Isnin, Oktober 22, 2012

Isu Selangor : MB Khalid perlu minta maaf pada rakyat Selangor?



Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendesak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Selangor. Menurutnya, Menteri Besar Selangor itu sering berbohong dan memberikan kenyataan yang mengelirukan rakyat.

Noh berkata, sebelum ini beliau mendedahkan bahawa Universiti Selangor (Unisel) mengalami kerugian sejak kerajaan negeri pakatan pembangkang mengambil alih, namun dinafikan oleh Abdul Khalid.

"Ketika itu, beliau (Abdul Khalid) mendakwa laporan kewangan Unisel sedang diaudit oleh juruaudit dalaman dan akan diumumkan keputusan Ogos lalu.

"Namun, sampai sekarang beliau gagal melakukannya. Hari ini terbukti apabila Laporan Audit 2011 keluar, ternyata dakwaan saya (mengatakan Unisel rugi) sebelum ini adalah benar," katanya.

Noh berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dengan Taj Mahal Agro Industries di sini semalam.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang mendedahkan kewangan Unisel mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM37.63 juta pada 2010.


Noh turut membidas Exco Pertanian Selangor, Mohd. Yaakob Sapari yang mengeluarkan kenyataan tanpa kajian dan turun padang.

"Beliau menuduh projek pengairan sawah padi yang dilaksanakan kementerian tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.

"Namun, kenyataan Mohd. Yaakob itu dinafikan Pengarah Wilayah Barat Laut, Muhammad Nasir Khusairi yang mendapati projek tersebut sememangnya telah mendapat kelulusan," katanya.

Beliau berkata, sikap Mohd. Yaakob sama seperti Abdul Khalid yang hanya mahu mencari salah kerajaan BN terdahulu dan sengaja mempolitikkan isu.

"Kalau Mohd. Yaakob 'gentleman', dia juga kena minta maaf secara terbuka kerana menipu rakyat. Exco dan menteri besar sama sahaja," katanya.

Noh sebelum ini meminta kerajaan negeri tidak menghalang pelaksanaan projek pengairan di negeri ini dengan pelbagai kerenah birokrasi. Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hashim Abdullah dan Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Anuar Kasman.

Perjanjian itu ditangani bagi menjalin kerjasama antara Nafas dengan Taj Mahal dalam meningkatkan bekalan makanan untuk haiwan ternakan. Beliau berkata, Abdul Khalid tidak layak menerajui Selangor kerana sering bercakap putar-belit dan tidak jujur kepada rakyat.

"Saya cabar Abdul Khalid membuat kenyataan bahawa laporan audit itu bohong. Bagaimana beliau mahu mentadbir Selangor kalau asyik menipu sahaja?," katanya dengan nada sinis.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: