Selasa, Oktober 30, 2012

Isu Selangor : MB Khalid dibidas - Nafi MTES tiada kaitan projek kabel?



MCA Bahagian Bandar Tun Razak (BTR) membidas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa projek pembinaan kabel bervoltan tinggi yang merentasi Taman Connaught adalah ‘hasil’ kelulusan yang dibuat Kerajaan Barisan Nasional pada 2007.

Setiausaha MCA BTR, Niel Foo Seck Chyn berkata, projek itu diluluskan pada penghujung 2008 yang mana ketika itu di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sekarang.

Menurutnya, kelulusan yang dibuat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) terhadap permohonan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) membolehkan TNB membuat permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pembinaan tersebut haruslah terlebih dahulu diluluskan MTES dan barulah TNB boleh memohon pada DBKL untuk membina jajaran kabel di kawasan ini.

“Tindakan beliau menafikan MTES kaitan dengan projek di jajaran tersebut adalah satu pembohongan kepada penduduk di kawasan ini, dan jika benar ia diluluskan sejak 2007, buktikan,” katanya pada sidang media, di Taman Connought, Cheras, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi MCA Bahagian, Chiew Lian Keng. Projek bagi jajaran Taman Connaught itu sudah beberapa kali mendapat bantahan penduduk yang khuatir terhadap frekuensi elektromagnetik (EMF) dari kabel voltan tinggi yang dikatakan boleh meningkatkan risiko kesihatan manusia dalam jangka panjang.

Abdul Khalid dalam kenyataannya semalam mendakwa, projek tersebut sebenarnya diluluskan Kerajaan Negeri Barisan Nasional sejak 2007 lagi sekali gus menolak dakwaan bahawa beliau yang meluluskannya.

Dalam kenyataan tersebut juga menafikan bahawa beliau dalam mesyuarat MTES memberi kelulusan kepada TNB untuk membina kabel tersebut merentasi beberapa kawasan Cheras di Selangor dan Taman Connaught.

Difahamkan, projek tersebut amat kritikal bagi memperkukuhkan sistem bekalan elektrik bagi menjamin tahap daya harap pembekalan elektrik bagi Sistem Grid Nasional di Semenanjung Malaysia khususnya bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Ia bertujuan mengukuhkan sistem bekalan elektrik di sekitar Cheras dan Balakong yang mencapai tahap kritikal, yang mana pembekalan elektrik ini juga adalah kritikal bagi operasi cadangan loji rawatan air Langat 2 yang mana mampu membekalkan air bersih mencukupi bagi Lembah Klang di masa hadapan.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: