Khamis, September 05, 2013

Membantu kelas pertengahan?


Pengumuman kenaikan harga minyak sebanyak RM0.20 mendatangkan reaksi yang cukup pelbagai di dalam media baru. Ada yang menggunakan unsur jenaka. Ada juga yang mengambil pendekatan propaganda, meletakkan tanda 'Terima Kasih' di stesen minyak tertentu. Masing-masing punya hak untuk menyatakan pandangan dan pendirian.

Sementara banyak yang menyatakan rasa tidak puas hati, ada juga yang merasakan ia tindakan yang masih boleh diterima akal. Soalnya, proses mencari titik persetujuan dalam isu yang sepanas ini dirasakan cukup sukar.

Satu tajuk status seorang sahabat penulis cukup menarik perhatian. Sebagai profesional muda, dia menyuarakan pandangan sama ada kerajaan benar-benar memikirkan kaedah untuk memberikan sedikit perhatian kepada nasib kelompok 'pertengahan', yang ditekan bukan sahaja dengan cukai, malah kos sara hidup yang tinggi.

Rasional mudah 'kami bayar cukai; orang lain yang menerima nikmat' itu mungkin perlu diperhalusi dalam konteks tanggungjawab 'bernegara' yang lebih besar.

Sebenarnya, perdebatan keperluan menjaga 'hati dan perasaan' kumpulan pertengahan ini bukan sahaja berlaku di negara kita. Ia juga turut menjadi mauduk perbincangan ekonomi penting di banyak negara, sama ada dalam status membangun mahupun maju.


Malaysia mungkin memerlukan satu bentuk kajian menyeluruh bagi mengenali demografi kumpulan pertengahan ini. Apa asas yang perlu kita guna pakai? Pendapatan? Tahap pendidikan? Milikan hartanah? Atau kita memerlukan garis ukur yang lebih holistik.

Hanya dengan data, angka dan statistik yang jelas, mampu kita menjana polisi awam yang inklusif dan tidak semberono. Berapa besar kelompok yang dikatakan sebagai 'golongan pertengahan' ini. Apa angkubah yang mahu kita guna pakai?

Kepentingan angka sebenar kumpulan pertengahan ini dapat kita rasai melalui kajian khusus yang dilakukan di banyak negara. Antara yang terbaru, adalah Economic Mobility and the Rise of the Latin American Middle Class yang turut mendapat kerjasama Bank Dunia.

Apa yang menarik mengenai kajian ini adalah tumpuan yang diberikan kepada konsep 'mobiliti ekonomi' (economic mobility) yang ada di dalam masyarakat di kawasan sana.

Teori asasnya adalah, kedudukan ekonomi manusia tidak statik. Andai kata lima tahun dahulu mereka berada di dalam kelompok miskin, hari ini mereka mungkin sudah berada di kelompok pertengahan.

Perubahan ini pastinya berlaku jika wujud ruang dan peluang buat mereka memajukan diri mahupun keluarga, bersesuaian dengan persekitaran ekonomi yang ada.


Malaysia memerlukan kajian yang sedemikian sifatnya. Kajian yang menjurus kepada data sebenar kumpulan pertengahan, malahan sejauh mana dalam kalangan mereka yang jatuh ke peringkat miskin, di atas apa sahaja masalah ekonomi yang ada. Kajian di Amerika Latin, membuktikan bahawa kemungkinan itu masih berlaku.

Selain daripada kajian yang akademik sifatnya, pendekatan yang lebih mudah turut digunakan di England. Great British Class Survey dijayakan dengan kerjasama BBC bagi mendapatkan tinjauan mengenai perkara sama. Amat menarik, kerana dalam tempoh masa tertentu, lebih 160,000 responden mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Penulis bukanlah seorang yang gemar membeza-bezakan rakyat mengikut 'kelas' dan sebagainya. Namun, artikel ini bertujuan untuk kita memastikan bahawa polisi dan dasar yang dijayakan kerajaan, dapat 'dirasai' oleh semua kumpulan masyarakat. Realiti ekonomi ini tidak mampu kita nafikan.

Walaupun mungkin tidak tergolong dalam kumpulan pertengahan, penulis merasakan mungkin ada perkara yang mampu kita ringankan sedikit kos sara hidup kumpulan ini.

Jangan kita nafikan, dengan gaji yang mungkin RM6 ribu sebulan, isteri seorang surirumah, mempunyai 3 anak bersekolah - 'isu ekonomi' kumpulan ini masih perlu disantuni.

Menurut Indeks Harga Pengguna (CPI), tiga komponen perbelanjaan terbesar bagi rakyat Malaysia adalah - makanan dan minuman bukan alkohol, perumahan dan utiliti, dan akhir sekali pengangkutan. Rangka perbelanjaan ini hampir sama untuk rakyat 'kelas' mana sekalipun.

Oleh yang demikian, penyelesaian yang mungkin mampu menjaga hati dan sensitiviti semua pihak perlu menjurus kepada tiga komponen utama ini.

Aku Janji


Antara perkara yang diberikan keutamaan dalam aku janji Barisan Nasional sebelum pilihan raya yang lalu adalah soal kos sara hidup. Sudah barang tentu, persoalan kos sara hidup ini tidak menjurus kepada BR1M dan perkara berkaitan dengannya.

Perlu ada strategi lebih tuntas dan besar, dalam memastikan pengurangan beban kos sara hidup dapat turut dinikmati pelbagai lapisan masyarakat. Kalaupun bukan dalam bentuk 'pemberian tunai', namun ia masih boleh diberikan dalam bentuk yang lain.

Momentum strategi menangani kos sara hidup yang dicadangkan sewaktu Bajet 2013 boleh dikekalkan, dengan memberi sedikit tumpuan kepada kumpulan pertengahan. Mahu dikatakan kumpulan ini tidak 'merasai' langsung nikmat Bajet 2013 juga adalah kenyataan yang meleset.

Bajet 2014 akan disusun di luar persekitaran suhu politik yang panas - selepas PRU. Mungkin wajar ia menjadi sedikit tegas dalam pendekatan ekonomi, namun masih menyusur jalan menyejahterakan rakyat dalam segenap segi. Akhirannya nanti, bukanlah 'kelas' yang dijadikan keutamaan - namun rakyat jua secara keseluruhannya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: