Ahad, Mei 29, 2016

DAP ‘meroyan’, Azmin tertekan?

Sepatutnya DAP mengimbas kembali bagaimana layanan mereka terhadap Pas sebelum ini. Kenapakah pentingnya Pas difikirkan apabila mahu menghadapi pilihan raya sahaja?

DAP tiba-tiba melatah apabila menyatakan pa­katan pembangkang ti­dak boleh lagi bergantung harap kepada Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar atas alasan kecenderungan parti itu untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN). Malah DAP turut menyifatkan Pas sebagai sekutu sulit kepada UMNO dan BN kerana enggan berunding berhubung kedua-dua kerusi itu.

Persoalannya, sejak bila pula DAP pandai berunding dengan Pas? Kenapa apabila Pas sudah tidak lagi berada dalam pakatan pembangkang, baharulah parti itu dilihat berharga kepada pakatan tersebut? Sepatutnya DAP mengimbas kembali bagaimana layanan mereka terhadap Pas sebelum ini. Kenapakah penting­nya Pas hanya difikirkan apabila mahu menghadapi pilihan raya sahaja?

DAP seharusnya menghormati Pas kerana kedua-dua kerusi itu sememangnya kerusi tradisi Pas, lagipun bukankah Setia­usaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri sudah menyatakan parti itu tidak berminat bertanding di situ, oleh itu kenapa DAP hendak menyibuk menyerang Pas? ­Paling dikesalkan, DAP juga mengeluarkan hujah dangkal apabila mengaitkan sikap Pas itu dengan BN. Tak pasal-pasal BN dikaitkan sedangkan masalah yang berlaku melibatkan perbalahan dan pertelingkahan antara parti-parti pembangkang.

Kalaupun DAP berhasrat mencari modal politik atau terus mahu menjadi ‘taiko’ dalam pakatan pembangkang, tidak payahlah hendak mengaitkan BN atau UMNO dalam soal perbalahan mereka dengan Pas. Apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang bukanlah salah BN, tetapi salah DAP yang bersekongkol dengan PKR melayan Pas bagaikan sebuah parti tidak bermaruah ketika Pas berada dalam pakatan pembangkang dahulu.

UMNO tidak mempunyai ­apa-apa kaitan dengan pendirian Pas untuk bertanding di kedua-dua kerusi itu. Lagipun hubungan antara kedua-dua parti lebih kepada persefahaman antara se­sama Islam dan bukannya politik, maknanya mereka tetap akan bertarung sesama sendiri dalam pilihan raya.

Selama ini yang menjadi pujaan DAP bukannya pemimpin-pemimpin Pas tetapi pemimpin-pemimpin PAN, bukankah DAP bagaikan berpesta apabila PAN ditubuhkan? Justeru berilah kepercayaan kepada PAN untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Pas dalam ­pakatan pembangkang.

Bagaimanapun kita boleh faham kenapa DAP ‘meroyan’ dengan sikap Pas, ini kerana mereka sama sekali tidak yakin dengan PAN yang terbukti sekadar ‘penyendal’ dalam pakatan pembangkang. DAP tahu sejauh mana kekuatan Pas apatah lagi dalam berhadapan dengan pilihan raya.

DAP mungkin terpaksa ber­suara selepas PKR sendiri terpaksa turun ke gelanggang PRK khususnya di Sungai Besar dalam keadaan penuh kepincangan. PKR kini sedang berhadapan de­ngan masalah dalaman yang menyaksikan pertembungan an­tara kelompok Menteri Besar, Sela­ngor yang juga Timbalan Pre­siden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan puak yang dike­tuai oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.


Perbalahan antara mereka bukan lagi secara tertutup sebalik­nya sudah menjadi rahsia umum. Mohamed Azmin yang sebelum ini begitu lantang mengkritik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Pelabuhan itu menjadi MB, kini semakin memahami betapa hebatnya politik dalam PKR dan betapa ‘panasnya’ kerusi MB tersebut.

Dari semasa ke semasa, Mohamed Azmin terus menerima tekanan termasuklah dalam isu habuan wang dan perempuan yang dinafikan secara tegas oleh beliau. Gesaan beliau supaya pihak yang melakukan tuduhan mengemukakan bukti juga seolah-olah tidak layan. Penulis diberitahu oleh beberapa rakan dalam PKR, asakan demi asakan akan terus dilakukan sehinggalah Mohamed Azmin berundur daripada jawatan MB.

“Dari segi kekuatan dalam PKR, Mohamed Azmin sebenar­nya keseorangan. Kalau adapun tidaklah seramai kelompok yang mahukan beliau berundur,’’ kata salah seorang rakan kepada penulis. Selain isu perbualan habuan wang dan perempuan dalam pentadbiran kerajaan negeri, Mohamed Azmin juga dikatakan gagal untuk menangani perbalahan dengan Pas berhubung PRK Su­ngai Besar.

Walaupun Mohamed Azmin me­nafikan memberi kata dua kepada tiga exco Pas untuk meletakkan jawatan jika parti itu bertanding di kawasan Parlimen berkenaan, namun kenyataan Dewan Ulama Pas yang mengesahkan Mohamed Azmin memang berbuat demikian menyebabkan kredibiliti Menteri Besar Selangor itu semakin dipertikaikan. Oleh itu, Mohamed Azmin akan mengepalai jentera PKR turun ke Sungai Besar dalam keadaan pincang.

Situasi yang sama juga di­jangka berlaku di Kuala Kangsar, apabila pembangkang akan turun dalam keadaan berantakan, namun begitu ini bukanlah satu situasi yang bermaksud, jentera BN di kedua-dua kawasan tersebut boleh bersenang-lenang.

Ketika cabaran pembangkang mungkin agak lemah berikutan konflik yang berlaku, cabaran dalaman mungkin jauh lebih hebat atau bahasa mudahnya ­sabotaj oleh jentera parti sendiri. Justeru pucuk pimpinan Pusat perlu memastikan keadaan itu tidak berlaku terutamanya sebaik sahaja nama calon diumumkan pada Jumaat atau Sabtu ini. Mana-mana pemimpin yang dilihat berpotensi melakukan sabotaj kepada jentera pilihan raya sama ada di Kuala Kangsar mahupun Sungai Besar perlu ‘dijauhkan’ dari kawasan sepanjang pilihan raya berlangsung.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

SAYA PAK RADI DI SEMARANG berkata...

Saya sangat bersyukur telah menemukan blok MBAH RAWA GUMPALA dan ternyata apa yang tertulis di dalam blok MBAH,semua itu meman benar-benar terbukti dan salah satunya saya sudah telah membuktikannya sendiri,saya sangat berterimah kasih banyak kepada MBAH RAWA GUMPALA atas bantuan pesugihan dana ghaibnya,atas bantuan ini kini aku sudah bankit lagi dan usaha yang dulunya bankrut kini bisa berjalan kembali,berkat bantuan MBAH RAWA GUMPALA kini kehidupan kami sudah jauh lebih baik dari pada sebelumnya,saya tidak pernah menyangka kalau saya bisa sesukses ini dan kami sekeluarga tidak akan pernah melupakan budibaik mbah,pesugihan ini adalah pesugihan resmih dan pesugihan ini banyak pilihannya
Bagi anda yang ingin dibantu sama MBAH RAWA GUMPALA silahkan hubungi MBAH di 085-316-106-111 dan
pesugihan ini tanpa resiko apapun dan untuk lebih jelasnya buka saja blok mbah

((PESUGIHAN DANA GHAIB))