Kenaikan harga minyak merupakan isu ekonomi paling sensitif buat rakyat Malaysia. Tindakan merasionalisasikan subsidi minyak adalah satu tindakan yang tidak popular.
Bagi mana-mana pemimpin pun ia boleh mencetuskan dilema kerana perlu membuat pertimbangan sama ada ingin terus menjadi popular yang mana sentiasa kelihatan mementingkan kebajikan rakyat ataupun mengutamakan kedudukan kewangan negara dalam tempoh jangka masa panjang.
Di sinilah, seorang pemimpin kena membuat pertimbangan terbaik. Jika mahukan populariti, nescaya, apa sahaja yang menyenangkan hati rakyat akan dipertahankan.
Namun, dalam tempoh jangka masa panjang kedudukan kewangan negara akan terjejas teruk. Iktibar pemimpin-pemimpin negara Barat yang terlalu menjaga populariti mereka menyebabkan ekonomi negara mereka dilanda kemelesetan teruk.
Sebenarnya apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah berdasarkan situasi semasa dan masa hadapan ekonomi dunia dan Malaysia. Pada asasnya, ekonomi dunia masih tidak menentu, bahkan bagi penganalisis dan pakar-pakar ekonomi, terdapat kewajaran kebimbangan ekonomi dunia akan meleset.
Antaranya, ekonomi negara-negara Barat masih belum pulih sepenuhnya. Ekonomi negara-negara berkenaan terkepung dalam kegawatan krisis hutang Eropah.
Pakar-pakar ekonomi mereka masih belum menemui strategi ekonomi terbaik untuk memulihkan ekonomi negara mereka. Begitu juga, apa yang telah berlaku ke atas Amerika Syarikat (AS) apabila Rezab Persekutuan AS pun berura-ura untuk mengurangkan rangsangan ekonomi AS dengan mengurangkan pembelian bon.
Polisi perlonggaran kuantitatif (QE) yang selama ini dilaksanakan oleh Rezab Persekutuan AS mungkin dihentikan, juga boleh menjejaskan ekonomi dunia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Rezab Persekutuan AS telah banyak menggunakan wang untuk merangsang sistem kewangan AS ekoran terjejas teruk akibat krisis subprima pada tahun 2008. Sekiranya Rezab Persekutuan AS bersetuju untuk melaksanakan pengurangan polisi QE, ekonomi dunia berkemungkinan akan semakin tidak menentu.
Ini terbukti apabila dana ekuiti asing di Malaysia telah dijual dengan banyaknya sejak kebelakangan ini. Tambahan lagi, ringgit Malaysia agak lemah berbanding dolar AS.
Bahkan, minggu lepas, harga minyak dunia setong telah meningkat pada tahap tertinggi dalam tempoh 18 bulan. Tambahan lagi, timbul kebimbangan AS dan sekutu- kutunya akan melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria.
Keadaan geopolitik di negara-negara Timur Tengah yang masih tidak menentu boleh menjejaskan ekonomi serantau, khasnya dan ekonomi dunia, umumnya. Pastinya ia juga boleh menjejaskan ekonomi Malaysia sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Di samping itu, kedudukan kewangan dan ekonomi Malaysia juga perlu diambil kira. Ini kerana Malaysia tidak boleh selama- lamanya mencatatkan defisit fiskal. Sasaran defisit fiskal tahun ini adalah pada tahap empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jika tiada tindakan merasionalisasikan subsidi minyak, sasaran ini sukar dicapai. Pada masa yang sama, tahap hutang kerajaan persekutuan mestilah tidak boleh melebihi 55 peratus daripada KDNK.
Begitu juga hasil pendapatan negara tidak boleh kurang daripada perbelanjaan operasi negara. Dengan kata lain, jika kerajaan masih ingin mempertahankan subsidi minyak pada tahap sebelum ini iaitu RM1.90 seliter, maka kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak wang rakyat berbanding sebelum ini ekoran kenaikan harga minyak dunia. Sedangkan terdapat kekangan dalam kedudukan kewangan negara.
Tidak mustahil, akhirnya, kewangan negara semakin rapuh dan Malaysia terpaksa meningkatkan jumlah hutang luar semata-mata untuk menyenangkan hati rakyat dengan mengekalkan harga minyak pada tahap sedia ada.
Dalam tempoh jangka masa panjang, hutang yang semakin tinggi menyebabkan hasil kerajaan semakin menurun dek kerana terpaksa membyar hutang dan kadar faedah.
Keadaan akan semakin parah apabila perbelanjaan operasi kerajaan pun terpaksa ditampung dengan hutang. Maka, jika ini berlaku, gaji kakitangan kerajaan terpaksa dibayar dengan menggunakan hutang.
Bagaimana mungkin pembangunan negara boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya gaji kakitangan awam pun terpaksa dibayar dengan cara meminjam.
Sedangkan umum mengetahui gaji kakitangan awam baru sahaja dinaikkan pada bulan Julai yang lalu. Dijangkakan terdapat pengumuman penting mengenai elaun skim kakitangan awam pada hujung tahun ini hasil kajian kerajaan untuk menambah baik skim-skim kakitangan awam. Sudah tentu setiap pengumuman akan menyebabkan tambahan perbelanjaan kerajaan.
Bayangkan gaji dan elaun kakitangan awam yang semakin meningkat terpaksa ditampung dengan hasil yang sedia ada. Pada masa yang sama, subsidi minyak juga mahu dikekalkan hanya semata-mata inginkan populariti dan menyenangkan hati rakyat.
Bagaimanapun, ini bukan bermaksud kerajaan hanya perlu duduk diam tanpa berbuat apa-apa untuk membantu rakyat. Susulan kenaikan harga minyak, kerajaan juga telah mengumumkan untuk meringankan beban golongan berpendapatan sederhana yang terhimpit dengan kenaikan harga minyak.
Pengumuman akan dibuat dalam Bajet 2014 nanti. Seperti diketahui, penjimatan subsidi minyak akan disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah melalui Banturan Rakyat 1Malaysia (BR1M), manakala golongan berpendapatan sederhana seolah- olah kelihatan diabaikan oleh kerajaan.
Pengumuman kerajaan untuk membantu golongan ini memberi khabar baik kepada mereka. Banyak langkah yang boleh dilakukan untuk membantu mereka dan antaranya adalah dengan mengurangkan kadar cukai pendapatan pada tahap yang terendah.
Membantu semua lapisan rakyat menggambarkan betapa kerajaan tidak ambil mudah apabila terpaksa mengumumkan kenaikan harga minyak. Pastinya, tindakan terbaik adalah dengan menyeimbangkan kemampanan kedudukan kewangan negara dan pada masa yang sama mengutamakan kesejahteraan rakyat.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan