Isnin, Mei 30, 2016

Ancaman ultra kiasu kepada Islam?


Apa-apa sahaja berkaitan dengan hal ehwal Islam, yang tidak ada kaitan langsung dengan bukan Islam, mesti ditentang oleh ultra kiasu, sama ada berada dalam Barisan Nasional (BN) atau di luar. Kalau dahulu mereka bersatu dalam senyap.

Hari ini menjadi lebih berani, bersatu secara terbuka. Puncanya, mereka tahu umat Islam tidak mungkin bersatu atau menjadi kuat. Apatah lagi dengan bilangan 50-50, berpecah kepada lebih lima kumpulan. Tidak mustahil 10 kumpulan.

Tidak mustahil satu hari nanti, Peribumi tidak memerintah, tetapi diperintah. Bukti-bukti sebegini sudah banyak berlaku kepada negara lain, sama ada kita mahu mengambil pengajaran atau tidak. Janganlah diambil Singapura dan Fiji sebagai contoh, kerana semua sudah sedia maklum. Carilah negara lain yang saya tidak perlu sebut di sini.

Akta 355 bagi memperkasakan peranan mahkamah syariah yang dibentangkan oleh Presiden Pas, mendapat tentangan yang amat hebat daripada ultra kiasu, walaupun tiada kaitan langsung dengan mereka. Orang Islam makan cili, ultra kiasu terasa pedas.

Usul itu dibentang bagi meminda Seksyen 2 akta. Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut. Mahkamah syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.

Jika umat Islam tidak berhak ke atas cara hidup dan undang-undang, apakah lagi yang tinggal kepada umat Islam hari ini? Sudahlah kekayaan ekonomi dibolot oleh orang lain. Sampai ke peringkat nak dapatkan cara hidup sendiri pun tidak dibenarkan.

Apakah mereka sudah lupa bahawa negara ini berasal-usulkan kepada ketuanan Melayu dan Islam? Peliknya, dalam kalangan kita sebagai umat Islam, tidak ada yang berani melawan ultra kiasu. Ke manakah hilangnya semua telur itu?


Kenapa kita boleh menerima cara hidup dan undang-undang barat serta komunis tetapi begitu memandang hina kepada Islam? Pernahkah umat Islam atau pemerintah Islam mengambil hak bukan Islam selama ini? Buktikan kepada saya berapa kes orang Islam menzalimi bukan Islam?

Pergilah ke negara Islam, buatlah kajian bagaimana bukan Islam membina empayar kekayaan mereka di negara Islam tanpa diganggu-gugat oleh pihak berkuasa Islam.

Agama Islam sangat jelas dalam hal ini. Kita dilarang sama sekali merampas hak bukan Islam. Hak berekonomi, hak peribadi, hak melakukan ibadat dan berbagai hak lagi. Hatta, nak berjudi dan minum arak, dibenarkan, asalkan tidak menimbulkan mudarat kepada khalayak.

Sehinggakan dalam peperangan sekalipun jika berlaku. Rasulullah menegaskan, jangan lakukan beberapa perkara berikut terhadap bukan Islam. Jangan membunuh orang tua, wanita, kanak-kanak dan memusnahkan rumah ibadat mereka kerana mereka ada hak ke atas itu.

Apa lagi yang bukan Islam mahu? Apakah pernah kita merampas kekayaan mereka? Apakah kita pernah merobohkan rumah ibadat mereka tanpa alasan? Fakta membuktikan kekayaan mereka berlipat kali ganda. Begitu juga rumah ibadat mereka. Mereka menguasai ekonomi, orang Melayu masih ramai lagi merempat.

Hari ini kita hanya memohon, benarkan kami sebagai umat Islam, hidup di bawah cara hidup dan undang-undang kami. Itu pun tidak dibenarkan. Apakah Peribumi perlu meminta izin daripada penghijrah?

Apakah ia terlalu kuno dan hina? Tidakkah undang-undang Barat telah menjadikan manusia lebih hina? Jika tidak kenapa negara China mengharamkan lima media sosial seperti Google, Instragam, Twitter, Facebook dan Snapchat, kalau bukan mahu mengekang pengaruh Barat daripada merosakkan mereka. Kenapa ultra kiasu tidak bantah kerajaan negara China bertindak sedemikian.

Kerajaan kita terlalu baik. Tidak boleh dibayangkan jika kerajaan Malaysia bertindak seperti negara China. Ketika itu akan riuh-rendah atau roboh Parlimen dengan hiruk-pikuk suara ultra kiasu ini.

Saya bersetuju dengan kata-kata Presiden Pas sebelum ini lebih baik berkawan dengan lembu daripada babi. Ternyata sudah kebenarannya. Apakah kita perlu membaca atau menonton kembali filem animasi babi, Animal farm, karangan George Orwell? Four legs good, two legs bad (or better). All animals are equal, but some animals are more equal than others. Adakah ultra kiasu berasakan mereka lebih superior daripada Peribumi?

Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik. Berterus teranglah. Jika tidak ada pilihan antara terpaksa memilih lembu dan babi. Jawapannya sudah pasti, Melayu pilih lembu, ultra kiasu memilih babi. Sudah tentunya saya memilih lembu.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA

Suara Politik
Belantan

Pakatan dikatakan tarik 'handbrake’ bantu Pas?


Dengar khabar kerajaan PKR Selangor diketuai Mohamed Azmin Ali tarik ‘handbrake’ sebaik sahaja Pas mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr. Rani Osman sebagai calon di Sungai Besar.

Timbalan Presiden PKR itu nampaknya ‘sentap’ habis.

Bukan sahaja jentera kerajaan negeri difahamkan tidak akan digunakan untuk membantu calon Pas, bahkan organ rasmi pakatan pembangkang di negeri itu, Selangorkini dan TV Sela­ngor pun terpalit sama.

Dikatakan jika sebelum ini tempat penginapan untuk petugas di Sungai Besar telah disediakan. Namun bila Pas tidak mempedulikan ‘arahan’ pucuk pimpinan pakatan jangan letakkan calon, kemudahan itu ditarik balik. Terpaksa berulang alik? Betulkah?

Mohamed Azmin nampaknya ‘berpatah arang’ dengan Pas. Ugutannya sebelum ini yang mahu memecat tiga Exco Pas pun tak jalan bila tempoh yang ditetapkan Isnin lalu berlalu.

Pakatan pembangkang dikatakan hanya merestui PAN atau PKR bertanding di Sungai Besar.

Tetapi yang lebih ‘dekat di hati’ DAP adalah PAN kerana bukan sahaja hubungan baik ketua­nya, Mohamad Sabu dengan ‘dinasti Lim’ tetapi demi meme­cahkan sokongan pengikut Pas.


Difahamkan, sama ada Mohamad Sabu atau calon Pas Parlimen Kuala Selangor yang tewas 460 undi pada 2013, Dr. Dzulkefly Ahmad akan diumumkan 1 Jun ini, sekali gus memasuki senarai calon dalam persaingan tiga penjuru nanti. Kalau PAN masuk, adakah Selangorkini dan TV Selangor dapat balik apa yang ‘hilang’?

Mohamed Azmin tidak dapat ‘beri muka’ kepada Pas yang meletakkan kedudukannya sekarang (jawatan menteri besar) kerana kedudukannya pun ‘tersepit’. Di sebelah kanan, Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memerhati manakala di sebelah kiri, DAP yang anti-Pas meneliti gerak gerinya.

Tiga hari lepas Mesyuarat Biro Politik PKR dipengerusikan Wan Azizah memutuskan agar Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli melaporkan dakwaan wujud habuan wang dan wanita ketika berurusan dengan Kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Pening kepala Mohamed Azmin.


Itu belum lagi isu banjir, rumah terbakar yang menyebabkan rakyat Selangor susah hati.

Setakat ini Mohamed Azmin bernasib baik. Semua itu Kerajaan Pusat yang terlebih dahulu selesaikannya. PKR hanya ambil nama sahaja.

Isu-isu yang melanda Mohamed Azmin sebelum ini pun juga tiada satu pun yang dijawab secara tepat. Isu melibatkan Da­rul Ehsan Investment Group (DEIG) dan ‘kehilangan’ dana penstrukturan air sebanyak RM7.6 billion, apa kesudahannya?

Itu belum lagi isu berhubung agihan zakat, DEIG, kos cat pintu gerbang Selangor yang memakan belanja RM9.7 juta dan balak. Apa ceritanya?

Pilihan raya kecil Sungai Besar akan menjadi ‘tanda aras’ kedudukan Mohamed Azmin.

Dan keputusannya paling ditunggu oleh Wan Azizah - orang yang masih ‘gigit jari’ untuk mengisi jawatan menteri besar.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Mei 29, 2016

DAP ‘meroyan’, Azmin tertekan?

Sepatutnya DAP mengimbas kembali bagaimana layanan mereka terhadap Pas sebelum ini. Kenapakah pentingnya Pas difikirkan apabila mahu menghadapi pilihan raya sahaja?

DAP tiba-tiba melatah apabila menyatakan pa­katan pembangkang ti­dak boleh lagi bergantung harap kepada Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar atas alasan kecenderungan parti itu untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN). Malah DAP turut menyifatkan Pas sebagai sekutu sulit kepada UMNO dan BN kerana enggan berunding berhubung kedua-dua kerusi itu.

Persoalannya, sejak bila pula DAP pandai berunding dengan Pas? Kenapa apabila Pas sudah tidak lagi berada dalam pakatan pembangkang, baharulah parti itu dilihat berharga kepada pakatan tersebut? Sepatutnya DAP mengimbas kembali bagaimana layanan mereka terhadap Pas sebelum ini. Kenapakah penting­nya Pas hanya difikirkan apabila mahu menghadapi pilihan raya sahaja?

DAP seharusnya menghormati Pas kerana kedua-dua kerusi itu sememangnya kerusi tradisi Pas, lagipun bukankah Setia­usaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri sudah menyatakan parti itu tidak berminat bertanding di situ, oleh itu kenapa DAP hendak menyibuk menyerang Pas? ­Paling dikesalkan, DAP juga mengeluarkan hujah dangkal apabila mengaitkan sikap Pas itu dengan BN. Tak pasal-pasal BN dikaitkan sedangkan masalah yang berlaku melibatkan perbalahan dan pertelingkahan antara parti-parti pembangkang.

Kalaupun DAP berhasrat mencari modal politik atau terus mahu menjadi ‘taiko’ dalam pakatan pembangkang, tidak payahlah hendak mengaitkan BN atau UMNO dalam soal perbalahan mereka dengan Pas. Apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang bukanlah salah BN, tetapi salah DAP yang bersekongkol dengan PKR melayan Pas bagaikan sebuah parti tidak bermaruah ketika Pas berada dalam pakatan pembangkang dahulu.

UMNO tidak mempunyai ­apa-apa kaitan dengan pendirian Pas untuk bertanding di kedua-dua kerusi itu. Lagipun hubungan antara kedua-dua parti lebih kepada persefahaman antara se­sama Islam dan bukannya politik, maknanya mereka tetap akan bertarung sesama sendiri dalam pilihan raya.

Selama ini yang menjadi pujaan DAP bukannya pemimpin-pemimpin Pas tetapi pemimpin-pemimpin PAN, bukankah DAP bagaikan berpesta apabila PAN ditubuhkan? Justeru berilah kepercayaan kepada PAN untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Pas dalam ­pakatan pembangkang.

Bagaimanapun kita boleh faham kenapa DAP ‘meroyan’ dengan sikap Pas, ini kerana mereka sama sekali tidak yakin dengan PAN yang terbukti sekadar ‘penyendal’ dalam pakatan pembangkang. DAP tahu sejauh mana kekuatan Pas apatah lagi dalam berhadapan dengan pilihan raya.

DAP mungkin terpaksa ber­suara selepas PKR sendiri terpaksa turun ke gelanggang PRK khususnya di Sungai Besar dalam keadaan penuh kepincangan. PKR kini sedang berhadapan de­ngan masalah dalaman yang menyaksikan pertembungan an­tara kelompok Menteri Besar, Sela­ngor yang juga Timbalan Pre­siden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan puak yang dike­tuai oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.


Perbalahan antara mereka bukan lagi secara tertutup sebalik­nya sudah menjadi rahsia umum. Mohamed Azmin yang sebelum ini begitu lantang mengkritik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Pelabuhan itu menjadi MB, kini semakin memahami betapa hebatnya politik dalam PKR dan betapa ‘panasnya’ kerusi MB tersebut.

Dari semasa ke semasa, Mohamed Azmin terus menerima tekanan termasuklah dalam isu habuan wang dan perempuan yang dinafikan secara tegas oleh beliau. Gesaan beliau supaya pihak yang melakukan tuduhan mengemukakan bukti juga seolah-olah tidak layan. Penulis diberitahu oleh beberapa rakan dalam PKR, asakan demi asakan akan terus dilakukan sehinggalah Mohamed Azmin berundur daripada jawatan MB.

“Dari segi kekuatan dalam PKR, Mohamed Azmin sebenar­nya keseorangan. Kalau adapun tidaklah seramai kelompok yang mahukan beliau berundur,’’ kata salah seorang rakan kepada penulis. Selain isu perbualan habuan wang dan perempuan dalam pentadbiran kerajaan negeri, Mohamed Azmin juga dikatakan gagal untuk menangani perbalahan dengan Pas berhubung PRK Su­ngai Besar.

Walaupun Mohamed Azmin me­nafikan memberi kata dua kepada tiga exco Pas untuk meletakkan jawatan jika parti itu bertanding di kawasan Parlimen berkenaan, namun kenyataan Dewan Ulama Pas yang mengesahkan Mohamed Azmin memang berbuat demikian menyebabkan kredibiliti Menteri Besar Selangor itu semakin dipertikaikan. Oleh itu, Mohamed Azmin akan mengepalai jentera PKR turun ke Sungai Besar dalam keadaan pincang.

Situasi yang sama juga di­jangka berlaku di Kuala Kangsar, apabila pembangkang akan turun dalam keadaan berantakan, namun begitu ini bukanlah satu situasi yang bermaksud, jentera BN di kedua-dua kawasan tersebut boleh bersenang-lenang.

Ketika cabaran pembangkang mungkin agak lemah berikutan konflik yang berlaku, cabaran dalaman mungkin jauh lebih hebat atau bahasa mudahnya ­sabotaj oleh jentera parti sendiri. Justeru pucuk pimpinan Pusat perlu memastikan keadaan itu tidak berlaku terutamanya sebaik sahaja nama calon diumumkan pada Jumaat atau Sabtu ini. Mana-mana pemimpin yang dilihat berpotensi melakukan sabotaj kepada jentera pilihan raya sama ada di Kuala Kangsar mahupun Sungai Besar perlu ‘dijauhkan’ dari kawasan sepanjang pilihan raya berlangsung.

Suara Politik
Belantan

PKR: Didakwa cipta isu untuk alih perhatian?


Perbalahan kepemimpinan PKR mengenai dakwaan wujud habuan wang dan perempuan jika mahu berurusan dengan kerajaan Selangor semakin hangat apabila timbul tuduhan ia sengaja dicetuskan oleh seorang pemimpin kanan parti itu sendiri.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, dakwaan sedemikian sengaja disebarkan untuk mengalih perhatian ahli parti itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pemimpinnya yang dikatakan telah membocorkan surat dalaman di antara Anwar Ibrahim dengan kepimpinan PKR.

"Majoriti ahli parti (PKR) percaya surat dalaman parti itu disyaki dibocorkan sendiri oleh 'orang yang menguruskan pentadbiran parti' kepada media. Bagi mengalihkan (isu) kebocoran surat itu, maka tuduhan rasuah wang dan perem­puan ini sengaja disebar.

"Saya berpandangan jika benar wujudnya dakwaan sogokan se­perti itu, sepatutnya individu terlibat menyiasat sepenuhnya dahulu dan tidak perlu 'melambung ke seluruh dunia' dakwaan itu sedemikian rupa. Sebaiknya ia perlu dibawa ke pengetahuan majlis pimpinan pusat dan dibincangkan di sana sebelum sesuatu keputusan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp kepada wartawan akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, Shuhaimi tidak mendedahkan identiti pemimpin kanan PKR terbabit yang dikatakan mencetuskan dakwaan tersebut termasuk membocorkan surat Anwar sebelum ini yang difahamkan mengenai kebimbangan Penasihat PKR itu mengenai penglibatan PKR dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri bersama-sama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menerusi laporan akhbar semalam mengakui menulis mesej dalam aplikasi WhatsApp mengenai habuan wanita dan wang jika mahu berurusan dengan kerajaan negeri Selangor yang menjadi viral.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengakui ‘Kak Zu’ yang disebut dalam perbualan kumpulan WhatsApp Solidarity For Anwar adalah merujuk kepada Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Bagaimanapun selepas dakwaan tersebut menjadi viral, Rafizi menafikan tuduhan itu ditujukan kepada mana-mana wakil rakyat pakatan di Selangor, sebaliknya mendakwa perbualannya itu merujuk kepada individu tertentu yang tidak dinamakan.

Dalam pada itu, Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mempersoalkan motif dan tujuan sebenar pemimpin kanan PKR yang terlibat membangkitkan dakwaan habuan tersebut dalam kumpulan WhatsApp ber­kenaan.

"Pastinya ada maksud (niat) yang tertentu. Salah satunya ialah supaya kesilapan yang disyaki dilakukan oleh beliau dengan membocorkan surat Ketua Umum (Anwar) itu dapat dialihkan.

"Saya fikir apa jua alasannya sangat tidak sesuai pemimpin parti bertaraf pimpinan kanan melakukan tuduhan sebegini. Ia sangat merosakkan selain mencalar sedikit imej kerajaan negeri dan kakitangan awam di Selangor.

"Bahkan, ia juga merobek imej pimpinan terlibat. Reputasinya dan niatnya mula dipersoalkan," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Mei 28, 2016

Sah Azmin beri kata dua kepada Exco Pas!


Dewan Ulama Pas mengesahkan dakwaan tiga Exco Pas Selangor diberi kata dua agar meletakkan jawatan sekiranya parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali adalah benar.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pihak­nya mempunyai maklumat jelas mengenai perkara itu dan menyifatkan penafian Mohamed Azmin kepada pihak media kononnya kata dua tersebut tidak berlaku adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, tindak-tanduk Menteri Besar Selangor itu dipercayai ada kaitan dengan tekanan daripada pemimpin pakatan pembangkang dan Mohamed Azmin menjadikan Pas sebagai ‘modal’ untuk melepaskan diri.

"Azmin ‘terkantoi’ berbohong kepada wartawan, kononnya tidak pernah arahkan Exco Pas letak jawatan sedangkan memang ‘confirm’ (sah) dia arah Exco Pas meletakkan jawatan jika Pas terus bertanding di Sungai Besar," kata­nya sebagaimana dipetik Free Malaysia Today hari ini.

Mohd. Khairuddin Aman Razali

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Khairuddin kesal dengan kenyataan Mohamed Azmin yang dilihat menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ketua yang tidak tahu isu dalam parti, ketika menyangkal adanya rundi­ngan rasmi pengagihan kerusi antara Pas dan PKR.

"Walau bagaimanapun, Pas mengambil pendekatan memaafkan perbuatan Mohamed Azmin, malah memahami situa­si yang sedang dihadapi Menteri Besar Selangor itu. Kita maafkan Azmin atas kecelaruan fikiran dia akhir-akhir ini," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan salah seorang Exco Pas Selangor seolah-olah ‘mencabar’ Mohamed Azmin apabila berkata, fokus Pas sekarang adalah untuk menang PRK Parlimen Sungai Besar.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Mei 22, 2016

Skandal 'rasuah' PKR - Azmin minta bukti?


Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali meminta pihak yang mendakwa kononnya berlaku amalan meminta ‘wang dan wanita’ sebagai habuan untuk berurusan dengan kerajaan negeri mengemukakan bukti supaya tindakan selanjutnya dapat diambil oleh pihak berkenaan.

Selagi dakwaan sedemikian tidak disusuli dengan bukti katanya, maka ia kekal sebagai, tindakan ‘bacul’, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

Dalam satu kenyataan akh­bar di sini hari ini, beliau me­nyifatkan, dakwaan yang dikata­kan timbul menerusi penyebaran transkrip per­bualan kumpulan WhatsApp yang turut mengaitkan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli itu sebagai satu kempen fitnah terancang yang sengaja dicetuskan untuk melemahkan kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

“Ini merupakan satu tuduhan jijik yang tidak disokong oleh sebarang bukti. Ia juga satu kem­pen fitnah yang te­ran­cang terhadap kerajaan serta kakitangan awam di Selangor.

“Dalam melaksanakan se­­ra­ngan jahat dan semberono ini, orang yang menuduh sebenarnya telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhid­matan awam negeri,” katanya.



Semalam, portal berita pro­­pembangkang, www.malaysiakini.com melaporkan wujud satu dakwaan terhadap pentadbiran Selangor yang mendakwa selain wang, terdapat juga permintaan untuk mendapatkan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri ini.

Menurut laporan itu, dakwaan berkenaan disebut dalam perbualan WhatsApp yang bocor dan Rafizi didakwa berkata, beliau ada menerima aduan me­ngenai perkara berkenaan.

Berdasarkan laporan ber­kenaan, Rafizi bagaimanapun enggan mengulas lanjut menge­nai dakwaan tersebut namun mengakui wujud unsur-unsur tidak baik dalam PKR yang mem­punyai potensi untuk me­musnahkan parti itu.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau sedia berbincang dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung penentuan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar walaupun pintu rundingan dikatakan sudah ditutup.

Katanya, hasrat beliau itu adalah atas tanggungjawab ber­sama di antara PKR, DAP dan PAN.

“Harap semuanya dapat di­selesaikan dalam tempoh 15 hari sebelum tarikh penamaan calon pada 5 Jun ini,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Mei 21, 2016

Skandal habuan wanita dan wang - Rafizi mengaku?


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, mengaku me­nulis mesej dalam aplikasi WhatsApp mengenai habuan wanita dan wang jika mahu berurusan dengan kerajaan negeri Se­langor yang menjadi viral.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengakui ‘Kak Zu’ yang di­sebut dalam perbualan kumpulan WhatsApp Solidarity For Anwar adalah merujuk kepada Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Bagaimanapun selepas dakwaan tersebut menjadi viral, Rafizi menafikan tuduhan itu ditujukan kepada mana-mana wakil rakyat pakatan di Selangor, sebaliknya mendakwa, perbualannya merujuk kepada individu tertentu yang tidak dinamakan.

“Saya boleh mengesahkan bahawa tuduhan itu adalah khusus kepada individu tertentu dan bukan tuduhan umum. Tuduhan iaitu bukan terhadap individu yang menjawat kerusi wakil rakyat atau kakitangan jabatan di bawah kerajaan Selangor.

“Walaupun tidak enak membicarakan tuduhan salah laku terhadap anggota atau pimpinan PKR sebegini, saya selalu me­negaskan bahawa penyakit tamak dan korupsi ini tidak mengenal sempadan atau parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Transkrip perbualan Rafizi dalam kumpulan WhatsApp tersebut mula didedahkan portal The Malaysian Miror semalam dan kandungan mesej sebahagiannya adalah seperti berikut:

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan daripada orang bona fide (berniat baik) bahawa selain dari wang, sekarang ini ada juga permintaan ‘perempuan’ bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/saudari tahu apa yang saya maksudkan). Mereka datang mengadu kepada saya dan saya sedang kumpul maklumat.

“Cakap-cakap mengenai wang dan kini perempuan dll (dan lain-lain), yang menyebabkan orang dalam dan luar bercakap mengenai ‘dedak’. Kalau saya dah mula lantang ke depan dan di luar, maksudnya saya ada bukti dan saya bagi nasihat kepada Kak Zu supaya berhati-hati dan sampaikan nasihat saya.

“Kerana saya ada had sebelum saya expose (dedah) mengenai parti sendiri. Saya tidak takut mengenai kata-kata saudara/saudari di sini, saya takut dosa. Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik dan lain-lain.

“Selama ini tidak pernah sekali pun saya pergi ke SUK (Setia­usaha Kerajaan Negeri), sejak saudara Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) jadi MB (Menteri Besar) untuk minta atau bincang sesuatu.”
-UMO

Suara Politik
Belantan

Exco Pas diminta berundur?


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar mula mencetuskan konflik dalam pentadbiran Kerajaan PKR Selangor apabila tiga Exco Kerajaan Negeri daripada Pas dikatakan menerima tekanan meletakkan jawatan jika parti me­reka membuat keputusan untuk bertanding di kawasan tersebut.

Tiga Exco berkenaan ialah Pe­ngerusi Jawatankuasa Tetap Infra­struktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Walaupun Menteri Besar Sela­ngor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan desas-desus tersebut, namun kenyataan beberapa pemimpin kanan Pas seolah-olah mengesahkan tekanan tersebut berlaku.

Biarpun tidak merujuk secara langsung apa yang sedang berlaku di Selangor, mereka menyifatkan politik ugutan yang diamalkan oleh pakatan pembangkang sebagai perilaku samseng.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, politik ugutan sangat tidak harmoni untuk di­amalkan dalam orientasi politik negara apatah lagi yang dipraktikkan terhadap pihak rakan.

“Justeru politik ugut ini sebahagian daripada perilaku samseng politik dan juga adalah peribadi pembuli politik. Andai amalan sebegini dijadikan budaya dalam politik maka pincanglah peradaban kita,” katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya, di sini hari ini.

Difahamkan tekanan ke atas tiga Exco Pas yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor itu mula tercetus apabila parti tersebut mela­lui kepemimpinan kanan termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan beliau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertegas bahawa Parlimen Sungai Besar adalah kerusi tradisi parti itu.

Oleh itu mereka menolak sebarang rundingan sama ada de­ngan PKR, DAP mahupun PAN berhu­bung perkara tersebut.

Mohamed Azmin sebelum ini mencadangkan supaya Pas berun­ding dengan pakatan pembangkang berikutan kekalahan teruk pakatan itu dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN) Sarawak baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Penera­ngan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali turut mengingatkan semua pihak supaya tidak perlu menjadi samseng politik dengan mengambil tindakan ugut-mengugut.

“Insya-Allah, Pas tetap bertan­ding di kawasan Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Itu keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat minggu lepas.

“Bertawakallah kepada Allah. Pas membawa mesej dakwah dan politik Islam. Tidak ada orang yang rugi jika membawa mesej ini,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula meminta pakatan pembangkang menghormati parti itu.
‘‘Hormati kami jika kami menola rundingan ‘mi segera’ yang sekadar memaksa kami melepaskan hak berasaskan kerusi pilihan raya umum 2013.

“Kalau masing-masing mahu tunjuk belang, biarlah kami kekal bulan. Bulan adalah rawatan alam daripada sekelian kejadian di bumi tuhan,’’ katanya.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Mohamed Azmin yang diminta mengulas desas-desus berhubung perkara tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Ex­co kerajaan negeri menegaskan, dakwaan beliau mengugut tiga exco Pas itu adalah tidak benar.

“Tidak benar. Perkara itu tidak berlaku (ugut singkir Exco Pas). Sekarang ini fokus kita bincang kerusi dulu. Perbincangan juga masih berjalan dan saya ada jumpa PAN hari ini,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Pas menang ‘nasib’, wajar beralah – PAN?


Pas tidak seharusnya mendakwa kemenangan mereka di beberapa kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu adalah kerana calon parti itu, sebaliknya manifesto pakatan pembangkang yang membawa kejayaan itu.

Dakwaan oleh Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad itu seolah-olah mahu menyatakan yang kemenangan Pas selama ini adalah disebabkan sokongan daripada parti-parti lain dalam pakatan ber­kenaan, bukannya atas kekuatan mereka sendiri.

Sehubungan itu, jelas beliau, Pas sepatutnya beralah dan memberi laluan kepada calon daripada parti lain yang dirasakan sesuai untuk bertanding termasuk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

“Dalam PRU-13, sokongan pe­ngundi kepada kita (pakatan pembangkang) adalah kerana manifesto, maka tiada mana-mana par­ti boleh mendakwa kemena­ngan mereka atas kapasiti sendiri.

“Perkara ini perlu difahami oleh semua supaya Selangor terus kekal diperintah oleh pakatan pembangkang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Laporan yang memetik sumber dalaman Pas itu mendakwa, kata dua tersebut dibuat Mohamed Azmin selepas mesyuarat Exco semalam.

Suara Politik
Belantan

Adenan umum 
18 menteri muda.

Sebelas daripada 18 menteri muda Kabinet negeri Sarawak bergambar selepas istiadat mengangkat sumpah menerima pelantikan masing-masing di hadapan Abdul Taib Mahmud di Dewan Lapau, Bangunan DUN, Kuching, semalam.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem melengkapkan senarai penuh Kabinet negeri yang diterajuinya bagi penggal ke­dua dengan mengumumkan nama 18 menteri muda hari ini.

Barisan menteri muda yang dipilih kali ini menyaksikan enam muka baharu manakala dua anggota Kabinet lama iaitu Datuk Abdul Wahad Aziz dan Datuk Mong Dadang digugurkan.

Muka baharu yang dilantik ialah Dr. Abdul Rahman Junaidi, Dr. Abdul Rahman Ismail, Dr. Annuar Rapaee, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Malcom Mussem Lamoh dan Datuk Dr. Penguang Manggil.

Sementara itu, 12 muka lama yang dikekalkan ialah Datuk Mohd. Naroden Majais, Datuk John Sikie Tayai, Datuk Francis Harden, Datuk Talip Zulpilip, Datuk Lee Kim Shin, Liwan Lagang, Datuk Len Talif Salleh, Datuk Dr. Jerip Susil, Datuk Julaihi Narawi, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Rosey Yunos dan Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Daripada jumlah itu, dua adalah calon langsung Barisan Nasional (BN) yang menang di kawasan masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei lalu iaitu Rosey dan Jerip.

Jawatan Timbalan Speaker De­­wan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang kosong berikutan pelantikan Roland Sagah sebagai menteri muda pula diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.

Bagi memantapkan lagi urusan pentadbiran, Adenan turut memperkenalkan portfolio tambahan baharu di bawah beberapa kementerian, menjadikan jumlah portfolio bagi menteri muda kini bertambah kepada 21 berbanding 19 sebelum ini.

Portfolio baharu diperkenalkan ialah Menteri Muda Undang-undang Adat Pribumi dan Adat, Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi, Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Pedalaman) dan Perladangan, Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pantai) dan Perikanan; Menteri Muda Tanah, Pengangkutan Udara dan Keselamatan, Menteri Muda Pengangkutan Sungai dan Kese­lamatan serta Menteri Muda Kese­nian dan Kebudayaan.

Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan, Menteri Muda Perpaduan, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) serta Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi).

Dalam pada itu, portfolio Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) yang dipegang oleh Datuk Ir. Daud Abdul Rahman sebelum ini, tidak disenaraikan dalam portfolio Kabinet baharu berkenaan.

Menurut Adenan, kesemua 12 menteri muda yang dipilih meng­anggotai Kabinet negeri yang baharu ini mempunyai kekuatan tersendiri dan berpengalaman untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

“Walaupun terdapat pertambahan kerusi dimenangi oleh BN pada PRN-11 iaitu 71 berbanding 52 kerusi sebelum ini, namun kita tidak bercadang untuk mewujudkan kementerian baharu negeri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini hari ini.-UMO

Suara Politik
Belantan

Selasa, Mei 17, 2016

Pakatan harapan dah jadi macam ‘Keluarga 69’?


Macam sudah jadi ‘Keluarga 69’ pula dah parti-parti yang ‘berpakat’ dalam pakatan harapan ini.

Sana sini gaduh. Bukan lagi ribut dalam cawan.Inilah agaknya ‘ketulahan’ ke­san kekalahan teruk DAP yang cuma menang tujuh daripada 31 kerusi ditandingi dalam pilihan raya negeri Sarawak 7 Mei lalu.

Ketika sekutu kuatnya, PKR masih berupaya mengekalkan tiga kerusi di sana, DAP sudah tidak mampu lagi menanggung rasa bimbangnya terhadap masa depan pakatan.

PAN diketuai Mohamad Sabu yang diharapkan menggantikan Pas, rupa-rupanya hanya ‘lebih sudu dari kuah’ sahaja. Ada hati pula nak ‘rampas’ calon kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Su­ngai Besar daripada Pas.

Beberapa hari selepas gagal di Sarawak, di negeri penguasaan DAP, Pulau Pinang pula berkocak.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri PKR yang sebelum ini menimbulkan kontroversi kerana dikatakan menentang Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam isu projek penambakan laut, difahamkan di­tekan untuk mengubah pendirian mereka.

Bimbang dengan perpecahan pakatan itu di Pulau Pinang yang menjadi ‘pangkalan satelit’ DAP, lima ADUN PKR terbabit dipercayai ‘diperingatkan’ supaya patuh de­ngan kerajaan atau dipersalahkan atas perpecahan pakatan.

ADUN-ADUN PKR yang memutuskan berkecuali berhubung usul oleh UMNO mengenai projek penambakan laut pada sidang DUN Pulau Pinang November lalu ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr. Norlela Ariffin (Penanti) dan Dr. T. Jayabalan (Batu Uban).

Akibat tidak sehaluan ini jugalah pada Februari lalu, Chin Wen ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Kah Peng pula ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

Dan barangkali kerana menyedari PKR dan PAN bukanlah gan­dingan secocok untuknya memulihkan imej yang tercalar teruk, DAP terpaksa menjilat kembali ludah sendiri mengajak Pas ke meja rundingan.

Ini semata-mata demi menjayakan hasrat DAP mencalar imej BN di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar setelah baru sahaja menang bergaya di Sarawak.

Namun, mahukah Pas kembali melutut kepada DAP, setelah bermacam-macam penghinaan, tohmahan dan kecaman diterima oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang daripada Guan Eng dan konco-konconya.

Kecaman yang Abdul Hadi ‘bercakap tidak serupa bikin’ dan Pre­siden itu disifatkan Guan Eng sebagai ‘pengkhianatan bersiri’ serta ketidakupayaannya untuk mengotai janji-janjinya masih segar.

Dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak serasi, DAP sema­kin pening kepala. Adakah hubu­ngan Guan Eng-Mohamed Azmin demikian juga?

Pakatan harapan bergelora.

Tanpa Pas, pakatan berkecamuk.

Hilang arah tuju. 
Hanyut ke laut lepas.

‘Keluarga 69’ pakatan harapan


Suara Politik
Belantan

Ahad, Mei 15, 2016

ADUN DAP persoal slogan CAT?


Seorang wakil rakyat Kerajaan DAP Pulau Pinang mempersoalkan slogan Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT) yang sering diuar-uarkan kerajaan negeri.

Malah, Ong Kok Fooi (DAP-Berapit) turut mempersoalkan slogan Pulau Pinang Bersih, Hijau dan Selamat (PPBHJ) berikutan cadangan tambak laut yang memberi impak kepada rakyat dan dibimbangi memberi keuntungan hanya kepada golongan kaya.

Menurutnya, beliau tertanya-tanya sama ada slogan tersebut yang dilaungkan sejak kira-kira lapan tahun lalu benar-benar dipraktikkan oleh kerajaan negeri.

Ini kerana, jelas beliau, apa yang dapat dilihat rakyat khususnya penduduk di kawasan yang diwakilinya, masih terdapat banyak kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, banyak aduan rak­yat di kawasan saya tidak diambil peduli, jalan raya selalu ada kemalangan maut dan kebersihan kawasan saya juga tidak dijaga dengan memuaskan,” katanya dalam sidang DUN di sini.

Ong Kok Fooi

Beliau berkata demikian sewaktu mencelah jawapan lisan Datuk Mohd. Rashid Hasnon (PKR-Pantai Jerejak) berhubung sejauh mana keberkesanan slogan PPBHJ yang diamalkan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Kok Fooi turut melahirkan rasa bimbang dengan kenya­taan Mohd. Rashid yang mana kerajaan negeri tidak meletakkan apa-apa sasaran atau indeks petunjuk pretasi (KPI) pelaksanaan slogan tersebut dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Apakah Kerajaan DAP Pulau Pinang mencapai prestasi polisi-polisi itu jika dibuat perbandingan dengan kawasan pulau dan Perai?

“Saya memerlukan jawapan ini untuk disampaikan kepada penduduk kerana pada hakikatnya ramai yang melahirkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Suara Poltik
Belantan

Jumaat, Mei 13, 2016

Pengajaran daripada Apai Besar Sarawak!


Menang di 72 daripada 82 kerusi. Rampas balik lima daripada 12 kerusi milik DAP dan kuasai lapan daripada 16 kerusi majoriti Cina.

Inilah ringkasan terbaik untuk menggambarkan kejayaan Apai Besar Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) baru-baru ini.

Kini, calon-calon langsung BN dalam proses untuk menyertai parti komponen sebagaimana yang disyaratkan Adenan. Parti serpihan iaitu Teras dan UPP juga bakal dibubarkan dan bergabung dengan komponen lain.

Adenan sekali lagi membuktikan beliau memiliki sentuhan perdamai­an. Sebelum ini pun, bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud kerap memberikan tugas mendamaikan pertikaian dalam kalangan komponen BN Sarawak kepada Adenan.

Adenan telah membuktikan beliau seorang pemimpin fantastik dan tidak keterlaluan jika dikatakan faktor Adenan adalah antara punca kemenangan besar BN Sarawak.

Pelbagai analisis dibuat mengenai kemenangan BN Sarawak. Malangnya, banyak yang dilihat dari sudut pandangan Semenanjung sehingga menjadi kurang tepat.

Politik Sarawak mesti dilihat dari sudut pandangan Sarawak kerana padangnya berbeza. Isu-isu dan keutamaannya juga berbeza, apa yang relevan di Semenanjung mungkin tidak sesuai di Sarawak dan begitulah juga sebaliknya.

Jadi, usahlah mengkritik pe­ngundi Sarawak atas pilihan mereka. Sedarkah para pengkritik sekalian apa yang mampu ditawarkan pembangkang di Sarawak? Tiada apa! Mereka sendiri tidak bergerak sebagai satu pasukan dan tidak meletakkan sasaran untuk mengambil alih pentadbiran kerajan negeri.

Maka memilih pasukan Adenan adalah yang terbaik berbanding pasukan caca-merba pembangkang yang bertanding sesama sendiri di hampir 30 kerusi DUN.

Lagipun, semua parti pembangkang utama adalah berasal dari Semenanjung. Itu titik kelemahan pembangkang kerana rakyat Sarawak lebih percayakan parti tempatan yang disifatkan sebagai memahami mereka.

Mengenai kemenangan besar di Sarawak, secara jujurnya penulis berpendapat PRN bukanlah indikator terbaik untuk mengukur kekuat­an BN di Semenanjung. Di Semenanjung, realiti politiknya sedang mengasak BN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar lebih tepat untuk dijadikan kayu ukur. Semoga petunjuk positif di Sarawak turut melanda dua kawasan berkenaan.

Adenan telah membuktikan tiada yang mustahil jika ada kesungguhan dan kemampuan. BN Sarawak telah menunjukkan kekuatan DAP di kawasan bandar hanyalah mitos dan boleh dilumpuhkan.

Pencapaian ini bukanlah seperti bersiar-siar di Tebingan Kuching sebaliknya ibarat mendaki Gunung Santubong. Dalam usia 72 tahun, Adenan telah menekan diri sendiri ke tahap paling tinggi, beliau penat, difahamkan menjelang hari peng­undian beliau hampir pitam di pejabatnya.

Pada malam kemenangan, selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Astana Negeri, beliau menghadiri sidang akhbar bersama Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kanan lain di Bangunan DUN Lama, Petra Jaya.

Riak muka Adenan lesu, bahasa badan dan tona suaranya menunjukkan beliau kepenatan. Bagaimanapun, banyak yang perlu dipelajari pemimpin BN di Semenanjung daripada gerak kerja Adenan.

Tidak sukar untuk meneka formula kejayaan Adenan. Bukanlah juga rahsia sulit kerana beliau ha­nya menterjemahkan kehendak Najib supaya pemimpin BN mendahulukan rakyat dan menyelami denyut nadi rakyat.

Hasilnya luar biasa, dalam tempoh dua tahun mengemudi Sarawak, Adenan memperkenalkan 53 sentuhan yang memukau rakyat.Menariknya, Adenan tidak suka menabur janji dalam membuat dasar prorakyat sebaliknya mengumumkannya apabila pelan penambahbaikan hampir siap atau sudah bersedia untuk dilaksanakan.

Adenan telah menunjukkan bagaimana untuk meraih sokongan rakyat melalui dasar-dasar yang menyentuh hati nurani mereka. Langkahnya wajar diteladani para pemimpin lain baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

Beliau juga terkenal kerana berani mempertahankan hak Sarawak dan secara terbuka mengupas tentang kedudukan Sarawak sebagai rakan yang sama taraf dengan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia.

Isu Sarawak vs Semenanjung boleh dikategorikan sebagai ‘isu panas’ di Sarawak (tetapi sejuk di Semenanjung) namun Adenan tidak terbuai dengan emosi. Pendiriannya bersandarkan fakta dan hak yang termaktub. Beliau menuntut hak namun menolak idea keluar daripada Malaysia sebagaimana yang diperjuangkan gerakan Sarawak 4 Sarawakians.

Melalui dasar beliau jugalah, ramai dalam kalangan masyarakat Cina yang biasanya kritikal kepada BN boleh menerima Adenan malah mereka bangga dengan Ketua Menteri itu (namun pada masa yang sama tetap kritikal kepada kerajaan Pusat).

Dalam memberi kredit yang sewajarnya, kita tidak boleh lupa sumbangan Perdana Menteri dan Ahmad Zahid yang saban hari membantu kempen BN di seluruh pelosok Sarawak.

Najib juga pandai mengambil hati rakyat dalam ucapannya apabila sentiasa menuturkan frasa dalam bahasa Iban asas selain membahasakan dirinya sebagai Apai Besar Menua Malaysia, Najib anak Razak.

Pelbagai peruntukan juga diluluskan untuk kesejahteraan rakyat. Ya, memang benar BN Sarawak selepas ini mempunyai kuasa tawar menawar yang lebih besar dalam membuat desakan kepada kerajaan Pusat sebagaimana yang dibim­bangi Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Apa salahnya le­bih perhatian diberi kepada Sarawak? Lagipun sudah sampai masanya untuk Sarawak dijadikan rakan yang sama taraf dalam erti kata sebenarnya berpaksikan semangat pembentuk­an Malaysia.

Apa yang lebih penting, BN Sarawak telah sekian lama membuktikan kesetiaan mereka walaupun kurang diberi perhatian dalam era pentadbiran sebelum ini.

Merik pengaga ati nuju pengundi ba menua Sarawak laban kita udah milih pilihan ti manah.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Mei 09, 2016

DAP terkejut berok, mula cipta alasan?


Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak nyata mengejutkan pakatan pembangkang, terutama DAP daripada tidur yang lena.

Mula sedar kempen memfitnah dan menanam tebu di tepi bibir tidak ‘dibeli’ rakyat Sarawak, pelbagai alasan mula dicipta dan be­lang masing-masing mula kelihatan apabila saling menuding jari menya­lahkan sesama sendiri berikutan kekalahan memalukan itu.

Tidak mahu mengakui kesalahan sendiri, DAP menyalahkan sekutunya dengan mendakwa mereka tidak menghormati perjanjian yang ditandatangi oleh Pakatan Harapan untuk tidak bertembung sesama sendiri di mana-mana kawasan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dilihat seperti tidak dapat menerima hakikat bahawa pengundi Cina Sarawak sudah beralih arah dengan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN), menjadikan persempadanan semula kawasan pilihan raya sebagai punca kekalahan.

Katanya, salah satu punca ke­ka­lahan memalukan pakatan pembangkang pada PRN-11 adalah disebabkan pertembungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di beberapa kawasan.

“Sentimen pengundi akan jadi lebih baik bagi komponen pembangkang sekiranya tiada pertempuran antara DAP dan PKR sejak mula,” katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Sarawak di Kuching hari ini, yang dipetik dari beberapa blog berita pembangkang.

Akibat pertembungan antara DAP dan PKR itu, DAP kehilangan lima daripada 12 kawasan yang dikuasai mereka sebelum ini dan le­bih memalukan itu merupakan jumlah tertinggi pakatan pembangkang kalah mengikut rekod.

Kegagalan DAP dan PKR mencapai kata sepakat sehingga bertembung sesama sendiri di enam kawasan ternyata menguntungkan BN apabila mereka kalah di kese­mua kerusi tersebut.

Sebagai parti baharu yang mendakwa semakin mendapat sambutan rakyat, PAN yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya juga tersungkur apabila kalah di kesemua 13 kerusi yang ditan­dingi.

Dalam hal itu, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng pula menggunakan alasan dangkal apabila menyalahkan populariti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem selain politik wang sebagai faktor kemenangan BN.

Beliau mendakwa punca kehi­la­ngan lima kerusi DAP di Sarawak adalah kerana populariti Adenan mengaburi tindakannya menyekat kemasukan pemimpin pembangkang ke Sarawak.

“Populariti peribadi Adenan mengatasi segala tindakannya yang tidak disenangi seperti menyekat kemasukan pemimpin pembangkang ke Sarawak. Kewujudan politik wang juga mengganggu prestasi kami,” katanya.

Katanya, parti akan menjalankan bedah siasat dan menunggu laporan dari DAP Sarawak atas kekalahan itu, termasuk kegagalan mereka untuk membawa sebarang kemajuan di kerusi Dayak di luar bandar.

Menyedari PAN gagal menarik pengundi, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang semakin terdesak membuat pusingan U apabila mengajak Pas untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“PAN dan Pas harus terus mara bersama PKR dan DAP. Kekalahan teruk pada PRN-11 jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka,” katanya.

Tidak cukup saling menuding jari sesama mereka, walaupun agak pelik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang, Bersih pula menyalahkan peningkatan kadar peratusan keluar mengundi yang dikatakan naik ‘mendadak’ pada petang hari berkenaan.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Mei 08, 2016

Adenan angkat sumpah KM Sarawak


Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebentar tadi selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri, Petra Jaya di sini.

Yang hadir sama, para pemimpin kanan BN Sarawak.

BN Sarawak meraih kemenangan besar di 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti DAP (tujuh kerusi), PKR (tiga kerusi).

Suara Politik
Belantan

#PRN-11 Sarawak : Kesemua pemimpin parti komponen BN menang


Kesemua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), termasuk Presiden SUPP, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian di Batu Kawah.

Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mencatat kemenangan mudah bagi kerusi Tanjong Datu, menewaskan pencabarnya Jazolkipli Numan daripada PKR untuk penggal ke-10 sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri.

Presiden PBB itu meraih 6,360 undi, manakala Jazolkipli hanya memperoleh 468 undi.

Dalam pertembungan paling ditunggu-tunggu pada pilihan raya negeri kali ini, Dr Sim yang meraih 6,414 undi, mengalahkan penyandang, Christina Chiew Wang See daripada DAP yang memperoleh 4,329 undi.

Presiden PRS, Tan Sri Dr James Masing, mengekalkan kerusi Baleh yang disandangnya sejak 1983, apabila mengalahkan calon DAP Agop Linsong dengan majoriti 4,793 undi.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, memperoleh 5,272 undi berbanding hanya 479 undi diraih Agop.

Suara Politik
Belantan

#PRN 11 Sarawak : BN dahului 62 kerusi setakat 9.15 malam


Barisan Nasional (BN) meraih 62 kerusi bagi melepasi majoriti dua pertiga setakat 9.15 malam ini untuk terus menerajui kerajaan negeri Sarawak bagi penggal ke-11 berturut-turut.

Gabungan itu sedang mendahului untuk melakar kemenangan besar di bawah Tan Sri Adenan Satem yang mengetuai pilihan raya negeri buat pertama kali selepas memegang tampuk kepimpinan negeri, dua tahun lepas.

Setakat ini, BN telah menguasai tiga kawasan majoriti Cina - Bawang Assan, Meradong dan kerusi baharu Batu Kitang.

Pembangkang memperoleh enam kerusi iaitu empat oleh DAP dan PKR dua.

Antara yang mencatat kemenangan awal ialah Adenan, juga presiden PBB, yang berjaya mempertahankan kerusi Tanjung Datu.

Pengerusi BN Sarawak itu memperoleh 6,360 undi, sekali gus mengatasi pencabar tunggal, Jazolkipli Numan (PKR) dengan majoriti 5,892 undi.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Mei 07, 2016

#PRN Sarawak: 44% keluar mengundi sehingga 2 petang


Sebanyak 44 peratus daripada 1,085,087 pemilih berdaftar sudah keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 (PRN11) sehingga 2 petang ini, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, setakat ini, proses pengundian berjalan lancar tanpa perkara yang tidak diingini berlaku.


Kesemua 1,754 pusat pengundian yang dibuka 8 pagi akan ditutup 5 petang ini, manakala beberapa pusat itu ditutup lebih awal secara berperingkat mulai 9 pagi kerana jumlah pengundi yang kecil.

Suara Politik
Belantan

Serpihan helikopter bawa 6 penumpang termasuk timbalan menteri ditemukan!


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) helikopter membawa enam penumpang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang dilaporkan hilang petang semalam, telah dijumpai serpihannya di kawasan berhampiran Sungai Batang Lupar di Sebuyau pagi ini.




Menurut Perdana Menteri, antara serpihan pesawat jenis AS350 yang sudah ditemukan pada pukul 9.50 pagi ini ialah alat pemutar (rotation device), kerusi, sebahagian serpihan badan pesawat dan pintu.

Katanya, usaha sedang dilakukan bagi mengesan rangka utama pesawat tetapi usaha itu berdepan dengan kesukaran ekoran kawasan Sungai Batang Lupar yang luas.



“Kita masih belum dapat memastikan nasib keenam-enam penumpang kerana usaha mengesan mereka sedang dijalankan dengan menggerakkan seramai mungkin anggota penyelamat ke lokasi kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di sini hari ini.

Najib turut mengesahkan penumpang pesawat yang hilang itu ialah Noriah bersama suaminya, Asmuni Abdullah.

Penumpang lain termasuk, Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Sundaran Annamalai; pengawal peribadi, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.


Sementara itu, Jenazah pertama nahas helikopter dipercayai Noriah dijumpai!

Pasukan mencari dan menyelamat helikopter yang dilaporkan hilang di Sebuyau di sini, petang semalam, berjaya menemukan mayat seorang daripada enam mangsa yang dilaporkan terlibat dalam nahas tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat seorang wanita itu dijumpai di tebing sungai oleh pasukannya pada pukul 12 tengah hari ini.



“Pihak bomba menemukan mangsa pertama iaitu seorang wanita tidak jauh dari lokasi serpihan pesawat dijumpai.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Sebuyau di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Farhan Sufyan walau bagaimanapun tidak mengesahkan bahawa mayat ditemukan itu adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Namun, dipercayai mangsa adalah Noriah, memandangkan hanya beliau penumpang wanita menaiki helikopter berkenaan semasa kejadian.-UMO

Suara Politik
Belantan

Selasa, Mei 03, 2016

#PRNSARAWAK - Calon DAP umpama kacang lupakan kulit?


Nampak­nya pertempuran antara parti-parti bertanding demi me­raih sokongan ibarat ‘peluru tidak bermata’.

Senario pilihan raya ne­geri yang memasuki pu­si­ng­an akhir minggu ini menjelang pengundian Sabtu 7 Mei semakin berbahang.

Di Bukit Assek di sini yang menyaksikan Irene Mary Chang Oi Ling meneruskan legasi mendiang suaminya, Wong Ho Leng mempertahankan kerusi DAP di situ, langsung tidak beri muka kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Irene yang pernah dibantu oleh Adenan dan kerajaan Sarawak untuk membiayai kos rawatan barah suaminya sekitar Jun 2014 menjadi tidak keruan dengan setiap kempen beliau tetap memburuk-burukkan Adenan demi kelangsungan politik DAP.


Ternyata Irene berubah sikap. Kempennya dipenuhi dakwaan-dakwaan menghentam ketua menteri itu dengan pelbagai tu­duhan liar. Kredibiliti Adenan direndah-rendahkan di hadapan penyokong-penyokong DAP.

Irene pernah menyifatkan sumbangan RM1 juta daripada Adenan untuk Ho Leng itu suatu pemberian paling bermakna buat suami dan keluarga mereka.

“Sarawak berjaya mewujudkan persepsi bahawa perbezaan fahaman politik tidak akan menjejaskan sifat kemanusiaan apabila mereka tetap bersatu membantu suami,” katanya.


Beliau dikatakan pernah mengungkapkan pepatah Cina: “Apabila anda minum air, ingatlah mata air dari mana ia mengalir”.

Kini ungkapan itu terus hilang daripada ingatan Irene.

Tiada nilai kemanusiaan dalam kempen pilihan raya untuk menang?

Kacang lupakan kulit atau ulat lupakan daun?

Suara Politik
Belantan


Isnin, Mei 02, 2016

Azmin perlu kaji perjanjian sebelum persoal hak kerajaan Sarawak!


Menteri Besar Selangor, Azmin Ali perlu mengkaji terlebih dahulu Perjanjian Malaysia 1963 sebelum mempersoal kuasa autonomi imigresen kerajaan Sarawak yang menghalang individu tertentu daripada memasuki negeri ini.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, larangan itu hak kerajaan Sarawak bertujuan untuk menjaga kepentingan dan melindungi negeri daripada elemen yang boleh mengganggu keamanan dan kemakmuran.

"Dia (Azmin) perlu kaji dulu sejarah dan belajar mengenai kandungan Perjanjian Malaysia 1963... apa yang kita tidak mahu ialah tindakan pihak ini mengganggu keharmonian kita semata-mata nak menjual politik mereka di sini," katanya.

Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Surau Al Amin, Kampung Stunggang Melayu Baru, Lundu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin kerana mempersoal kuasa Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang menghalang kemasukan individu tertentu ke Sarawak.

Wan Junaidi berkata, keputusan kerajaan negeri menghalang individu tertentu memasuki negeri ini, bukan dibuat berdasarkan kepentingan peribadi tetapi disebabkan aspirasi dan kehendak rakyat Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri tidak mengamalkan sikap berat sebelah kerana bukan sahaja menyekat pemimpin dan anggota parti pembangkang, malah juga Barisan Nasional (BN) daripada memasuki negeri ini.

"Cara kita berpolitik di sini berbeza dari Semenanjung, proses berkempen juga dijalankan secara aman tanpa sebarang kekacauan," kata beliau. - BERNAMA

Suara Politik
Belantan