Khamis, Oktober 18, 2012

Antara Nik Aziz dan Haron Din, siapa yang lebih layak?



Sepanjang penulis mengenali Datuk Dr. Hasan Ali, beliau seorang yang cukup berhati-hati untuk mengulas tentang apa juga perkara berkaitan dengan Datuk Abdul Aziz Nik Mat.

Namun kenyataan terbaru, Nik Abdul Aziz mengenai pentingnya Pas bekerjasama dengan DAP seolah-olah mencabar kesabaran Hasan untuk terus mempertahankan sikapnya daripada mengulas mengenai Menteri Besar Kelantan itu.

Justeru Hasan melontar desakan supaya Nik Abdul Aziz berundur daripada jawatan Mursyidul Am Pas dan menyerahkannya kepada Datuk Dr.Haron Din yang kini merupakan Timbalan Mursyidul Am.

Mungkin bukanlah satu yang luar biasa jika pemimpin-pemimpin Pas akan mempertahankan Nik Abdul Aziz apatah lagi demi kepentingan politik Pas di Kelantan.

Bagaimanapun Hasan memberi pandangan ikhlas kerana sesiapa juga mengkaji perjalanan politik Nik Abdul Aziz sejak beliau menjadi Mursyidul Am ternyata Menteri Besar Kelantan itu kerap membuat kenyataan-kenyataan yang dilihat boleh 'menggugat keutuhan Pas'.

Sikap Nik Abdul Aziz berbeza dengan Haron yang dilihat lebih meletakkan kepentingan perjuangan Islam Pas mengatasi segala-galanya. Haron bercakap atas dasar yang benar itu benar yang salah itu salah dan dalam mengulas sesuatu isu Haron sentiasa berhati-hati agar tidak menimbulkan kekeliruan.

Sikap ini berbeza dengan Nik Abdul Aziz yang jika mahu disenaraikan kenyataan-kenyataan yang dibuat, banyak yang menimbulkan kekeliruan dan keresahan bukan sahaja dalam kalangan penyokong Pas tetapi juga umat Islam secara keseluruhannya serta dilihat sering membuat kenyataan berdasarkan kepada kepentingan politik Pas semata-mata.


Dalam isu kenyataan Nasharudin Mat Isa yang mahu parti itu mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang contohnya, Nik Abdul Aziz memberi isyarat seolah-olah bekas Timbalan Presiden Pas itu perlu dikenakan tindakan apabila berkata mana-mana pemimpin yang tidak mengikut peraturan boleh mengucapkan selamat tinggal.'

''Serupa sahaja, Karpal Singh (Pengerusi DAP), Nasha ke, Allahyarham Datuk Asri Muda (bekas Presiden Pas), yang turut peraturan kita terima, yang tak turut peraturan bye-bye," kata Nik Abdul Aziz pada 28 Ogos lalu.

Bagaimanapun sehari selepas itu, Haron membuat kenyataan mempertahankan Nasharudin dengan menegaskan kenyataan Ahli Parlimen Bachok itu bukan satu kesalahan. Kata Haron, '' Saya melihat ia satu kewajaran kerana akhir-akhir ini Pengerusi DAP, Karpal Singh kembali mengeluarkan kenyataan yang amat keras dalam menolak hudud."

Jelaslah Haron dilihat lebih rasional dan benar-benar berfungsi sebagai mursyid dan tidak terikut-ikut dengan rentak politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pun DAP, apatah lagi golongan Anwarinas di dalam Pas.

Sikap ini berbeza dengan Nik Abdul Aziz yang dilihat oleh banyak pihak lebih mementingkan kerjasama dengan kedua-dua parti itu dan sering membuat kenyataan yang dilihat senada dengan puak Anwarinas.

Sebagai ahli politik Nik Abdul Aziz berhak untuk mempertahankan perkara yang ada kepentingan dengan politik Pas, terutamanya berkaitan dengan kerjasama dengan PKR dan DAP, tetapi janganlah sampai tindakan dilihat boleh mencalar imej Pas dan mengelirukan umat Islam.


Contohnya, apabila Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur sikap Nik Abdul Aziz yang dilihat melampau apabila meletakkan syarat untuk bermuzakarah dengan UMNO, Nik Abdul Aziz membalas kenyataan Harussani dengan menganggap mufti tersebut 'gatal mulut'. Malahan Nik Abdul Aziz pernah menyifatkan kenyataan salah satu kenyataan Harussani sebagai 'satu pandangan lapuk seorang mufti'.

Selain itu, Nik Abdul Aziz juga dilihat acap kali memperlekeh perjuangan memartabatkan Islam yang dilakukan oleh UMNO sehingga beliau pernah menuduh Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga.

Terbaru, pandangan yang dianggap mengelirukan oleh Nik Abdul Aziz itu ialah apabila beliau mempertahankan kerjasama dengan DAP, biar pun parti berkenaan secara tegas dan terbuka sudah menyatakan pendirian menolak perjuangan negara Islam dan hukum hudud oleh Pas.

Dalam soal ini pun, Nik Abdul Aziz masih mahu berlembut kerana kata beliau, kerjasama itu penting demi kemenangan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Malahan sikap politik Nik Abdul Aziz semakin terserlah apabila menegaskan, kerjasama itu tetap diteruskan biar pun mendapat tentangan akar umbi. Ramai berpendapat Nik Abdul Aziz membuat kenyataan itu kerana percaya bahawa tiada siapa pun di dalam Pas yang berani menyanggah beliau.

Keadaan itu berlaku seperti mana kata Hasan, '' Nik Aziz mempunyai kedudukan istimewa di dalam Pas. Bagi kebanyakan ahli dan penyokong Pas, mereka menganggap Nik Abdul Aziz segala-galanya. Beliaulah Mursyidul Am. Beliaulah "Presiden". Beliaulah Menteri Besar dan beliaulah Tok Guru dari sudut agama."

Tetapi persoalannya, sampai bilakah pemimpin dan penyokong Pas hendak mempertahankan Nik Abdul Aziz yang diminta oleh Hasan untuk bermuhasabah bagi melihat sama ada kehadiran beliau dalam hierarki kepimpinan Pas benar-benar menguntungkan atau merugikan parti itu.

Dalam soal ini, penulis mengakui kehebatan dan pengaruh Nik Abdul Aziz dalam memastikan Pas terus menjadi daya tarikan dalam kalangan umat Islam. Malahan Nik Abdul Aziz jauh lebih berwibawa dalam soal politik berbanding Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang yang dilihat kini sudah kehilangan taring.

Namun dalam masa yang sama, jika Pas benar-benar mahu dilihat tegas dalam perjuangan Islamnya, maka mereka juga harus mempunyai keberanian untuk menilai semula kedudukan Nik Abdul Aziz. Sekarang ini pun sudah ada dalam kalangan pemimpin Pas yang resah dengan kenyataan demi kenyataan serta pendirian yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz.


Dalam banyak keadaan, mereka melihat kenyataan Nik Abdul Aziz tidak menguntungkan politik Pas kerana mereka bimbang berdasarkan pengaruh Mursyidul Am itu, apa kata beliau dianggap pendirian rasmi Pas.

Bagaimanapun, jika tiada pemimpin-pemimpin Pas yang bersetuju dengan Hasan, jelaslah mereka lebih sayangkan Nik Abdul Aziz berbanding perjuangan Pas kerana mereka pun tahu kesan akibat tindak-tanduk Menteri Besar Kelantan tersebut.

Sepatutnya, mereka faham Haron juga seperti mana kata Hasan mempunyai kemampuan dan kewibawaan yang setara dengan Nik Abdul Aziz. Mungkin dari segi politik, Haron ada kekurangan tetapi dari segi ilmu dan kemampuan untuk menjadi mursyid, Haron mempunyai kelebihan untuk memastikan Pas berupaya kembali sebagai sebuah parti yang dihormati oleh kawan dan lawan, bukannya dilihat sekadar 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Apa pun terserahlah kepada Pas untuk menentukan kedudukan Nik Abdul Aziz sama ada hendak menggantikan beliau dengan Haron atau tidak. Bagi Nik Abdul Aziz sendiri beliau pun sudah pernah menyatakan, 'masih tajam untuk berfikir dan membuat penilaian atau keputusan."

Kalau itulah pengakuan beliau, maka sudah tentulah beliau juga boleh memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan ''Demi untuk menjaga keutuhan dalam Pas dan menjadikan Pas terus berdarjat dan bermartabat sebagai penjaga kepada perjuangan Islam.''

Atau Nik Aziz masih berpegang kepada pandangan beliau melihat tidak ada sesiapa dalam Pas yang layak menggantikan beliau sebagai Mursyidul Am.

Pandangan itu didakwa terkandung dalam ucapannya selepas pilihan raya umum lalu di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan di hadapan wakil rakyat dan pimpinan Pas negeri tersebut tidak lama dulu.

Kalau Nik Abdul Aziz mendakwa beliau tidak pernah berkata demikian maka beliau perlu menyerahkan jawatan Mursyidul Am kepada Haron kerana jelaslah Haron juga layak berada di kedudukan itu.

Oleh : Zulkifle Bakar

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: