Anggota polis memeriksa tempat berlakunya kejadian tembak yang mengakibatkan mangsa, S. Jambukeshan mati di Taman Rishah, Ipoh, Perak, semalam.
Polis hari ini mengesahkan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mati ditembak di Taman Rishah, Silibin di sini pagi semalam merupakan ketua kumpulan kongsi gelap Geng 36 di Batu Gajah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata hasil siasatan mendapati S. Jambukeshan, 39, ditembak mati akibat pergaduhan membabitkan tiga kumpulan kongsi gelap iaitu Geng 36, 04 dan 08.
"Pergaduhan dipercayai berpunca kerana berebutkan kawasan untuk pengedaran dadah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis serah terima tugas antara Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan dengan penggantinya, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Katanya polis percaya akan dapat memberkas suspek dalam kes tembak itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai berhampiran lokasi kejadian.
Katanya polis tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat melebihi dua orang.
Mohd Dzuraidi berkata setakat ini polis telah mengambil keterangan dua saksi yang berada di tempat kejadian.
Dalam kejadian pada 7.15 pagi semalam, bekas anggota TUDM itu mati ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah restoran di Jalan Permaisuri Mazwin, Taman Rishah.
Mangsa yang pernah berkhidmat selama 19 tahun dalam pasukan itu mati ketika dikejarkan oleh anggota keluarganya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketika kejadian, Jambukeshan baru memberhentikan keretanya jenis Perodua Kancil dan ingin mengeluarkan barangan untuk dibawa ke restoran milik bapanya di situ.
Tiba-tiba muncul sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak lalu keluar seorang suspek lelaki memakai topi keledar bertutup penuh. Suspek kemudian menghampiri mangsa lalu terus melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.
Pasukan forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemukan tiga kelongsong peluru bersama satu slug peluru berukuran .9 milimeter! - BERNAMA
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan