Rabu, Oktober 24, 2012

Isu Selangor : Teknologi membran perlu sumber air jernih?


Sea Water Desalinantion: Concept Drawing of Membrane Distillation Sea Water Desalination.

Cadangan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Selangor untuk melaksanakan teknologi membran sama sekali tidak praktikal kerana syarat utama dalam penggunaan teknologi itu ialah sumber airnya mesti dalam keadaan jernih.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga (AWER), S. Piarapakaran berkata, ini kerana tanpa sumber air yang jernih, akan mengakibatkan kerajaan negeri menanggung kos operasi yang tinggi ekoran terpaksa menukar penapis membran secara kerap.

"Teknologi membran kebiasaannya digunakan untuk perawatan air sisa perindustrian, sekiranya digunakan bagi air minuman terutama yang berskala besar, cadangan itu dilihat tidak praktikal kerana hanya akan membawa kepada peningkatan kos.

"Sumber air di Malaysia amnya berwarna jingga, malah, kandungan pepejal terampai juga tinggi. Keadaan itu sekali gus akan menyebabkan kekerapan untuk menukar penapis yang tersumbat berbanding sistem sedia ada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan cadangan Kerajaan PKR Selangor menggunakan teknologi membran bagi meningkatkan penjanaan air di loji terawat sedia ada sebagai tidak praktikal dan membabitkan kos lebih tinggi.

Piarapakaran juga mempersoalkan sejauh mana teknologi itu mampu menampung kapasiti air penuh sebanyak 2,000 juta liter sehari untuk keperluan jangka panjang penduduk di Lembah Klang.

"Sekiranya mereka ada cadangan yang bagus, kenapa tidak sediakan satu laporan supaya rakyat boleh baca dan faham secara terperinci mengenai penyelesaian yang ingin dilakukan.

"Saya melihat cadangan itu sebagai masih kabur dan tidak bersepadu kerana tidak dinyatakan dengan lanjut tentang kos, cara pelaksanaan, kapasiti dan sumber air," katanya.

Mengulas lanjut, Piarapakaran berkata, sekiranya teknologi itu digunakan jelas sekali akan membebankan pengguna kerana kerajaan negeri terpaksa melaburkan wang yang banyak pada kesemua 34 loji rawatan air mereka.

"Apabila kos operasi bertambah, sudah pasti tarif air akan meningkat. Malang buat pengguna kerana terpaksa membayar air pada nilai yang tinggi," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: