Rabu, Oktober 17, 2012

Dinasti Lim?



Selepas menang banyak kerusi peringkat negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), DAP memanggil satu mesyuarat di Hotel Red Rock, Jalan Macalister. Satu soalan ditanya, siapa yang sewajarnya menjadi Ketua Menteri?

Lim Guan Eng lantas menawarkan diri sambil menyatakan bahawa sebagai Setiausaha Agung, beliau paling layak. Khabarnya, ada pemimpin DAP lain yang hadir pada mesyuarat itu agak tersentak. Sepatutnya, jawatan tersebut diberi kepada tokoh anak tempatan, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

Kisah tersebut sehingga hari ini menjadi bualan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin DAP. Kon Yeow dikatakan lebih layak kerana beliau ialah anak jati Pulau Pinang berbanding Guan Eng yang merupakan calon payung terjun berasal dari Melaka.

Di peringkat akar umbi DAP negeri, Kon Yeow disenangi ramai kerana dilihat seorang yang berkebolehan, bersikap matang, merendah diri dan bersih. Cuma kekurangannya, beliau bukan anak Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang lebih empat dekad menguasai parti.

Ramai pemerhati politik termasuk orang dalam DAP sependapat bahawa peranan Kit Siang mempengaruhi pendakian politik Guan Eng. Bukan sahaja bagi jawatan parti sehingga diangkat menjadi Setiausaha Agung, bahkan turut dijadikan Ketua Menteri. Nama sahaja parti berlabel demokratik tetapi dikuasai dua beranak.


Sejarah menyaksikan bagaimana ramai pemimpin yang berkebolehan terpinggir dalam satu permainan politik halus olahan Kit Siang demi meneruskan dinastinya dalam DAP.

Hari ini, Guan Eng dilingkari banyak kelemahan dan isu termasuk imej angkuh yang dilemparkan kepadanya oleh pemimpin pakatan. Beliau juga kerap mengeluarkan kenyataan yang memudaratkan imej parti termasuk isu Johor tidak sesuai sebagai destinasi pelaburan kerana banyak berlaku jenayah.

Cakap-cakap mempersoalkan kewajaran Guan Eng sebagai Ketua Menteri kini berlegar. Ada yang mencadangkan agar jawatan Ketua Menteri, jika DAP terus memerintah selepas PRU13 dikembalikan kepada anak tempatan.

Kita percaya itu langkah yang baik. Pulau Pinang tidak ketandusan pemimpin negeri. Adalah suatu penghinaan menafikan hak rakyat negeri itu untuk mendapatkan peneraju rakyat tempatan. Lagipun Guan Eng terlalu yakin bahawa pakatan pembangkang akan memerintah negara. Maka beliau sepatutnya menumpukan sahaja kepada Pusat. Janganlah mahu membolot semua. Guan Eng faham apa yang dimaksudkan.

Sekadar rekod, antara kejayaan Kit Siang yang pasti dikenang adalah melorongkan laluan istimewa kepada anaknya ke persada kuasa parti. Memang Guan Eng bertuah. Anak bapaklah katakan.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: