Sabtu, Jun 08, 2013

Agbimudin Kiram Mahu Jadi King Borneo?


Kejayaan kerajaan menyelesaikan krisis pencerobohan pengganas di Daerah Lahad Datu, Sabah melalui pasukan keselamatan dipimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) benar-benar dikagumi.

Di sebalik kejayaan itu, terpahat 1001 kisah pahit selain mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan, PDRM menghadapi pelbagai kerenah dan permintaan tidak masuk akal pengganas.

Mahu dirinya diiktiraf sebagai ‘King of Borneo’, itu antara tuntutan yang disuarakan Ketua Pengganas, Agbimudin Kiram susulan rundingan tiga hari dengan PDRM.

Wartawan SH berkesempatan bertemu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Pahlawan Hamza Taib yang berkongsi pengalaman sebelum dan ketika serangan ke atas pengganas dilancarkan. Ikuti temubual khas bersama wartawan Sinar Harian, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPPK) Sabah.

Bolehkah Datuk ceritakan dari awal bagaimana krisis pencerobohan Lahad Datu bermula serta langkah-langkah penyelesaiannya?

Saya menerima laporan berkenaan pencerobohan Lahad Datu pada pagi 12 Februari lalu mengatakan sekumpulan orang bersenjata mendarat di Kampung Tanduo.

Saya menghubungi Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Shamsudin Mat untuk mengesahkan perkara itu dan beliau memaklumkan kepada saya bahawa 60 hingga 80 orang mendarat di kampung itu. Sesetengahnya memakai jubah, seragam serta ‘half uniform’.


Setelah mendapat tahu perkara itu dan selepas disahkan oleh Ketua Polis Daerah Lahad Datu, apa tindakan Datuk seterusnya?

Saya arahkan pegawai saya membuat laporan berhubung perkara ini serta menghubungi Komander Briged Sabah, Datuk Ahmad Marzuki untuk mengepung kawasan berkenaan serta menggerakkan Eastern Command.

Petang itu juga saya kumpulkan semua ketua-ketua jabatan untuk membincangkan perkara ini dan perkara pertama adalah mencari satu kod operasi yang mana nama Ops Sulu dipersetujui.

Kita telah gerakkan Ops Sulu dan kumpulkan segala maklumat yang ada. Saya juga arahkan agar Ketua Cawangan Khas untuk sahkan maklumat yang diterima, Komander Briged Sabah mengepung kawasan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) wujudkan pasukan siasatan serta melantik seorang perunding.

Langkah seterusnya adalah memaklumkan pihak Bukit Aman operasi yang dilaksanakan.

Bagaimana perjalanan rundingan antara polis dengan pihak penceroboh?

Saya bertindak selaku pegawai pemerintah dalam operasi ini dan dimaklumkan oleh perunding bahawa mereka dapat bertemu dengan pihak penceroboh yang diketuai oleh Agbimudin Kiram.

Pertemuan dengan pihak penceroboh diadakan sebanyak tiga kali iaitu 14, 15 dan 16 Februari. Bagaimanapun proses rundingan sebenarnya bermula sejak hari pertama, iaitu pada 12 Februari melalui telefon.


Boleh Datuk ceritakan, daripada proses perbincangan itu, apa yang Agbimudin mahukan?

Antara dituntut Agimudin adalah mahu gerombolannya dikenali sebagai ‘Royal Sulu Force’ dan bukan sebagai pihak mewakili Abu Sayaf atau Moro Islamic Liberation Front (MILF). Agbimudin juga menuntut agar orang Sulu tidak diusir keluar dari Sabah di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah (RCI). Perkara ini kita boleh tunai kerana proses RCI belum habis.

Seterusnya dia minta menemui seorang personaliti dan memaklumkan personaliti itu ada di Kota Kinabalu. Kita cari dan berjaya temui dengan harapan apabila berjumpa, Agbimudin akan lembut hati dan akan keluar dari Sabah.

Apakah pihak datuk berjaya temui personaliti itu dan apa keputusan Agbimudin selepas itu?

Kita jumpa personaliti itu dan bawa orang ini masuk berjumpa Agbimudin.

Selepas itu dia minta berjumpa abangnya, Ismail Kiram. Untuk usaha ini kita juga bawa Datuk Piah dan anak Ismail Kiram, Amir Baha dari Filipina berjumpa dengan Agbimudin. Kita ambil mereka di Semporna dan temukan mereka, namun dia tetap tidak mahu beralah.

Selain itu, apa lagi tuntutan diajukan oleh Agbimudin Kiram?

Dia mahu kita iktiraf dia sebagai ‘King of Borneo’. Saya cakap dengan dia, sedangkan Kerajaan Filipina tak iktiraf dia sebagai ‘King of Borneo’, mustahil kita boleh iktiraf apa dia mahu.

Pelbagai usaha kita buat. Kita panggil isteri dia, anak dia dan libatkan Kerajaan Filipina tapi masih degil.


Selepas rundingan dan segala usaha gagal. Selaku pegawai pemerintah, adakah Datuk rasa sudah sampai masa serangan dilakukan?

Kita boleh serang, tapi ini bukan cara Malaysia. Kita tak nak ada pertumpahan darah dan ambil keputusan teruskan usaha rundingan melalui telefon.

Keadaan memang tegang ketika itu. Proses rundingan terus berjalan dan saya dipertanggungjawabkan kerajaan Malaysia buat sidang akhbar setiap hari. Memang sukar dan akhirnya selepas 20 hari proses rundingan berlangsung, kerajaan Malaysia arah serangan dilakukan.

Adakah pihak polis beri sebarang amaran kepada penceroboh sebelum serangan dilancarkan?

Dua hari sebelum serangan dilakukan, kita beri amaran kepada mereka. Kita jatuhkan risalah menggunakan helikopter dua hari berturut-turut sebelum serangan untuk meminta penceroboh serah diri. Risalah itu guna tiga bahasa iaitu Melayu, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Sulu.

Pada masa itu, beberapa anggota penceroboh yang takut mula menyusup keluar dari Kampung Tanduo dan kita berjaya menahan mereka. Namun sebahagian besar masih bertahan di dalam kampung itu.


Boleh Datuk ceritakan bagaimana pertempuran bermula?

Pada hari pasukan keselamatan sepatutnya sampai, kita telah ketatkan kawalan di semua penjuru.

Apabila pasukan Vat69 masuk mereka terserempak dengan sekumpulanpengganas dan mereka diminta menyerah. Kerana pengganas enggan menyerah, terjadilah pertempuran menyebabkan dua anggota VAT69 meninggal dunia, manakala 15 pengganas ditembak mati.

Masa kejadian saya memang berada di situ dan bila terima berita anggota kita terkorban, saya memang rasa sedih, marah dan geram. Kalau anda berada di situ sebagai ketua ketika itu, anda juga turut rasakan perasaan sama.

Tapi kita tak nak sebarang tekanan dan serang pada hari itu sebab kita nak serang pada keesokan harinya. Kita nak elak bertempur pada Jumaat kerana kita tahu semangat mereka lebih tinggi pada hari itu, namun tidak dapat dielak. Kita terpaksa juga melaksanakan gerakan ofensif dan berjaya tembak mati 15 pengganas.

Pertempuran di Kampung Simunul pula enam pengganas maut. Boleh ceritakan bagaimana pertempuran di situ boleh berlaku?

Sebenarnya pusat persembunyian pengganas Sulu ini berada di Simunul, namun seperti kita tahu, ia merupakan sebuah kampung air. Anggota kita masuk seramai 25 orang dan berpecah kepada tiga kumpulan.

Satu kumpulan berjaya tangkap enam pengganas dalam sebuah rumah, satu kumpulan lain berada tidak jauh dari rumah itu dan berlindung di rumah lain. Manakala satu kumpulan berjaya selamatkan diri.
Untuk selamatkan mereka, kita gerakkan Unit Tindakan Khas (UTK) membantu dan selepas 22 jam kita berjaya keluarkan kedua-dua kumpulan. Dalam kejadian itu, enam pengganas ditembak mati manakala enam anggota kita terkorban.


Sepanjang Op Daulat, adakah Datuk sentiasa berhubung dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan bagaimana keadaan Datuk ketika itu?

Saya bernasib baik kerana Tan Sri Ismail yang bertindak sebagai penasihat operasi turut bersama saya di Felda Sahabat. Begitu juga dengan Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin, keadaan ini membolehkan kami mengadakan perbincangan setiap hari dan ketika itu sememangnya masa saya cukup padat.

Saya hanya tidur empat jam dan kami dapat dengar setiap bunyi tembakan serta apa sahaja yang berlaku dari Felda Sahabat yang hanya 20 kilometer dari tempat operasi. Ketika ini saya kagum dengan kecekalan serta keberanian anggota VAT69.

Walaupun ada anggota gugur semasa operasi. Mereka masih mampu hantar laporan serta berbincang langkah yang perlu diambil.

Bagaimana Datuk bawa diri sepanjang berada di tempat operasi?

Saya berada di situ lebih 20 hari rasanya dan sepanjang tempoh itu, saya nikmati makanan bersama mereka. Tiada layanan khas. Antara menu paling lazat bagi saya ketika itu adalah nasi berlauk ikan sardin dan cucur tepung.

Kadang-kadang bila berkesempatan balik ke Kota Kinabalu sekejap, saya belikan burger atau lain-lain makanan untuk semua anggota dan bawa ke tempat operasi guna helikopter. Bukan senang jadi polis dan bayangkan bila anggota terpaksa makan dalam gelap, serta terpaksa makan sambil perhati pergerakanmusuh dalam hutan dengan sebelah tangan Hamza pegang senjata.


Pada pandangan Datuk, adakah pengganas ini terlatih dan bagaimana pula khabar angin mengatakan mereka kebal?

Tidak dinafikan mereka cukup terlatih dalam peperangan, bersemangat tinggi dan mereka datang ke sini untuk mati. Berkenaan kebal, susah untuk saya kata ya atau tidak.

Namun saya tidak menafikan perkara itu. Memang tidak dapat disangkal bila kita periksa mayat pengganas, hampir kesemuanya memakai tangkal.

Apa nasihat Datuk kepada anggota atau lontaran kata-kata motivasi ketika menghadapi situasi itu?

Saya nasihatkan mereka, walau apapun berlaku kita percaya kepada kuasa ALLAH, kuatkan semangat, sentiasa solat dan tabah. Jika sampai masa mereka (pengganas) mati, sama ada kebal atau tidak mereka tetap akan mati. Saya juga berpesan kepada setiap anggota bahawa kita berjuang demi mempertahankan negara dan jangan gentar hadapi musuh.

Bagaimana isteri dan anak-anak Datuk menghadapi situasi ini?

Mereka cukup tabah, tapi saya kasihan melihat isteri saya (Datin Alauyah Mohamed) yang semakin susut berat badannya kerana sentiasa risau tentang keselamatan saya.

Saya sentiasa hubunginya dan sering katakan selagi dia nampak saya di televisyen, bermakna saya selamat.

Empat anak saya pula sentiasa hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya untuk ketahui perkembangan diri saya sepanjang operasi.


Adakah insiden pencerobohan ini pengalaman paling mencabar?

Sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat dalam PDRM, inilah pengalaman saya paling mencabar. Saya juga akui saya sangat takut PRU13 gagal diadakan di Sabah berikutan insiden ini. Bayangkan jika berlaku pengeboman semasa proses pengundian berlangsung, pasti ramai rakyat di sini takut keluar mengundi.

Bagaimanapun, syukur semua berjalan lancar dan 80 peratus rakyat Sabah keluar mengundi 5 Mei lalu.

Adakah insiden pencerobohan ini merupakan insiden tidak disangka akan berlaku ke atas negara kita?

Sebenarnya saya memang menjangkakan serangan ini akan berlaku dan kerana itulah kita bentuk Eastern Command, iaitu sistem pertahanan yang melibat polis di sekitar Malaysia Timur. Saya akan pastikan mesyuarat Eastern Command ini diadakan secara kerap bagi memastikan tiada ancaman.

Seperti sedia maklum kawasan Malaysia Timur sentiasa terdedah dengan serangan pihak luar dan kawasan ini juga terdedah dengan aktiviti pelanunan. Oleh itu, setiap pegawai yang menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.


Apa perasaan Datuk bila ada pihak katakan insiden ini satu sandiwara dan berterusan politikkannya?

Geram bila memikirkannya, saya tak nampak macam mana insiden ini boleh dikatakan sandiwara. 73 musuh maut bukan satu mainan. 10 anggota keselamatan yang terkorban, perasaan keluarga, anak dan …apa faedah kita nak kata ini satu sandiwara? Ramai menyangka Op Daulat telah selesai sedangkan ia masih berjalan hingga kini namun dalam skala lebih kecil. Saya juga yakin Sabah ketika ini berada dalam keadaan aman dan selamat.-SH

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum

Jual dan beli produk di laman web www.produkmuslim.info
Sokongan anda amat dihargai

Terima kasih