Sabtu, Jun 01, 2013

Penuhi semua janji PRU-13 kepada rakyat - Titah Sultan Selangor!


Dengan izin Allah SWT dan berkat doa seluruh rakyat jelata negeri Selangor, Beta pada hari ini adakan Istiadat melantik Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), setelah mendapat mandat daripada rakyat selepas mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.

Sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan, rakyat telah memilih Ahli-ahli Yang Berhormat yang akan mentadbir negeri ini dengan penuh harapan untuk mendapat dan menikmati kehidupan yang aman dan selesa. Beta percaya parti yang berjaya memerintah telah dapat meyakinkan rakyat semasa PRU-13 dengan manifesto mereka.

Oleh itu bagi mengekalkan kesejahteraan rakyat dan keharmonian rakyat, Beta berkenan parti yang dipilih oleh rakyat Selangor hendaklah memastikan bahawa manifesto yang merupakan janji yang telah dilaungkan semasa tempoh berkempen yang lalu, dan hendaklah ditunaikan tanpa berlengah dan dilaksanakan dengan adil dan saksama, berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Manifesto-manifesto yang telah dibuat oleh sesebuah parti itu adalah satu perjanjian parti tersebut dengan rakyat apabila mereka memerintah ia akan dilaksanakan. Oleh itu amatlah penting ia ditunaikan dan janganlah melupakan rakyat yang menaruh penuh harapan untuk menikmati sebuah negeri yang aman makmur dalam suasana rakyat hidup dengan penuh harmoni. Ahli-ahli Yang Berhormat perlulah menyedari bahawa tugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) adalah merupakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat negeri ini dan ia perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.


Rakyat sekarang bijak dan pandai menilai serta mengetahui akan kehendak dan keperluan mereka. Dibantu pula dengan media massa yang bebas dan media-media elektronik yang canggih, rakyat dapat menerima maklumat dengan cepat untuk dinilai oleh mereka.

Oleh itu Ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik ini hendaklah lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dan tidak sama sekali cuba untuk mengelirukan rakyat negeri ini.

Peranan utama Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat adalah untuk membangunkan program yang memberi impak sebenar kepada Selangor ke arah mencapai kemajuan dan kemakmuran. Setiap tanggungjawab yang bakal dipikul, hendaklah dikendalikan secara intelektual dan bukan secara emosi dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan diri atau parti masing-masing. Beta menyeru agar keutamaan diberikan ke arah mencapai kemajuan kepada negeri ini di samping memastikan kehidupan rakyat yang berbilang kaum hidup dengan selesa, aman, damai dan harmoni sehingga ke generasi akan datang.

Apabila menjalankan tugas, Ahli-ahli Yang Berhormat mestilah berpandukan kepada peraturan dan undang-undang yang telah digariskan dan janganlah sekali-kali melanggar undang-undang ini serta membuat sesuatu dengan mengikut kehendak hati semata-mata.

Jalankanlah tugas dengan penuh jujur, amanah, ikhlas, telus serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan Selangor yang dikasihi ini. Jauhkan diri dari rasuah yang mana gejala rasuah ini jika diamalkan akan menjatuhkan maruah dan imej seseorang itu, dan juga boleh merosakkan Selangor ini. Rakyat juga amat benci dengan pemimpin yang terlibat di dalam gejala rasuah.


Beta percaya rakyat yang berbilang kaum dan agama di Selangor ini mahukan keamanan dan keharmonian. Oleh itu Ahli-ahli Yang Berhormat yang dipilih oleh rakyat hendaklah memahami kehendak dan keperluan mereka ini dengan sentiasa menitikberatkan perpaduan berteraskan konsep muhibbah antara kaum.

Janganlah dilupakan rakyat yang memilih Ahli-ahli Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa berdamping dengan mereka untuk mengetahui kehendak dan keperluan mereka dengan mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Janganlah apabila memerlukan undi, Ahli-ahli Yang Berhormat menjanjikan bulan dan bintang serta sanggup melawat mereka hingga ke dapur rumah mereka; tetapi apabila telah mendapat undi dan kemenangan, kelibat Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian pun tidak kelihatan.

Beta juga menyeru dan menyarankan bahawa memandangkan tempoh berkempen pilihan raya telah pun tamat, ahli-ahli politik dari parti-parti politik yang bertanding perlulah berbaik-baik semula dan bekerjasama serta tumpukan tenaga untuk membina kemakmuran Selangor yang dikasihi bersama-sama untuk generasi akan datang.

Di kesempatan ini, Beta mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah berjaya. Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pihak polis dan juga tentera yang telah dapat mengawal dan menjaga serta mengekalkan keamanan semasa PRU-13 yang telah berjalan dengan selamatnya.

Tidak lupa juga Beta mengucapkan syabas kepada agensi-agensi lain yang turut menyumbang tenaga membantu kelancaran proses pilihan raya ini seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), RELA, Pertahanan Awam dan Jabatan Kesihatan yang bersiap sedia untuk menghadapi perkara-perkara yang tidak diingini, jika berlaku.

Beta mengakhiri titah ucapan Beta ini dengan berdoa ke hadrat Allah SWT semoga dikurniakan rahmat ke atas negeri Selangor yang dikasihi ini supaya dijauhi dari malapetaka, bala bencana agar rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup dalam harmoni dan Selangor yang dikasihi ini akan terus maju.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: