Sabtu, Oktober 13, 2012

Selcat umpama 'kucing tidur'?



Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) diumpamakan seperti 'kucing tidur' (sleeping cat) kerana gagal mengambil sebarang tindakan terhadap tiga aduan yang dibuat oleh bekas ketua-ketua cawangan DAP negeri ini.

Aduan-aduan tersebut ialah mengenai pengendalian wang sewaan Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Serdang 3 di Cheras, Kuala Lumpur yang mempunyai elemen rasuah sementara aduan kedua dan ketiga adalah aduan terhadap salah laku pemimpin-pemimpin DAP Selangor.

Menurut bekas Ketua DAP cawangan Teluk Manggis, Sungai Pelek, Sepang dekat sini, Mahful Wahid, Selcat sepatutnya menyiasat setiap aduan yang dibuat oleh rakyat terutama mengenai ahli DAP negeri memandangkan Naib Pengerusinya, Datuk Teng Chang Kim juga Pengerusi Selcat.

"Banyak kepincangan wujud dalam kerajaan negeri Selangor hari ini yang menunjukkan layanan tidak adil Selcat kepada aduan-aduan yang dibuat oleh rakyat terhadap pemimpin DAP.

"Sepatutnya aduan yang dibuat oleh rakyat disiasat dan dibicarakan dengan adil. Tetapi Selcat mengamalkan sikap pilih kasih atau kronisme dalam mengadili sesuatu aduan, jika ada aduan yang menyentuh kepentingan DAP, aduan itu akan diketepikan," dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sekali lagi surat aduan berhubung salah laku pemimpin DAP kepada kakitangan pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Annex di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah bekas Ketua DAP cawangan Pantai Sepang Putra, R. Vellaisamy dan bekas Juruaudit DAP cawangan Serdang Baru Seri Kembangan, Yap Kon Min.

Kesemua mereka kemudian berhimpun secara aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri sambil mempamerkan sepanduk yang tertera perkataan Selcat Sleeping Cat, Cocky (angkuh), Arrogant (sombong) dan Tidak Tulus.

Kata Mahful, mereka memberi tempoh 14 hari kepada Selcat untuk mengambil tindakan terhadap aduan-aduan yang dibuat pada 8 Mei lalu dan hari ini.

Sementara itu Kon Min mempersoalkan mengapa separuh daripada sewa sebanyak RM1,000 sumbangan kerajaan negeri untuk bayaran Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Serdang 3 di Cheras, masuk ke tabung pusat perkhidmatan tersebut.

"Selain aduan terhadap pusat perkhidmatan tersebut, kami turut membuat dua aduan kes salah laku beberapa pemimpin DAP kepada Selcat yang mana kes sama turut dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa bulan lepas dengan bantuan Tan Tee Beng (Ahli Parlimen-Nibong Tebal).

"Jika aduan kali kedua ini tetap tidak dilayan, kami semua akan menghadiahkan Chang Kim sehelai permaidani, agar mudah pihak Selcat melindungi kesemua aduan rakyat di bawahnya," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: