Ahad, Oktober 07, 2012

Bas mewah: MB Selangor didesak agar tidak cuba sembunyi fakta?



Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak supaya tidak cuba menyembunyikan fakta berhubung pembelian dan pemilikan bas mewah dua tingkat untuk kegunaan kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Desakan itu dikemukakan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), antara lain turut meminta Abdul Khalid mendedahkan punca kewangan sebenar bagi pembelian bas yang sebelum ini dianggarkan berharga RM900,000.

Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, sikap berdiam diri tentang isu tersebut seolah-olah ada sesuatu tidak kena dalam proses pembelian bas berkenaan yang menurut Abdul Khalid dibuat menerusi sewa beli selama enam bulan tanpa menggunakan wang kerajaan negeri.

Namun sehingga hari ini, Abdul Khalid tidak mendedahkan secara terperinci bagaimana pembelian bas mewah itu dibuat, termasuk sumber kewangan untuk membeli kenderaan yang didaftarkan di bawah namanya dengan nombor pendaftaran BLU 8779.

"Apakah Abdul Khalid sengaja tidak mahu mendedahkan proses sebenar pembelian bas mewah itu, sebaliknya hanya membuat kenyataan secara umum bahawa beliau memilikinya melalui sewa beli selama enam bulan.

"Sekiranya Menteri Besar merasakan proses pembelian dan pemilikan bas mewahnya itu dibuat secara telus, beliau harus mendedahkan secara terperinci tentangnya. Sebagai Menteri Besar, sebarang tindakan yang dilakukannya tidak boleh lari dari sudut kepentingan awam di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah laman blog, http://sel13.com menyiarkan laporan mempertikaikan pembelian 50 model lori kompaktor sampah bernilai RM14.5 juta oleh kerajaan PKR Selangor termasuk bas dua tingkat dan trak kontena serba guna untuk parti itu.

Selain itu, blog terbabit turut mempersoalkan kenyataan Abdul Khalid yang mendakwa bas mewah digunakan parti itu sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah disewa dan dibiayai sepenuhnya oleh beliau tanpa menggunakan wang kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Hamidzun turut meminta Menteri Besar supaya mendedahkan butiran terperinci pembelian bas mewah itu sama ada mempunyai kaitan dengan pembelian 50 buah kompaktor sampah oleh kerajaan negeri sebelum ini.


Katanya, selain jenamanya sama iaitu Dong Feng dari China, bas mewah serta kompaktor sampah tersebut turut dipasang dan diubahsuai dari sebuah kilang yang sama di Rawang.

"Jika Menteri Besar memiliki bas mewah terbabit, adakah beliau mempunyai kaitan dengan pembelian 50 buah kompaktor sampah oleh kerajaan negeri sebelum ini. Jika tidak, Menteri Besar perlu menjelaskan syarikat mana yang menaja pembelian bas mewah itu.

"Kita difahamkan Menteri Besar tidak boleh membuat pinjaman untuk membeli bas mewah itu kerana beliau disenaraihitamkan, susulan kes pinjaman RM60 juta dengan Bank Islam yang kini dalam proses mahkamah," ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan tentang pembelian bas mewah tersebut sama seperti suruhanjaya itu melaksanakan siasatan terhadap syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: