Ahad, Oktober 28, 2012

AES: Pengajaran, pengawalan atau penganiayaan?



Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diperkenalkan penggunaannya baru-baru ini oleh Kementerian Pengangkutan di 831 lokasi panas di seluruh negara mendapat pelbagai pandangan daripada banyak pihak. Tentunya kesemua yang memberi reaksi mempunyai alasan tersendiri menyokong ataupun menentang penggunaan sistem berkenaan.

Sebagai pengguna, kita melihat tindakan memperkenalkan penggunaan AES daripada pelbagai sudut. Paling penting adalah melihat tujuan sebenar diperkenalkan, kesan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang. Kerana tidak semestinya sistem dan niat yang baik boleh memberikan kesan yang baik sekiranya tidak dilaksanakan secara berhemah, berperikemanusiaan dan tidak membebankan.

Pada masa sama, pihak berkuasa yang diberikan mandat tidak pula boleh secara sewenang-wenangnya melaksanakan sesuatu perkara dengan hanya bersandarkan kejayaan pelaksanaan yang sama di negara yang berbeza kerana sudah tentu terdapat banyak perkara yang tidak serupa di antara kedua-duanya.

Misalnya, taraf hidup, budaya dan tahap pendidikan malah kesediaan untuk berubah. Negara maju dan negara membangun sebenarnya di dalam dua kepompong yang berbeza dan tidak akan sama indikator serta pelantar pemikiran rakyatnya.

Seperti mana isu penggunaan telefon bimbit di sekolah meskipun sudah menjadi budaya di negara maju tetapi kenapa ditolak penggunaannya di negara ini? Bermakna wujud interpretasi yang berbeza di dalam memperkenalkan sesuatu perkara meskipun untuk kebaikan dan kesejahteraan warga Malaysia.

Oleh itu, kita tidak perlu terlampau taksub dengan idea bahawa AES mampu mengurangkan kadar kemalangan dengan menunjukkan satu statistik yang dicetak untuk tempoh yang tidak relevan. Kerana pengumpulan data dan statistik sebenarnya tidak boleh dimanipulasi sembarangan demi kepentingan peribadi. Rakyat negara ini sudah cukup pintar dan tahu bagaimana pengumpulan data berkenaan boleh diwujudkan bagi menyokong, menghalal tindakan penguatkuasaan AES berkenaan.

Kerana data tidak boleh dikumpul dengan tempoh masa yang berbeza keadaan realiti semasa contohnya mana mungkin data kemalangan musim perayaan yang dikutip dibandingkan dengan kadar kemalangan pada hari biasa yang kononnya dikutip selepas pemasangan AES.

Malahan, kutipan data pada hari minggu dengan hari bekerja juga tidak boleh dijadikan perbandingan, atau awal minggu dan akhir minggu juga tidak akan sama aliran trafiknya.


Kita bukan menentang penambahbaikan, malahan amat menyokong dan mengharapkan jalan raya di negara ini menjadi antara yang paling selamat dalam dunia. Malah, dengan penambahbaikan infrastruktur tempat rehat dan seumpamanya, kita sudah sama taraf dengan negara maju. Cuma, yang menjadi duri dalam daging ketika ini adalah pematuhan kepada undang-undang jalan raya.

Inilah sebenarnya masalah dan punca utama yang perlu diberikan perhatian. Malangnya, seolah-olah pihak berkuasa di negara ini menuding 10 jari mereka kepada pengguna sahaja yang bersalah dan tiada satu jari pun dituding kembali kepada diri mereka sendiri bagi melihat dan bermuhasabah kenapa masalah ini timbul.

Kita sudah melalui fasa memperkenalkan lampu amaran kelajuan kenderaan komersial, kotak hitam, tali pinggang belakang dan pelbagai peralatan yang akhirnya diam begitu sahaja. Pada masa sama kita lihat di depan mata pemandu kenderaan komersial bas, lori, teksi dan treler, tetap menjadi raja di jalan raya.

Kenderaan dipandu ala samseng di lorong paling kanan tanpa rasa bersalah dan tidak kelihatan pun ditahan dan diambil tindakan, walaupun kita lihat banyak kenderaan penguat kuasa di atas jalan raya memburu para pemandu marhaen kereta biasa. Malah, kadang kala akibat tidak tahan mengikut di belakang kenderaan komersial yang dipandu di lorong kanan, maka kereta biasa memotong mengikut lorong kiri tetapi akibatnya mereka disaman kerana kononnya memotong dengan cara berbahaya.

Kerana itu, kepada pihak berkaitan perlu menggunakan pendekatan yang berbeza dalam menangani masalah ini secara yang berhemah. Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Kita percaya, pihak pelaksana telah diberikan tafsiran yang salah mengenai masalah sebenar kemalangan jalan raya di negara ini. Kerana itu, cara mengatasinya juga telah tersasar daripada haluan.

Secara mudah, kita tidak boleh memberikan panadol kepada orang yang cirit-birit tetapi ia amat sesuai kepada mereka yang pening kepala.

Kemalangan yang berlaku di lebuh raya dengan kemalangan di jalan persekutuan juga sebenarnya tidak boleh dikelaskan ke dalam tahap yang sama kerana coraknya berbeza. Malah lokasi dan negeri yang berlaku juga mempunyai signifikan yang berbeza dan perlu ditafsir dan diberikan ulasan yang berbeza.

Dalam hal ini, semua pihak kena berlapang dada dan jangan bersikap lepas tangan atau mengambil mudah. Akibat yang bakal timbul amat buruk apabila pengguna merasakan mereka teraniaya sehingga mewujudkan rasa marah dan tertekan yang berpanjangan.

Kita khuatir niat yang baik akan menjadi sebaliknya dan kerajaan dituduh tidak prihatin dan hasrat kepentingan rakyat didahulukan itu.


Malah daripada tinjauan pengguna yang dilakukan, kita dapati majoriti berpendapat sebenarnya kemalangan jalan raya banyak diakibatkan oleh pengabaian penguatkuasaan terhadap kenderaan komersial sehingga pada sebarang masa dan sebarang ketika, kumpulan inilah yang selalunya menjadi penyebab kepada kemalangan.

Lihat sahaja pada musim perayaan, siapa yang menjadikan jalan raya sesak dan mewujudkan tekanan kepada para pemandu lain. Atau, tinjau sahaja di mana-mana jalan seluruh negara bagaimana mereka memonopoli jalan sehingga kenderaan kecil lain terpaksa mengalah dan bayangkanlah lebuh raya tiga lorong pun dimonopoli oleh kumpulan ini. Tidakkah para penguat kuasa celik mata melihat ini yang sebenarnya menjadi punca utama tekanan kepada para pemandu biasa.

Selain itu, kenapa kurang benar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kenderaan yang sengaja dipandu di lorong paling kanan dengan kadar kelajuan yang tidak munasabah.

Malah saban waktu mereka ini merasa tidak bersalah membiarkan orang lain mengekori mereka berderet-deret yang mana akhirnya terpaksa memotong di lorong kiri malah di lorong kecemasan yang mana kemudian direkodkan pula oleh AES dan dikenakan saman.

Fikirkanlah semula, buat kajian yang bertanggungjawab dan ambil maklum balas daripada para pengguna dan NGO supaya pelaksanaan AES tidak jadi isu besar.

Sepatutnya pihak berkaitan melihat masalah ini daripada perspektif yang pelbagai dan tentu sahaja banyak cara lain yang boleh diguna pakai tanpa perlu perbelanjaan yang besar dan impak negatif yang ketara.

Selalulah berfikir di luar kotak dan fikirkan kepentingan rakyat terlebih dahulu dan pada masa sama membuat pertimbangan secara saksama supaya niat yang baik tidak menjadi sebaliknya.

Ini juga bukan bermakna penguat kuasa tunduk kepada pesalah tetapi bertindak secara munasabah supaya situasi menang-menang sentiasa terjaga dan keadaan harmoni dapat dirasa, diwujud dan dibanggakan oleh semua.

Suara Politik
Taminsari



Tiada ulasan: