Khamis, Oktober 18, 2012

Iktibar dari kisah 'Chao Phraya' di Selangor?


Tinjauan air mentah di Empangan Sungai Selangor yang semakin menyusut baru-baru ini.

Pengurusan air merupakan antara aspek terpenting dalam peradaban manusia. Kegemilangan tamadun Mesir dan China umpamanya dikaitkan dengan kejayaan pemerintahnya dalam mengurus sumber air di Sungai Nil dan Sungai Kuning.

Kejayaan firaun di Mesir mengukuhkan kedudukan sebagai pemerintah yang berjaya dikatakan didorong oleh ilmu dalam bidang astronomi. Ilmu tersebut membolehkannya meramal kedudukan air sungai untuk sesuatu musim.

Keadaan itu seterusnya dikatakan menyebabkan penduduk Mesir melihat firaun mempunyai kuasa dalam menentukan paras air Sungai Nil, sehinggakan rakyat mengangkatnya sebagai pemerintah.

Keadaan yang sama berlaku di dalam tamadun yang lebih dekat dengan kita iaitu di Kemboja. Sarjana di negara itu melihat salah satu kejayaan Tamadun Angkor adalah kebolehan raja-raja Khmer mengurus dan menakung air secara berkesan sehingga pertanian boleh dilakukan sepanjang tahun.

Di Thailand, setiap kerajaan awalnya mempunyai kaitan dengan sungai seperti Chiang Saen (Sungai Mekong), Lanna Thai di Chiang Mai (Mae Ping), Sukhotai (Sungai Yom) manakala Menam Chao Phraya membekal sumber air kepada dinasti Ayuthaya, Thonburi dan Chakri.

Dalam bahasa Thai, menam bermaksud sungai manakala Chao Phraya merupakan gelaran kepada pembesar atau pentadbir yang mungkin mirip kepada gelaran Datuk atau Tan Sri di Malaysia. Menam Chao Phraya justeru menggambarkan hubungan rapat antara sesebuah kerajaan dengan sungai.

Namun disebabkan wujud ketidakserasian antara Chao Phraya (pembesar) di Bangkok pada tahun lalu, masing-masing Parti Demokrat yang mentadbir Metropolis Bangkok dan Parti Phue Thai yang menguasai Kerajaan Pusat sering berbalah mengenai isu air.

Kedua-dua pihak juga tidak mengambil iktibar daripada banjir besar-besaran yang menenggelamkan Bangkok pada tahun lalu, masing-masing meneruskan pertelingkahan mengenai cara untuk menguruskan air pada tahun ini.

Baru-baru ini kerajaan Phue Thai menghantar satu pasukan yang terdiri daripada banduan untuk membersihkan longkang dengan mendakwa Demokrat yang mentadbir Bangkok gagal memikul tanggungjawab sehingga banyak longkang telah disumbat sampah-sarap.

Keesokan harinya, Datuk Bandar Bangkok dari Demokrat pula mengkritik Kerajaan Pusat kerana menggali longkang yang telah dibersihkan sebelum itu dan mereka sepatutnya membersihkan longkang yang lain.

Tambah memalukan, Chao Phraya dari Parti Phue Thai telah mengarahkan pekerja untuk mengangkut beg pasir yang diletakkan oleh Chao Phraya dari Demokrat di satu saluran air di Bangkok.

Phue Thai mendakwa Demokrat sengaja menyumbat saluran air itu sehingga menyebabkan banjir dan seterusnya menyalahkan kerajaan Pusat pimpinan Yingluck Shinawatra. Teori konspirasi Phue Thai itu segera dinafikan Demokrat yang menjelaskan bahawa beg pasir itu bertujuan mencegah banjir dan bukannya untuk menyebabkan banjir.

Akhbar-akhbar Thailand melaporkan perkara tersebut selama beberapa hari berturut-turut, pakar-pakar air dan jurutera turut memberi komen masing-masing tetapi isu tersebut masih gagal diselesaikan.

Ketika Chao Phraya dari Phue Thai dan Demokrat hangat membincangkan sama ada perlu meletakkan beg pasir atau sebaliknya, ribut Gaemi yang menghala dari Vietnam telah 'mendarat' di Bangkok.

Chao Phraya dari Demokrat dan Phue Thai bagaimanapun bernasib baik kerana ribut yang digeruni seluruh warga Bangkok itu telah bertukar lemah dan tidak mengakibatkan hujan melampau seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi sebelum ini.

Bangkok buat sementara bebas daripada krisis banjir besar-besaran. Penduduknya bersyukur kepada Tuhan tetapi rasanya mereka tidak akan berterima kasih kepada Chao Phraya Demokrat mahupun Phue Thai yang sebelum ini terlalu asyik berdebat mengenai beg pasir.

Penulis tidak tahu sama ada sandiwara air di Bangkok akan bersambung tetapi yang pastinya, drama politik mengenai isu air di Selangor, Malaysia masih berterusan sehingga hari ini.

Seperti isu beg pasir di Bangkok, pelbagai pihak di Selangor turut mengeluarkan kenyataan yang berbeza-beza mengenai kapasiti air di sungai, air di loji rawatan, penggunaan air lombong dan keperluan untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2.

Dalam keadaan seperti ini, wajar kita mengimbas semula pengajaran daripada sejarah peradaban Asia Tenggara yang mana survival mereka mempunyai hubungan langsung dengan pengurusan air.

Kerajaan Angkor di Siem Reap, Kemboja dan kerajaan-kerajaan awal Thailand di Bangkok mempunyai sistem pengurusan dan bekalan air yang kompleks tetapi berkesan untuk menyalurkan air untuk kehidupan sepanjang tahun.

Terusan atau khlong yang menjadi satu ciri unik di Bangkok sehingga bandar raya itu dinamakan Venice Timur merupakan tinggalan daripada sistem pengurusan air di Thailand.

Perlu diingatkan bahawa sistem pengurusan air yang kompleks seperti di Angkor atau Thailand ini bagaimanapun bukan dibina dalam tempoh beberapa hari sahaja tetapi ia mengambil masa yang panjang.

Loji Rawatan Langat 2 yang dikatakan penting untuk mengelakkan krisis air di Selangor sendiri memerlukan masa sehingga tiga tahun enam bulan untuk disiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan.

Walaupun ada pihak yang mengetengahkan air lombong sebagai sumber alternatif, namun adakah Chao Phraya berkenaan yakin bahawa kaedah itu betul-betul boleh dilaksanakan tanpa kesan sampingannya?

Secara berzaman-zaman lamanya, air atau sungai merupakan buaian kepada pembangunan tamadun tetapi dalam keadaan tertentu, ia juga merupakan faktor yang mampu memusnahkan kerajaan sekiranya tidak diuruskan dengan berjaya.

Sejarah menunjukkan pengaruh Angkor telah merosot dan tanah jajahannya ditelan oleh kerajaan Asia Tenggara yang lain. Ibu negara Angkor dan monumen terkenalnya Angkor Wat bertukar menjadi kawasan terbiar walaupun ia pernah menjadi kerajaan paling berpengaruh di rantau ini.

Kenapa ibu kota Angkor menjadi terbiar? Sesetengah sarjana berpendapat keadaan itu disebabkan kegagalan pengurusan air.

Kemudahan air di Angkor dikatakan tidak diselenggara dan akhirnya membawa masalah wabak penyakit sekali gus menukar Angkor daripada kota agung kepada kawasan terbiar.

Suara politik
Taminsari

Tiada ulasan: