawatankuasa Disiplin UMNO.

“Ini adalah kerana Jawatankuasa Disiplin UMNO belum menye­rahkan laporan kepada Jawatankuasa Pengurusan serta MT parti,” jelasnya.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Jun 13, 2016

Jatuhkan Najib: Hadi 
akui ditemui Tun M?


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menemui beliau tiga bulan yang lepas untuk membincangkan rencana menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdul Hadi berkata, beliau bagaimanapun menolak pelawaan itu kerana menganggap ia tidak memberi sebarang faedah kepadanya mahupun parti itu.

“Pas tidak menentang individu, tidak menentang orang tetapi menentang pendekatan menggunakan konsep dan dasar.

Sekiranya orang diubah tetapi dasar dan pendekatannya sama, tiada perubahan juga,” katanya kepada pemberita ketika melakukan sesi walkabout di sekitar bazar Ramadan pekan Sekinchan, di sini hari ini.

Mengenai dakwaan Tun Mahathir bahawa beliau makan 'dedak' Najib, Presiden Pas itu secara sinis memulangkan soalan siapa yang mula mengajar memberi dedak sebelum ini?.

“Kerana Pas tidak makan dedak maka dengan itu Pas boleh teruskan perjuangan tak ada politik wang, politik BR1M, siapa yang ajar?.

“Selagi tak mengubah pendekatan, tak ubah perangai, selagi itulah perkara ini akan berlaku,” ujar beliau.

Mengulas saranan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad agar UMNO dan Pas berganding demi mengukuhkan kedudukan Melayu dan Islam, Abdul Hadi berkata:

“Kita ada garis panduan dalam al-Quran...kembali kepada al-Quran, hadis sepenuhnya barulah kita boleh bersatu.

“Kita tak gopoh, seperti mana rang undang undang persendirian, itu satu langkah kerjasama sangat baik dan positif,” katanya merujuk laluan yang diberikan oleh kerajaan baru-baru ini untuk beliau mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat.

Pada sesi walkabout itu, jentera parti menawarkan beberapa aktiviti kepada orang ramai termasuk pemeriksaan kesihatan dan menukar minyak pelincir motor secara percuma.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) berikutan kematian Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu. – BERNAMA

Suara Politik
Belantan