Jumaat, Oktober 26, 2012

Laporan audit dedah kelemahan regim PKR Selangor?



Barisan Nasional (BN) menyifatkan, pentadbiran Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempunyai banyak kelemahan seperti mana didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Oleh itu Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang menyatakan Abdul Khalid merupakan menteri besar cemerlang hasil kejayaan mentadbir negeri ini sejak 2008.

Kenyataan Penasihat Ekonomi negeri itu sebenarnya tersasar kerana Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini memperlihatkan banyak kelemahan dalam pentadbiran Abdul Khalid,’’ katanya dalam sidang akhbar di Tingkat 9 Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun kelemahan Abdul Khalid itu dinyatakan secara terperinci namun Menteri Besar Selangor itu dengan angkuh cuba menafikan kredibiliti laporan tersebut.

Mohd. Zin berkata, terdapat beberapa perkara yang sememangnya menjadi isu besar kepada rakyat Selangor ketika ini seperti pelaksanaan Skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang diwujudkan kononnya untuk memberi faedah kepada semua anak kelahiran negeri ini.

Skim yang bermotifkan politik itu dibuat tanpa perancangan rapi sehingga menyebabkan hasil negeri dibazirkan begitu sahaja tanpa dapat digunakan secara optimum.

Memandangkan skim tersebut diuruskan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), maka Abdul Khalid selaku pemegang amanah perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan skim tersebut," katanya


Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, berdasarkan laporan audit berkenaan, peruntukan Tawas didapati digunakan secara tidak seimbang apabila daripada RM13.5 juta jumlah keseluruhan peruntukan, hanya RM2.9 juta digunakan untuk skim tersebut manakala RM4.9 juta untuk tujuan pengurusan.

Bagaimana pula dengan jaminan kerajaan negeri, adakah setiap anak Selangor yang mendaftar bagi skim tersebut akan mendapat pulangan sebaik mereka berusia 18 tahun? Keadaan itu memandangkan sehingga kini kita tidak nampak sebarang pelaburan yang mendatangkan hasil bagi dinikmati oleh anak-anak Selangor yang memasuki skim itu," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kelemahan dalam pengurusan tukar syarat tanah di Selangor seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan kegagalan Menteri Besar dalam mengurus pentadbiran di negeri ini.

Selain pengurusan tukar syarat tanah, laporan tersebut juga merekodkan beberapa kelemahan seperti kutipan premium tanah yang tidak seimbang termasuk kutipan cukai yang tidak mencapai sasaran. Kelemahan ini membuktikan kerajaan negeri memandang ringan soal tanah dan mengambil mudah mengenai pengurusan hartanah," katanya.

Selain itu katanya, antara aduan yang paling banyak diterima oleh Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN Selangor ketika ini ialah mengenai keadaan jalan negeri yang tidak diselenggara dengan sempurna termasuk membabitkan jalan berlubang yang boleh mendedahkan kepada risiko kemalangan.

Maka, tidak hairan jika Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa kerajaan negeri Selangor hanya menggunakan sebanyak RM218.25 juta daripada peruntukan RM375.90 juta yang diberikan kerajaan untuk penyelenggaraan jalan negeri sepanjang 16, 013 kilometer.

Kira-kira 58.1 peratus sahaja digunakan untuk tujuan penyelenggaraan daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu. Pentadbiran Abdul Khalid mendabik dada menyatakan wang kerajaan negeri meningkat sedangkan pada hakikatnya peningkatan itu adalah kerana wang tidak dibelanjakan dan bukannya kerana kecekapan Abdul Khalid mengurus kewangan," katanya.

Bukan itu sahaja katanya, Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan bahawa terdapat lebihan perbelanjaan tunai untuk tujuan mengurus hampir RM100 juta pada 2011.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: