Ahad, Jun 16, 2013

Kaum India usah termakan hasutan - PKIM!


Masyarakat India diingatkan supaya menolak sebarang cubaan daripada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi kaum itu untuk menentang kerajaan serta memecahbelahkan perpaduan di negara ini.

Ingatan itu dikemukakan oleh Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM), A. Prakash susulan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu baru-baru ini yang mendakwa lokap polis kini kononnya tidak selamat, selain menjadi tempat pembunuhan terutamanya kepada kaum India.

Tegas beliau, sekiranya benar Timbalan Presiden Pas itu mengeluarkan kenyataan sedemikian, itu jelas satu tindakan provokasi melampau yang seolah-olah sengaja dilakukan untuk menghasut kaum India supaya membenci institusi awam dan kerajaan negara ini.

"Jangan ingat kaum India ini boleh dipermainkan dengan provokasi dan hasutan sedemikian. Perlu diingatkan bahawa apabila membicarakan soal jenayah, itu bukan satu isu yang melibatkan perkauman sebaliknya dilakukan sesiapa sahaja yang melanggar undang- undang negara sama ada orang India, Melayu dan Cina.

"Justeru, sebagai seorang ahli politik, beliau (Mohamad Sabu) perlu lebih bertanggungjawab dalam membuat sesuatu kenyataan. Jangan kerana mahukan kuasa politik, masyarakat India dijadikan komoditi atau bahan untuk mencapai agenda mereka,'' katanya di sini hari ini.

Pada 13 Jun lalu, akhbar melaporkan kenyataan Mohamad Sabu yang mendakwa lokap polis kini tidak lagi selamat kepada individu yang ditahan, sebaliknya menjadi tempat pembunuhan oleh pihak polis terutama kepada kaum India.

Berdasarkan kenyataan Mohamad Sabu yang dibuat dalam satu perhimpunan haram di Padang Majlis Daerah Ketereh, Timbalan Presiden Pas itu turut menuduh kerajaan tidak membela masyarakat India, selain mahu kaum itu bangkit menyatakan rasa tidak puas hati terhadap institusi awam negara ini.

Menurutnya, masyarakat India diminta tidak terpengaruh dengan kenyataan sebegitu yang dilihat seolah-olah bukan hanya mahu memanipulasi pemikiran kaum itu tetapi cubaan untuk mencetuskan suasana ketidakharmonian rakyat dan negara.

Dalam pada itu, Prakash tidak menolak kemungkinan provokasi serta pembohongan yang dilakukan oleh Mohamad Sabu itu suatu taktik untuk memecahbelahkan rakyat serta mahu melunturkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

Jelas beliau, keadaan yang sama dapat dilihat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu apabila pihak pembangkang memainkan sentimen perkauman serta provokasi terhadap masyarakat Cina sehingga menyebabkan sebilangan besar kaum itu tidak menyokong kerajaan.

"Sekarang ini, mungkin taktik yang sama digunapakai oleh pembangkang kepada kaum India. Barangkali mudah bagi mereka mendapatkan sokongan rakyat dan menguasai politik negara ini sekiranya setiap kaum berpecah-belah," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: