Ahad, Oktober 14, 2012

Kelantan tiada kuasa ke atas sumber asli di luar tiga batu nautika - Ku Li?



Kerajaan Pas Kelantan tidak mempunyai kuasa ke atas penemuan sebarang sumber asli di luar tiga batu nautika dari pantai negeri ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, hanya Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa penuh sekiranya sumber asli tersebut ditemui di luar daripada jarak berkenaan.

Menurutnya, sempadan bagi menentukan kekuasaan di antara negeri dan Kerajaan Pusat itu ditentukan ketika penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada Februari 1948.

"Untuk menjelaskan soal ini, selain daripada sempadan yang dibuat di peringkat pemisahan negeri dan negeri lain, maka di seberang laut atau pun di pesisiran air telah pun ditentukan supaya kekuasaan negeri berkenaan dilanjutkan sehingga tiga batu nautika.


"Selebihnya akan dikuasai oleh Kerajaan Pusat. Kalau ada sebarang penemuan sama ada bijih timah atau pun apa juga yang berfaedah, kalau ditemui dalam kawasan kurang daripada tiga batu nautika maka ia menjadi hak dan milik negeri tetapi kalau ditemui di luar tiga batu nautika, ia menjadi hak dan milik Kerajaan Persekutuan seperti ditentukan pada 1948 itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dipetik daripada video yang bertajuk, Tengku Razaleigh 2012 - Tunaikanlah Apa Yang Dalam Perjanjian (Royalti) di http://www.youtube.com/watch?v>nM-9q6N_NU0. Video berdurasi 12 minit itu dimuat naik di laman Youtube oleh Signal On pada 3 Oktober lalu.

Sebelum ini, Kerajaan Pas Kelantan mendakwa, mereka berhak mendapatkan royalti hasil daripada minyak yang dikeluarkan oleh Petronas kerana ia terletak dalam perairan negeri itu.

Perkara itu kemudiannya menjadi polemik yang berpanjangan apabila pemimpin Pas memainkan sentimen di atas pentas ceramah biarpun ia telah dibawa ke mahkamah untuk diadili.

Kesemua telaga minyak yang dituntut oleh Kerajaan Pas Kelantan berada lebih 60 batu nautika dari pantai negeri ini.


Sementara itu, Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, beliau telah ditugaskan untuk berunding dengan kerajaan Sarawak ketika penubuhan awal syarikat tersebut selepas timbul pertikaian.

"Saya telah dikirim oleh Kerajaan Pusat untuk berunding dengan Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yaakob dan saya telah berjaya mendapat persetujuan dalam rundingan itu supaya kita menyelesaikan perkara yang dibangkitkan di Mahkamah Kuala Lumpur.

"Segala-galanya ditentukan dengan persetujuan yang dibuat apabila kita meletak hak masing-masing sama ada pusat dan negeri dalam satu badan yang dinamakan Petronas.

"Dengan sokongan kerajaan negeri, Sarawak telah mencadangkan juga supaya Petronas yang akan dibentuk ketika itu akan membayar lima peratus kepada kerajaan Negeri Sarawak dan untuk menjaga keseimbangan antara negeri dan pusat, Kerajaan Pusat juga meletak hak minyak mereka dalam Petronas dan mendapat bayaran yang sama iaitu lima peratus," katanya.

Beliau turut diminta supaya berunding dengan setiap negeri di Tanah Melayu pada ketika itu untuk penubuhan Petronas.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: