Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Jumaat, April 29, 2016
Benarkah bekas senator didakwa akan sertai PKR?
Bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor didakwa akan menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik presiden parti berkenaan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut sumber seperti yang dipetik oleh Suara TV, Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan Ezam berhubung perkara itu.
“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, kak Wan (Wan Azizah) telahpun mengadakan perbincangan bersama Ezam dan satu pelan sedang dirangka untuk membawanya kembali bersama PKR.
“Setakat ini hasil perbincangan amat positif dan Ezam dikatakan telah bersetuju untuk membantu mengukuhkan sokongan politik kak Wan di dalam PKR yang semakin merosot, malah Ezam baru-baru ini juga dilihat semakin ‘garang’ menyerang pentadbiran Najib dan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang diatur,” katanya.
Sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu juga turut memaklumkan bahawa antara peranan dan tanggungjawab Ezam ialah mewujudkan ‘check dan balance’ di dalam parti yang ketika ini sedang didominasi oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali
“PKR ketika ini sedang dikuasai oleh Azmin dan orang-orangnya dan perkembangan itu dilihat sangat bahaya untuk politik Kak Wan.
“Azmin telah menggunakan kesempatan sebagai Menteri Besar Selangor untuk mengukuhkan kedudukan politiknya sekaligus menyebabkan pengaruh Kak Wan semakin lemah” katanya.
Ezam meninggalkan parti PKR pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.
Ezam sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010 apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014.
Namun sejak 1 April lalu, Ezam tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan, walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan.
Suara Politik
Belantan
Khamis, April 28, 2016
#PRN Sarawak : PKR-DAP terus berbalah?
Konflik pertembungan antara PKR dan DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN) semakin meruncing apabila pemimpin kedua-dua parti itu berbalas kenyataan berikutan pertembungan mereka di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketika PKR berkeras calonnya tidak akan menarik diri bagi memberi laluan kepada sekutunya itu, DAP pula menegaskan, parti tersebut kini akan memberi fokus terhadap kesemua 31 kerusi yang ditandinginya dan tidak akan lagi memikirkan berhubung perebutan kerusi dengan PKR.
Dalam sidang akhbar di sini hari ini, Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar berkata, tindakan DAP yang menyatakan kesediaan untuk menarik diri di DUN Batu Kitang jika PKR berbuat perkara sama di lima kawasan lain bertindih menunjukkan DAP sebenarnya tidak serius untuk bertanding di DUN tersebut.
“Tiada sebab untuk meminta kami menarik diri di lima kerusi DUN sebagai pertukaran dengan Batu Kitang. Calon kami tidak akan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon DAP sebagai pertukaran (kerusi DUN),” katanya.
Semalam, Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke menyatakan pihaknya bersedia menarik diri di Batu Kitang jika PKR berbuat perkara sama di lima lagi kerusi bertindih iaitu Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.
Mengenai DUN Batu Kitang, Xavier berharap penyokong pembangkang memberikan undi kepada calon PKR, Voon Shiak Ni yang mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa beberapa kawasan yang boleh dimenangi parti berkenaan pada PRN Sarawak telah terjejas dengan tindakan PKR itu kerana mencabuli perjanjian dengan DAP mengenai agihan kerusi.
Suara Politik
Belantan
#PRN Sarawak - Pakatan pembangkang retak?
Dengan kegagalan DAP dan PKR mengelakkan pertembungan sesama sendiri berdepan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri ini adakah bermakna mereka telah melanggar perjanjian pembentukan pakatan harapan yang dimeterai Januari lalu?
Dalam Fasal 5 perjanjian yang dimeterai itu jelas menyatakan pakatan harapan dianggotai DAP, PKR dan PAN akan meletakkan hanya seorang calon untuk mewakili pakatan itu dalam mana-mana pilihan raya.
Sebarang pelanggaran kepada keputusan itu boleh disifatkan sebagai pelanggaran perjanjian yang perlu diputuskan mengikut kaedah yang dihuraikan di dalam Fasal 7: Keabsahan Pakatan.
Fasal 7.2 jelas menyatakan bahawa jika terdapat satu parti secara jelas telah melanggar mana-mana perkara di dalam perjanjian itu maka parti tersebut boleh digugurkan keahlian dalam pakatan harapan.
Perjanjian pakatan harapan yang dimeterai 9 Januari lalu di Shah Alam itu ditandatangani Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.
Hari penamaan calon di Sarawak semalam jelas menunjukkan percanggahan antara parti dalam pakatan harapan.
Majlis Presiden pakatan itu yang bertanggungjawab menentukan pembahagian kerusi untuk pilihan raya gagal mengagihkan kerusi dengan baik sehinggakan terdapat enam kerusi melibatkan pertembungan DAP dan PKR iaitu di N13 Batu Kitang, N19 Mambong, N32 Simanggang, N49 Ngemah, N66 Murum dan N78 Mulu.
Di Kuching dalam ceramahnya malam tadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak lagi dapat menyembunyikan rasa kecewanya terhadap kegagalan memandu pakatan pembangkang berdepan BN di Bumi Kenyalang.
“Saya memohon maaf kepada rakyat Sarawak dan Malaysia kerana kegagalan pakatan harapan untuk memastikan pertandingan satu sama satu dengan BN,” katanya.
Maka, apabila persetujuan gagal diperoleh Majlis Presiden dalam menentukan apa jua keputusan, adakah bermaksud pakatan harapan sudah pun terkubur?
Suara Politik
Belantan
Rabu, April 27, 2016
#PRN Sarawak : Azmin kesal PKR–DAP bertembung di enam kerusi?
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali kesal berikutan parti itu akan bertembung dengan sekutunya, DAP di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Batu Kitang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 7 Mei ini.
Mohamed Azmin berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh DAP, sebaliknya hanya mengetahui menerusi laporan berita pagi tadi.
“Saya tidak tahu (DAP akan bertanding kerusi Batu Kitang)...saya mendapat tahu menerusi laporan berita pagi ini.
“Ketika saya bercakap dengan (Lim) Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) melalui perbualan telefon 10 malam tadi, dia tidak beritahu salah seorang daripada (calon) kami perlu menarik diri...beliau mahu teruskan rundingan, maka ini suatu yang malang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Baca di Perpustakaan Tun Uda di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertembungan calon PKR dan DAP di enam kerusi tersebut pada PRN Sarawak ke-11.
Selain Batu Kitang pada penamaan calon hari ini, kerusi Mulu, Murum, Mambong, Simanggong dan Ngemah menyaksikan pertembungan antara calon DAP dan PKR.
Sebelum ini, menerusi perjanjian bertulis berhubung pengagihan kerusi yang ditandatangani antara PKR dan DAP pada 7 April lepas, kerusi Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga telah diperuntukkan kepada PKR.
Sementara kerusi Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah dan Murum akan ditandingi DAP.
Bagaimanapun, PKR dilihat ‘mencabuli’ persetujuan pembahagian kerusi itu dengan bertanding menentang DAP di Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.
DAP pula membalas dengan meletakkan calonnya menentang PKR di Batu Kitang.
Mengulas mengenai perjanjian bertulis berkenaan, Mohamed Azmin mengakui beliau telah memberikan kuasa kepada Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian untuk menandatangani surat kebenaran bagi calon-calon PKR bertanding di lima kerusi yang menjadi perbalahan dengan DAP.
Azmin, bagaimanapun mendakwa beliau membuat keputusan itu berdasarkan mandat yang diberikan presiden parti, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepadanya untuk menyelesaikan pertikaian kerusi tersebut. – BERNAMA
Suara Politik
Belantan
Isnin, April 25, 2016
Semua darjah kebesaran negeri MB Terengganu dilucut berkuat kuasa 22 April.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa Jumaat, 22 April lalu.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama hari ini.
Kenyataan itu berbunyi: "Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah melucutkan semua Darjah-darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang telah dikurniakan kepada Ahmad Razif bin Abd Rahman berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 22 April 2016.
"Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu."
Ahmad Razif dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.
Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014. - BERNAMA
Suara Politik
Belantan
Ahad, April 24, 2016
Guan Eng DAPigs dah gila meroyan - Cabar benarkan pemimpin pembangkang ke Sarawak?
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mencabar Kerajaan Sarawak supaya membenarkan wakil rakyat dan pemimpin pembangkang memasuki negeri berkenaan.
Guan Eng berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima banyak laporan berhubung sekatan ke atas beberapa pemimpin pembangkang memasuki negeri berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Selasa lalu supaya membenarkan pemimpin dan wakil rakyat DAP masuk ke negeri berkenaan.
"Kami (DAP) menyokong kuasa untuk menghalang mana-mana individu memasuki Sarawak tetapi kalau hanya halang pemimpin pembangkang, ia adalah salah guna kuasa.
"Ramai pemimpin pembangkang dihalang masuk ke Sarawak walaupun tidak terbabit dalam mana-mana kegiatan atau kesalahan jenayah.
"Saya bersama Naib Pengerusi DAP dan Pengerusi DAP Pulau Pinang akan ke Kuching esok untuk melihat sama ada kami turut dihalang memasuki negeri itu atau sebaliknya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Suara Politik
Belantan
Khamis, April 21, 2016
Apabila sukar untuk terima kebenaran?
Walaupun Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir sudah mengesahkan wang RM2.6 bilion adalah derma tulen dari negara itu dan ia diberikan tanpa mengharapkan sebarang balasan, namun ada dalam kalangan anggota pakatan pembangkang tidak berpuas hati.
Justeru mereka cuba mengaitkan derma itu dengan soal lain pula termasuklah kononnya Malaysia telah dibeli oleh Arab Saudi untuk menyertai blok besar di Asia Barat. Dakwaan itu dinafikan dengan tegas oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan ia tidak berasas sama sekali.
Mungkin pemimpin pembangkang berkenaan tidak berpuas hati selepas mengetahui segala tuduhan dan tohmahan mereka berhubung derma RM2.6 bilion tidak benar. Selama ini dengan kerjasama portal propembangkang seperti Malaysiakini pelbagai dakwaan mereka lakukan terhadap Perdana Menteri. Ini termasuklah menuduh RM2.6 bilion itu adalah wang 1MDB.
Tetapi sekarang kebenaran sudah terbukti, pembangkang malu sendiri kerana yang mengesahkan bahawa wang itu adalah derma bukanlah calang-calang individu sebaliknya Menteri Luar Arab Saudi.
Lanjutan itu, pakatan pembangkang dan beberapa pemimpin politik yang selama ini menjadikan derma RM2.6 bilion sebagai modal politik bagi memburuk-burukkan Perdana Menteri ‘tenggelam punca’. Mereka kehilangan satu modal politik yang selama ini digunakan hampir lebih setahun bagi menggambarkan betapa buruknya Perdana Menteri dan kerajaan.
Dalam keghairahan itu, mereka mengetepikan segala fakta, malah hasil siasatan yang dilaksanakan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga ditolak mentah-mentah. Seluruh negara mereka menjelajah untuk menguar-uarkan mengenai isu RM2.6 bilion.
Kini segala sudah jelas. Pakatan pembangkang perlu belajar untuk menerima fakta dan hakikat serta tidak harus mengikut nafsu politik dalam berhadapan isu derma RM2.6 bilion. Penjelasan Menteri Luar Arab Saudi sepatutnya diterima secara terbuka. Kalaupun mahu mencari populariti memandangkan parti yang diwakili ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’, tidak payahlah mencari publisiti murahan dengan menuduh ‘Malaysia telah dibeli oleh Arab Saudi’.
Persoalannya, yang mana lebih baik, menjalinkan hubungan rapat dengan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi atau berkawan rapat dengan media asing bagi memburuk-burukkan negara sendiri? Sebenarnya, kalaupun bukan Arab Saudi yang menghulurkan derma itu, tohmahan tetap akan dilemparkan kepada Perdana Menteri. Oleh itu, biarkan sahaja ketidakmatangan politik oleh pakatan pembangkang berterusan.
Kita sudah tidak perlu lagi membuang masa melayan mainan politik oleh sesetengah pemimpin pembangkang. Pembangkang hanya mahu melihat fakta yang dibentangkan menyebelahi mereka, kalau sebaliknya akan ditolak mentah-mentah. Sebab itulah penulis melihat, tuduhan kononnya Malaysia dibeli oleh Arab Saudi berikutan derma yang diberikan menampakkan betapa muflisnya sesetengah pemimpin pembangkang dalam mencari isu meraih sokongan rakyat.
Jika benar berjuang atas nama kebenaran dan keadilan, mereka sudah tentulah menerima secara terbuka kenyataan Arab Saudi berhubung perkara itu, bukannya terus berusaha untuk memutar belit fakta atau membuat kenyataan politik yang mengelirukan.
Sememangnya kita memahami, pakatan pembangkang semakin ketandusan modal politik khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak. Di negeri Bumi Kenyalang itu, antara PKR dan DAP masih belum mencapai kesepakatan mengenai kerusi yang akan ditandingi. Justeru mereka terpaksa mencipta isu bagi mengalih pandangan rakyat terhadap kemelut dalam pakatan berkenaan. Namun mereka lupa rakyat tidaklah sebodoh yang disangka.
Rakyat menerima penjelasan kerajaan Arab Saudi mengenai derma RM2.6 bilion. Sekurang-kurangnya mereka mengetahui dari mana wang itu datang. Tetapi persoalannya pernahkah rakyat mengetahui dari mana pakatan pembangkang memperoleh dana politik mereka? Kalau pembangkang jujur sudah pastilah mereka akan mendedahkan dari mana mereka mendapat sumber kewangan bagi membiayai pertarungan dalam pilihan raya.
Setakat ini, kita tidak tahu apa-apa. Walaupun penulis mendengar bermacam-macam cerita mengenai punca wang yang diperoleh oleh pakatan pembangkang, namun penulis menganggapnya sekadar khabar angin biarpun banyak keraguan mengenai perkara itu.
Kalaulah pembangkang boleh mendesak kerajaan mendedahkan dari mana RM2.6 bilion, kenapa layanan yang sama tidak diberikan kepada soal dana politik kepada pembangkang? Bukankah ini juga berkaitan soal integriti dan ketelusan? Apapun kita percaya pembangkang seperti biasa hanya mengamalkan sikap ‘tuding kain orang terkoyak sedangkan kain sendiri sudah terlondeh’.
Kalau kerajaan buat semuanya salah, kalau dikaitkan dengan kerajaan semuanya betul. Namun kita tidak boleh mengeluh kerana itulah standard pakatan pembangkang di negara ini. Mereka mahu berpolitik sepanjang masa. Dalam kepala mereka penuh dengan pemikiran untuk mencari keuntungan politik, tidak lebih daripada itu.
Kesimpulannya, biarlah sesetengah pemimpin pembangkang terus ‘meroyan’ dalam isu RM2.6 bilion. Apa yang penting sekarang kerajaan perlu terus berusaha membawa rakyat ke arah kesejahteraan. Kalau mahu dilayan setiap tuduhan sampai kiamat pun belum tentu selesai. Oleh itu, biarlah pembangkang ‘terjun dengan labu-labu’, apatah lagi kalau yang membuat kenyataan berhubung sesuatu itu hanyalah bertaraf ‘badut politik’ dalam sebuah parti.-UMO
Suara Politik
Belantan
Rabu, April 20, 2016
CEO Malaysia Airlines letak jawatan
Tidak sampai setahun dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd. (MAB), Christoph Mueller bakal meninggalkan syarikat penerbangan negara tersebut berkuat kuasa September 2016.
Menurut MAB, perletakkan jawatan itu dipohon oleh Mueller sendiri iaitu lebih awal daripada kontrak perkhidmatan tiga tahun yang diberikan kepadanya.
Jelas syarikat itu, Mueller bagaimanapun akan terus berkhidmat bersama MAB sehingga September ini sebagai untuk memenuhi notis enam bulan perletakkan jawatannya. Namun pada masa sama, beliau melahirkan hasratnya untuk terus kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MAB selaku Pengarah Bukan Eksekutif.
“BOD menerima hasrat beliau itu untuk meninggalkan syarikat lebih awal ekoran disebabkan hal peribadinya, dan pencarian CEO baharu telah dimulakan dengan menilai calon-calon yang berpotensi sama ada dari dalam atau luar syarikat,” jelas MAB dalam kenyataannya hari ini.
Suara Politik
Belantan
Selasa, April 19, 2016
Nazir Razak bercuti sementara!
Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB), Datuk Seri Nazir Tun Razak berkata, hasratnya mengambil cuti sementara bermula hari ini adalah memastikan siasatan berhubung pemindahan dana politik menggunakan akaun bank dijalankan dengan telus dan menjaga imej CIMB.
Beliau tidak menafikan berlakunya transaksi dana tersebut menerusi akaunnya pada 2013, tetapi menjelaskan pada waktu itu beliau menjangkakan dana bernilai AS$7 juta (RM27.5 juta) itu merupakan sumbangan politik yang sah.
Katanya, berdasarkan pengalamannya lebih 25 tahun dalam sektor perbankan beliau percaya tindakannya tidak melanggar undang-undang atau menyalahgunakan kedudukannya di dalam bank.
Cuti itu diambil bagi membolehkan CIMB bersama firma audit bebas, Ernst & Young untuk mengkaji sama ada transaksi pemindahan dana itu melanggar undang-undang dan menjejaskan imej CIMB, kata beliau. Sebagai rekod, Nazir tidak disiasat oleh mana-mana pihak berkuasa di dalam atau pun luar negara.
“Saya hanya membantu abang saya sebagai Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk membantunya semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Ia berlaku pada 2013, abang saya telah meminta bantuan dan saya mempersetujuinya setelah mendapati dana itu tidak melibatkan sebarang pelanggaran undang-undang.
“Saya bertindak apa yang diketahui pada waktu itu sahaja sebelum pelbagai kontroversi bermula pada 2014 khususnya membabitkan isu sumber dana politik. Jika tidak, saya tidak mahu melakukan perkara yang menjejaskan reputasi CIMB,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) bank itu di sini hari ini.
Jelas Nazir, cuti sementara itu telah dimaklumkan kepada pemegang saham syarikat semasa AGM, serta Lembaga Pengarah CIMB yang telah menerima hasratnya untuk mengambil cuti.
Beliau berkata, kajian itu telah bermula 5 April lalu yang dijangka mengambil masa berminggu-minggu dan membiarkan Lembaga Pengarah CIMB membuat keputusan sama ada mahu mengekalkannya sebagai pengerusi bank atau tidak mengikut apa jua hasil kajian yang diperoleh.
Mengikut laporan The Wall Street Journal pada awal bulan ini, Nazir dipetik sebagai berkata, beliau menjangkakan duit yang diterima itu merupakan dana politik yang biasa diperoleh daripada sumbangan korporat dan individu kepada parti-parti politik untuk menghadapi PRU-13. Jelasnya, kesemua dana tersebut telah diagihkan.
Tambahnya, beliau sebelum ini tidak memperbesar-besarkan isu pemindahan dana transaksi tersebut kerana mengandaikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelabur akan menyambut baik pengumuman Nazir untuk bercuti malah menganggap ia sepatutnya memberi kesan positif terhadap prestasi saham CIMB kerana bank itu mahu menjaga standard tadbir urus.
Suara Politik
Belantan
Isnin, April 18, 2016
Dr. M kena bertanggungjawab?
Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir yang mengesahkan sumbangan derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuktikan ‘serangan-serangan’ daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta pakatan pembangkang merupakan tuduhan liar dan palsu.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, Dr. Mahathir sewajarnya bertanggungjawab terhadap kerosakan yang dilakukan terhadap imej negara dan media-media barat juga perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membenarkan diri mereka diperalatkan.
“Pembohongan daripada Tun Dr. Mahathir adalah didorong kepentingan peribadi, ia bukan untuk Malaysia atau rakyat. Apa yang dilakukan adalah penipuan untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik dan menyelamatkan karier politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Media-media barat yang membenarkan diri mereka diperalatkan untuk mempropagandakan tuduhan palsu ini perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan Tun Dr. Mahathir juga perlu bertanggungjawab ke atas kerosakan reputasi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menteri Luar Arab Saudi yang bercakap kepada wartawan Malaysia di Instabul semalam mengesahkan sumbangan derma RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Arab Saudi yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah tulen tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripadanya.
Adel al-Jubeir juga mengambil maklum kes berkenaan ditutup dengan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali telah meneliti secara terperinci perkara tersebut dan mendapati tidak ada sebarang salah laku.
Menurut Tengku Sariffuddin, kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu mengesahkan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri selama ini dan hasil siasatan pihak berkuasa yang menyimpulkan dana itu merupakan sumbangan derma dari Arab Saudi.
“Ini sekali gus membuktikan pelbagai tuduhan liar yang dilemparkan sepanjang setahun ini oleh Tun Dr. Mahathir dan kempen anti-Najib adalah tidak benar,” katanya.-UMO
Suara Politik
Belantan
Sabtu, April 16, 2016
Adakah WSJ akan mohon maaf?
Agak pelik juga mengapa WSJ lambat siarkan kenyataan Menteri Luar Arab Saudi? Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir yang mengesahkan sumbangan derma RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tulen mendapat liputan meluas kebanyakan media antarabangsa.
Meskipun mendapat perhatian media antarabangsa seperti The Express Tribune, Jakarta Globe dan Reuters apabila mengemas kini berita tersebut dengan pantas, perkara itu bagaimanapun dilihat tidak mendapat perhatian The Wall Street Journal (WSJ) yang lewat menyiarkan laporan berkenaan.
Persoalannya, jika benar agensi media antarabangsa terbabit telus dan konsisten dalam membongkar sesuatu kes khususnya isu derma RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengapa WSJ tidak mengemas kini kenyataan itu pada masa yang sama dengan agensi berita lain?
Sedangkan rata-rata media antarabangsa mengemas kini laman web rasmi mereka untuk artikel berkenaan seawal kira-kira pukul 8 pagi hari ini.
Namun begitu, WSJ hanya memuat naik laporan tersebut kira-kira pukul 5.30 petang hari ini dengan tajuk, ‘Menteri Luar Arab Saudi berkata, beliau menyedari derma kepada Najib’ menerusi laman sesawang mereka.
Sebelum ini, WSJ melaporkan berita yang tidak konsisten dan tanpa bukti kukuh terhadap isu RM2.6 bilion dan 1MDB sejak Julai tahun lalu serta dikecam oleh pelbagai pihak yang menganggap penyiaran artikel oleh agensi berita tersebut dalam hal berkenaan sebagai satu ancaman luar.
Lebih membimbangkan, penggunaan media sosial secara meluas oleh masyarakat menyebabkan ada di antara mereka yang mudah terpedaya dengan laporan berat sebelah tanpa mencari kebenaran serta keseimbangan berita.
Walaupun sudah berkali-kali isu RM2.6 bilion dan 1MDB dijawab oleh kerajaan sebelum ini, tekanan oleh WSJ dengan laporan berat sebelah mereka secara tidak langsung menyebabkan rakyat semakin terkeliru.
Sungguhpun begitu, WSJ baru-baru ini mengakui bahawa wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib adalah sumbangan daripada Arab Saudi dan bukannya milik 1MDB.
Ekoran pengakuan daripada WSJ itu, mereka ibarat berhutang permohonan maaf kepada rakyat Malaysia yang selama ini keliru dengan siaran laporan berat sebelah agensi berita berkenaan.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catatan (Atom)