Selasa, Jun 11, 2013

Apabila Anwar ‘kemaruk’ jadi PM?



Ketika berceramah beberapa hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berlangsung, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘berkhayal’ bagaimana majlis angkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan dijalankan.

Beliau berangan-angan ketika itu pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas akan memenangi pilihan raya tersebut.

Pada malam hari pengundian pula, Penasihat PKR itu terus bermain psikologi apabila menghantar mesej melalui twitternya mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan UMNO supaya tidak merampas apa yang disifatkan oleh beliau kemenangan pakatan pembangkang.

Ini hanya beberapa contoh sahaja bagaimana kemaruknya Anwar mahu menjadi Perdana Menteri.

Justeru tidak hairanlah apabila keputusan rasmi diumumkan, Anwar ‘meroyan’ dengan membuat tuduhan bahawa berlaku penipuan dalam proses pengundian.


Berikutan itu, beliau menggerakkan perhimpunan haram di seluruh negara bagi memprotes keputusan tersebut biar pun pembangkang mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor serta memenangi 89 kerusi Parlimen.

Malahan Anwar sendiri dianggap menang selesa di Parlimen Permatang Pauh. Namun ‘nafsu politik’ Penasihat PKR itu terus bergelora kerana impiannya untuk menjadi Perdana Menteri terkubur.

Anwar tidak mahu bermuhasabah atau bersikap terbuka untuk menerima kekalahan pakatan pembangkang sebaliknya cuba menyeret rakyat menyokong agenda songsangnya mengatakan berlaku penipuan dalam PRU-13.

Tidak cukup dengan sembilan perhimpunan haram yang diadakan setakat ini, Anwar merancang pula mengadakan perhimpunan yang sama pada 15 Jun ini.

Perhimpunan yang bakal diadakan itu tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat, apatah lagi ia mahu diadakan di kawasan terbuka seperti di Padang Merbok, Kuala Lumpur.


Tetapi Anwar peduli apa, yang penting bagi beliau ialah melepaskan perasaan geramnya setelah impian untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang sebelum ini beliau ’khayalkan’ tidak menjadi kenyataan.

Apatah lagi melalui protes seumpama itu sahaja ia akan mampu menutupi kegagalannya memimpin PKR dan pakatan pembangkang menumbangkan BN.

Tambahan pula, di dalam PKR sendiri sudah ada desas-desus yang mahu Anwar bertanggungjawab kepada kegagalan pembangkang itu khususnya PKR.

Sebab itulah, Pas yang sebelum ini dilihat teman paling setia menggerakkan ahli-ahlinya menyertai demonstrasi pembangkang mula ‘menekan brek’.

Pemimpin-pemimpin kanan parti itu terutamanya daripada golongan ulama mahu semua ahli-ahli Pas menerima keputusan PRU-13 sebagai takdir Allah.

Walaupun tidak melarang namun kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin Pas jelas membuktikan mereka tidak mahu lagi bersekongkol atau hanyut dengan amarah Anwar yang semakin ‘meroyan’ kerana tidak dapat menjadi Perdana Menteri.


Keghairahan Anwar untuk terus melancarkan protes juga tergugat kerana DAP sudah membuat kenyataan tidak akan memulau majlis angkat sumpah bagi Ahli Parlimen yang dijadualkan pada 2 Jun ini.

Ia sekali gus membuktikan DAP turut mengiktiraf keputusan PRU-13 dan dakwaan berlakunya penipuan hanyalah satu tuduhan politik yang tidak berasas.

Penulis difahamkan, biar pun pada mulanya DAP bersedia berada sepentas dengan Anwar untuk melakukan protes terhadap keputusan PRU-13 namun mereka kini semakin menyedari agenda sebenar Anwar.

Dominan

Lagi pula dalam PRU-13, DAP paling untung apabila menjadi dominan dalam pakatan pembangkang dengan memperolehi 38 kerusi Parlimen berbanding PKR, 28 kerusi dan Pas, 21 kerusi, oleh itu sudah tentulah mereka tidak akan mengikut rentak ‘gilakan jawatan Perdana Menteri‘ yang dilakukan oleh Anwar.


Keadaan menjadi bertambah sulit untuk Anwar apabila bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mendedahkan sikap Anwar yang mungkir janji terhadap perjanjian beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerima secara terbuka keputusan pilihan raya.


Pendedahan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada Anwar kerana ia membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang tidak berpegang kepada janji.

Sebab itulah Anwar cuba menutupi semua ini dengan mahu menjadikan 15 Jun sebagai tarikh untuk melaksanakan agenda politik mengalih isu.

Anwar berharap, perhimpunan itu akan membangkitkan sentimen rakyat untuk bersama-sama beliau melakukan bantahan kepada BN dan sekali gus mungkin juga boleh mencetuskan Arab Spring di negara ini.

Tetapi Anwar lupa, rakyat Malaysia tidak akan sebodoh itu. Mungkin ada pengikut tegar pembangkang yang akan bersedia menyertai perhimpunan berkenaan tetapi ia tidak akan membawa apa-apa erti kepada politik Malaysia.

Ia memandangkan rakyat Malaysia bukanlah begitu mudah untuk terhasut bagi melakukan perkara yang boleh mencetuskan huru-hara.

Apatah lagi mereka semakin memahami tuduhan kononnya berlaku penipuan dalam PRU-13 hanyalah agenda peribadi Anwar yang dilihat begitu kecewa apabila usaha terakhirnya menjadi Perdana Menteri terbengkalai.


Anwar mahu mengadakan perhimpunan demi perhimpunan bagi menunjukkan kepada dunia luar kononnya beliau mendapat sokongan rakyat.

Bagaimanapun hakikat sebenarnya, perhimpunan itu hanya sekadar agenda peribadi Anwar yang semakin menyedari impiannya untuk menjadi Perdana Menteri bagaikan ‘jauh panggang dari api’.

Selain itu ada juga pihak-pihak yang mengaitkan keghairahan Anwar untuk mengadakan perhimpunan haram ini berikutan kebimbangan beliau terhadap pihak-pihak tertentu di Barat yang semakin tidak mempercayai beliau.

Ia memandangkan seperti mana dilaporkan oleh pelbagai blog, Anwar sebelum ini dikatakan menyakinkan pihak-pihak berkenaan bahawa pembangkang akan mampu menumbangkan BN dalam PRU-13 dan sekali gus membolehkan beliau ditabal menjadi Perdana Menteri.

Tetapi kesudahannya, semua itu hanya sekadar angan-angan Anwar, majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan bumiputera ternyata ‘tidak tergamak’ untuk membuka laluan kepada beliau menduduki jawatan berkenaan.


Mungkin Anwar berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi Cina melalui peranan DAP untuk menyokong pembangkang sehinggakan BN dikatakan memperolehi sekitar tujuh peratus sahaja daripada keseluruhan undi kelompok tersebut.

Bagaimanapun ia belum mencukupi untuk merealisasikan impian Anwar menawan Putrajaya dan sekali gus membolehkan beliau menjadi pemimpin nombor satu negara ini.

Oleh itu Anwar tidak ada cara lain untuk menutupi kegagalan kepada dunia selain menggerakkan rakyat mengadakan perhimpunan haram.

Difahamkan, pembangkang bukan sahaja merancang mengadakan perhimpunan pada 15 Jun, malahan mereka juga merancang untuk mengadakan perhimpunan di Parlimen pada 23 Jun, sehari sebelum majlis angkat sumpah Ahli Parlimen.

Semua itu bertujuan untuk menunjukkan kononnya rakyat bersama Anwar menentang kerajaan BN tetapi kita percaya ia tidak akan ke mana. Sebaliknya, ia hanya akan membuktikan betapa terdesaknya Anwar bagi mencapai cita-cita usangnya.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: