Jumaat, Oktober 12, 2012

Kepimpinan Pas sudah ketandusan modal?



Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Hasan Ali menyifatkan kepemimpinan Pas ketandusan modal sehingga mengambil jalan pemikiran paling mudah dan dangkal dengan mengaitkan UMNO dalam sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam Pas.

Katanya, tindakan beberapa pemimpin Pas mengaitkan UMNO dengan kenyataan yang dibuat oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berhubung DAP ketika membentangkan kertas kerja di dalam Seminar Dakwah Islamiah anjuran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jelas membuktikan perkara itu.

"Adakah kenyataan-kenyataan yang hampir serupa nadanya yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Haron Taib, Timbalan Murshidul Am Pas, Datuk Dr.Harun Din dan lain-lain pemimpin mengenai hala tuju parti dewasa ini juga dikaitkan dengan UMNO?

"Adakah semua pendapat yang menyelar Pas sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud juga didalangi oleh UMNO? Adakah suara-suara yang semakin lantang di kalangan ahli dan penyokong Pas di merata-rata tempat menyuarakan ketidakrelaan mereka menjadi kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga kerja UMNO?,'' tanya beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kenyatan tersebut, Hasan yang juga Presiden Jati dengan penuh kiasan meminta pemimpin-pemimpin Pas yang disifatkan beliau tidak sedar diri melihat ke arah cermin menyaksikan wajah sendiri di samping mengkaji kerja-kerja yang dilakukan oleh PKR dan DAP.

"Kedua-dua rakan kongsi ini dikatakan begitu licik dan semakin berani mengutuk dan menghina Islam,'' tegas beliau.

Hasan menganggap reaksi oleh para pemimpin tahap kedua dan ketiga dalam hierarki Pas ketika mengulas kenyataan Nasharudin tidak lebih daripada memberi gambaran darjah kecelaruan dan kegoyahan Pas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Saya mendapat tahu dalam perjumpaan yang diadakan di pelbagai peringkat, pimpinan Pas tidak dapat berhujah dan memberi jawapan yang memuaskan kepada ahli serta penyokong parti terutama yang berkaitan dengan isu Pas terpaksa tunduk kepada kandungan Buku Jingga dan mengetepikan kitab Allah yang menghendaki hamba-Nya melaksanakan tatacara hidup berpaksikan Islam,'' katanya.

Oleh itu beliau berharap, Majlis Syura Ulama mengambil tindakan drastik dalam masa terdekat membebaskan Pas daripada musuh-musuh Islam dari luar dan golongan parasit dalam parti itu.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: