Selasa, Jun 25, 2013

Perhimpunan haram 'Blackout 505' cemar imej pembangkang?



Perhimpunan haram di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas mencatatkan kehadiran sekitar 20,000 penyokong pembangkang sedangkan sasaran awal mencecah lebih 500,000 orang.

Untuk menutup malu dan kekecewaan, ada yang menambah jumlah itu kepada 30,000 sehingga lebih 50,000 mahupun 100,000 orang, walaupun itu cuma 10 ke 20 peratus daripada sasaran, di samping menyalahkan jerebu sebagai punca kurangnya sambutan.

Walaupun jumlah peserta jauh lebih kecil daripada sasaran penganjur, beberapa insiden provokasi turut berlaku seperti serangan ke atas anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, mengibar bendera merah putih, sepanduk menghina pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beberapa kejadian lain.

Pemerhati di perhimpunan itu pula mendapati peserta berbangsa Cina banyak berkurangan. Rata-rata yang hadir dilihat sebagai penyokong PKR ataupun anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut serta.


Apa yang diharap dan didoakan majoriti rakyat akhirnya tercapai apabila perhimpunan haram itu tidak melarat menjadi huru-hara besar sehingga menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara, khususnya kepada rakyat yang bekerja atau tinggal di kawasan berhampiran.

Sungguhpun satu lagi hari hujung minggu dibazirkan, kebimbangan rakyat untuk keluar pada hari Sabtu lalu akhirnya berlalu secara aman tetapi kesannya tetap dirasakan rakyat di samping menconteng arang pada imej negara.

Tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah merasakan apa yang dilakukan pembangkang selama ini telah menimbulkan persepsi negatif pihak luar terhadap rakyat dan Malaysia.


"Gambar demonstrasi yang dipaparkan pihak luar akan menunjukkan seolah-olah kita menghadapi masalah besar, kononnya majoriti rakyat turut serta sedangkan segelintir kecil sahaja datang.

"Persepsi buruk yang akan tersebar, Malaysia kini kacau bilau, tiada perpaduan. Ini tidak betul kerana negara kita aman, mereka yang tidak puas hati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sahaja menuduh tanpa bukti sedangkan rakyat tidak mahu dan tiada sebab untuk adakan demonstrasi," tegasnya.

Beliau bimbang implikasi ke atas sektor pelancongan dan ekonomi negara, khususnya pelaburan asing apabila masyarakat luar melihat Malaysia tidak amalkan demokrasi sebenar dan sama seperti negara-negara Arab yang bergolak.


Melihatkan sambutan yang jelas berkurangan dalam perhimpunan Sabtu lalu, beliau juga terkejut khususnya penyertaan orang Cina dan penyokong parti Pas yang nyata jauh berkurangan berbanding perhimpunan lain sebelum ini.

"Perhimpunan selepas PRU13 majoritinya orang Cina tapi tidak seramai itu pada Sabtu lalu. Saya harap ini petanda mereka sudah buka minda akan implikasi terhadap jurang antara kaum jika terus menyokong DAP.

"Puak pakai kopiah (Pas) pun berkurangan. Penyokong Pas mungkin berbelah bahagi dan ada kesedaran, yang rasional tidak sokong," katanya.


Beliau turut menolak alasan jerebu sebagai punca jumlah kecil peserta seperti mana dikatakan Anwar Ibrahim semasa perhimpunan tersebut kerana penyokong tegar pembangkang sebelum ini sanggup meredah hujan untuk turut serta.

Tambahnya, acara demonstrasi yang telah lama diadakan pembangkang dilihat semakin hilang momentum, mungkin juga menandakan kepercayaan dan sokongan kepada kepimpinan pembangkang semakin berkurangan.

"Sudah ada yang mempersoal kredibiliti pemimpin mereka, mungkin juga sudah buka minda selepas sedar ditipu dan tidak mahu bersekongkol. Lama-lama pasti akan sedar tuduhan 'bangla dan blackout' itu penipuan, berapa lama boleh tipu rakyat?


"Walaupun perhimpunan itu sudah susun tempat berkumpul dan berarak tetapi tidak juga menjadi. Makin lama makin berkurangan, kini sokongan kepada kepimpinan pembangkang sudah menurun dengan teruk," jelasnya.

Ibrahim menjangkakan penyertaan lebih merosot jika Anwar mahu membuat perhimpunan lagi selepas ini kecuali digunakan taktik kotor seperti melibatkan duit dan sebagainya.

"Saya berharap pihak berwajib tidak takut bertindak terhadap penganjur dan peserta perhimpunan haram, bukannya mahu digunakan kekerasan melampau tetapi gunakan undang-undang sedia ada sudah mencukupi sebelum mereka pijak kepala kita," ujarnya.


Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling pula melihat perhimpunan haram dan demonstrasi berterusan lebih mencemar imej pembangkang daripada imej negara.

"Tindakan pembangkang yang sengaja mewujudkan suasana tidak selesa selama ini memang memberi kesan kepada imej negara tetapi imej mereka lebih teruk terjejas.

"Tuduhan tidak berasas mereka tentang PRU13 memakan diri sendiri apabila masyarakat luar melihat pembangkang di negara ini tidak matang berpolitik, lebih memburukkan imej sendiri sahaja," katanya.


Menurutnya lagi, orang luar melihat pembangkang sengaja mereka-reka tuduhan agar masyarakat tempatan dan antarabangsa tidak yakin dengan kerajaan yang dipilih.

Beliau mendakwa, kerana itu juga perhimpunan pembangkang Sabtu lalu tidak mendapat liputan meluas seluruh dunia kecuali dalam kalangan media dan pihak yang mempunyai agenda tertentu.

"Masyarakat antarabangsa masih yakin dengan kerajaan Malaysia. Kesannya ada kerana dahulu kemakmuran kita dahulu tiada demonstrasi dan tindakan ganas tetapi kini sudah ada kebimbangan terhadap semua itu," jelasnya.


Beliau melihat perkara penting kini adalah kerajaan masih berjaya mengawal daripada kejadian buruk mahupun kes keganasan besar sehingga darurat tetapi lebih penting tiadanya sokongan rakyat terhadap perhimpunan haram dan gerakan seumpamanya.

"Perhimpunan haram hanya mendapat banyak sokongan di kawasan tertentu tetapi tidak di negeri-negeri lain. Tanpa sokongan, pembangkang tetap gagal mencetuskan situasi di luar kawalan seperti yang diharapkan sesetengah pihak," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: