Rabu, Jun 26, 2013

Husam dibebas dengan ikat jamin RM3,000?


Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 oleh seorang penjamin selepas ditahan polis selama dua hari bermula kelmarin.

Perintah jaminan itu dikeluarkan Majistret Nik Habri Muhamad kira-kira pukul 4.30 petang ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor ditahan di Desa Pandan, Ampang, Selangor, pada pukul 3.40 petang atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Beliau diwakili lima orang peguam iaitu Hisham Fauzi, Abdul Rashid Yah, Shaharuddin Mohamed, Nik Baharom Nik Abdullah dan Wan Razak Wan Dolah.

Hisham ketika ditemui di pekarangan IPD Kota Bharu selepas prosiding berkata, polis tidak membuat sebarang permohonan untuk menambah tempoh reman manakala permohonan pihak pembelaan supaya anak guam mereka dibebaskan dengan jaminan telah diterima.


"Tempoh jaminan ini adalah selama sebulan dan selepas itu pihak pendakwaan boleh membuat keputusan sama ada mahu menjalankan pertuduhan di mahkamah atau meneruskan lagi jaminan.

"Semua proses hari ini berjalan lancar dan anak guam kami juga sudah dibebaskan selepas wang jaminan itu dibayar oleh seorang penjamin," katanya.

Penahanan Husam dibuat berhubung satu laporan polis di Ketereh di sini pada 12 Jun lalu berkaitan ucapan berbaur hasutan yang dibuatnya ketika memberi ucapan pada perhimpunan pembangkang di Padang Majlis Daerah Ketereh.

Beliau keluar dari lokap kira-kira pukul 5 petang ini dengan diiringi isterinya, Datin Rohana Abdul Rahman dan dua anak lelakinya serta beberapa pemimpin Pas Kelantan.

Ketika ditemui selepas itu, beliau menyatakan itu adalah pengalaman pertamanya 'bermalam' di dalam lokap dan mengakui pihak polis telah memberi layanan profesional kepadanya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada polis kerana layanan yang sangat baik, tiada herdikan. Mereka telah memberi layanan yang sangat profesional kepada saya.

"Ini pengalaman pertama saya tidur atas lantai dalam lokap dengan berbantal lengan. Keadaan memang agak panas saya berpeluh sepanjang masa tapi tidak mengapa ia baik sebagai sauna dan saya juga dapat tidur lena malam tadi," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: