Isnin, Oktober 01, 2012

Buku jingga, Kabinet bayangan dan bajet alternatif Pakatan Haram?



Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pakatan pembangkang sebenarnya berhadapan dengan risiko besar apabila membentangkan Bajet Alternatif 2013, sehari sebelum bajet sebenar.

Dengan mengusung nama bajet pakatan rakyat, tanpa dapat dielak Anwar meletakkan di depan kepentingan parti politik. Tentu teruk bunyinya jika kerajaan juga memilih menamakan bajet kali ini sebagai Bajet Barisan Nasional (BN).

Begitulah, mereka yang mengaku telus, adil dan saksama yang menentang hal-hal politik dicampuradukkan dengan urusan rasmi kerajaan, telah melakukan sebaliknya.

Walaupun bajet berteraskan politik pakatan pembangkang bukan hal baharu tetapi kali ini Anwar terlihat begitu kemaruk mahu menandingi keabsahan bajet kerajaan. Maklumlah, ini merupakan hari-hari terakhir perjuangannya menuju ke Putrajaya.

Mungkin atas sebab itu, tanpa memerah fikiran dengan enteng gerombolan, pakatan pembangkang menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai gimik politik dan membeli undi. Itulah yang ada dalam pemikiran mereka saban tahun apabila bajet dibentangkan - politik dan politik.

Mencitrakan diri sebagai pemimpin super hebat memang penting bagi orang seperti Awnar yang berhasrat besar mahu menjadi Perdana Menteri. Malangnya Anwar lupa mencermin diri walaupun telah gagal beberapa kali.

Kegagalannya mendapatkan jawatan itu dalam cubaan nekad pada September 2008 tidak pun memberi pengajaran kepadanya. Saban waktu, beliau lebih sibuk mengurus hal ehwal rumah orang lain sehingga mengabaikan urusan di rumah sendiri.

Dalam riuh rendah pembangkang mahukan pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tetapi Anwar sendiri bertindak sebaliknya. Tiada pula rakan-rakan sekutu dan NGO propembangkang yang mahu menegur.

Jika benar bagai dikata, tentu Anwar tidak akan bertindak ala Menteri Kewangan. Jika benar menurut kata akar umbi, tentu Anwar akan menyerahkan tugas penting membentangkan bajet alternatif itu kepada pemimpin lain yang ada wibawa. Tetapi, siapakah orang itu?

Anwar dan PKR sendiri tidak berani menyenaraikan Kabinet bayangan mereka. Tiada alasan diberikan, kecuali mereka menganggapnya sebagai tidak perlu. Begitulah hipokrasi pakatan pembangkang.

Memporak-perandakan

Bajet alternatif berani mereka bentangkan tetapi kecut perut apabila diminta menyenaraikan Kabinet bayangan. Tidak lain ini kerana mereka tahu senarai Kabinet bayangan akan memporak-perandakan pakatan pembangkang.

Realitinya mereka tidak boleh bekerjasama sehingga orang selalu umpamakan mereka sebagai tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Ini belum lagi dibahas bagaimana mahu melaksanakan cadangan-cadangan dalam bajet alternatif itu, sedangkan banyak janji dalam manifesto 2008 pun belum ditunaikan.

Jadi, jika beginilah tingkah laku mereka bagaimana kita sebagai pengundi yang ada tanggungjawab boleh menyerahkan kekuasaan kepada kumpulan seperti ini? Jika Anwar berani mengangkat sebuah bajet yang muluk-muluk, kenapa pula takut untuk menamakan barisan anggota Kabinet mereka?


Sebagai penganut sistem demokrasi, kita seharusnya menghormati pandangan pihak lawan. Cuma yang jadi masalahnya ialah kehadiran politikus pembangkang sebagai penyemak dan pengimbang tidak benar-benar dirasakan.

Mereka lebih berminat untuk berpolitik - ceramah dan ceramah. Apabila berasakan bajet alternatif gagal menyaingi bajet kerajaan, Anwar dengan ringan mulut mengajak berdebat.

Beliau mencabar itu dan ini sehingga kesan yang selalu dirasakan ialah kuman di sebarang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak. Pembangkang, yang diterajui Anwar itu lebih sibuk mahu mengurus negara, sedangkan di negeri yang ditadbir penuh cacat cela.

Dalam riuh rendah janji pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam bajet alternatif dan buku jingga mereka, kepimpinan pakatan pembangkang terlupa di negeri sendiri.

Apa jadi kepada RM30 juta yang kononnya berjaya dikumpulkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membantu pengajian pelajar Unisel setelah pihak PTPTN membekukan sementara pinjaman? Setakat ini tiada khabar berita dan tiada apa-apa yang berlaku. Dana RM30 juta itu pula entah ke mana.

Malah Unisel terus dihimpit masalah demi masalah. Terbaharu pihak pengurusan pula gagal membayar kepada syarikat konsesi yang menguruskan asrama pelajar dan penyelenggaraan kampus.

Di KUIN juga masalah terus bertimpa-timpa daripada soal yuran, gaji, asrama sehingga status sijil yang dikeluarkan. Semuanya berkait soal kewangan. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah pelajar dan golongan muda, generasi yang kononnya mahu mereka bela.

Anwar sebagai Ketua Pembangkang mempunyai ruang untuk mengutarakan buah fikiran semasa sesi perbahasan bajet 2013 bermula Isnin ini. Jika dilihat terhadap apa yang dilakukannya sebelum ini, jangan harapkan buah fikiran atau kritikan yang konstruktif dan bertanggungjawab.

Fokus Anwar bukan untuk memperbaiki apa yang ada di negara ini. Jika tidak, contohnya mana mungkin boleh timbul masalah-masalah remeh tetapi perkara asas di Unisel dan KUIN.

Fokus sebenar Anwar ialah bagaimana mahu menjatuhkan kerajaan dan seterusnya menjadikan beliau Perdana Menteri. Tetapi jangan lupa sejarah telah membuktikan beliau telah gagal sehingga hampir-hampir meranapkan ekonomi negara.

Benar seperti kata Najib dalam ucapan Bajet 2013 pada Jumaat itu: 'Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala janji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang,"?

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: