Ahad, Oktober 14, 2012

Hasan Ali Desak Nik Aziz Lepas Jawatan Mursyidul Am?



Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mendesak Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya melepaskan jawatannya sebagai Mursyidul Am Pas susulan kenyataannya mempertahankan kerjasama Pas dengan DAP.

Beliau yang dipecat oleh parti itu awal tahun ini berkata, Nik Aziz sewajarnya menyerahkan tanggungjawab itu kepada timbalannya, Datuk Dr Haron Din yang dilihat lebih berupaya dan berwibawa.

“Mungkin sudah sampai masanya sebelum nasi menjadi bubur, TGNA (Nik Aziz) memikirkan untuk menyerahkan tanggungjawab besar sebagai Mursyidul Am kepada timbalannya, yang saya yakin mempunyai kemampuan dan kewibawaan yang setara dengan beliau,” katanya dalam satu tulisan pada laman sosial beliau semalam.

Hasan berkata, "saya berpendapat demi untuk menjaga keutuhan dalam Pas dan menjadikan Pas terus berdarjat dan bermartabat sebagai 'custodian' kepada perjuangan Islam, TGNA (Nik Aziz) perlu menoleh ke belakang untuk bermuhasabah."

Oleh itu katanya, sudah sampai masanya bagi Nik Aziz untuk merenung sejauh-jauhnya tentang kehadiran beliau dalam hierarki kepimpinan Pas sama ada benar-benar menguntungkan atau merugikan bukan sahaja Pas sebagai sebuah parti Islam tetapi yang lebih penting perjuangan Pas itu sendiri termasuklah imej, kehebatan dan keagungan Islam itu sendiri.

Kelmarin, Mursyidul Am Pas mengeluarkan kenyataan menyatakan DAP tidak pernah mengganggu Pas, malah beliau menegaskan kerjasama antara dua parti itu perlu untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.


Rabu lalu, Hasan jga menyokong kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang antara lain berkata, Pas tidak seharusnya mengutamakan kuasa semata-mata dan meletakkan perjuangan Islam di tempat kedua.

Malah dalam kenyataan tempoh hari beliau menyifatkan kenyataan Nasharudin menunjukkan Majlis Syura yang diketuai oleh Nik Aziz sudah mula kembali berwibawa.

Hasan Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia menyifatkan kenyataan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, kelmarin sebagai "agak keterlaluan" susulan secara terang-terangan menyatakan DAP sebagai tidak pernah mengganggu Pas malah menggangkat martabat parti itu sebagai rakan kongsi yang akan menjamin kemenangan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Kenyataan tersebut tidak layak lagi akan menghiris hati dan perasaan ahli dan penyokong Pas yang sudah tidak menahan perasaan sabar akibat daripada bertambah berani dan ghairahnya pimpinan DAP menghina Islam.

“Saya bimbang kenyataan-kenyataan 'supreme' ini akan menjadikan pimpinan DAP dan sebahagian daripada pimpinan Pas daripada golongan parasit terus mendapat pembelaan dan menjadikan mereka lebih ganas menghentam Islam dan perjuangan Pas disebabkan “peluru” yang disediakan oleh TGNA,” kata Hasan.

Hasan juga berkata, Nik Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana ramai pimpinan Pas sebelum ini menyanggah pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berterusan menghina serta menentang perjuangan Pas untuk melaksanakan hudud.

Malah katanya, Nik Aziz juga pernah menyebutkan akan meneruskan hudud di Kelantan meski pun didatangi DAP.

“Tuan Guru Nik Aziz perlu menoleh ke belakang untuk bermuhasabah. Sudah sampai masanya bagi Nik Aziz untuk merenung sejauh-jauhnya tentang kehadiran beliau dalam hierarki kepimpinan Pas sama ada benar-benar menguntungkan atau merugikan,” katanya lagi.


BERIKUT KENYATAAN PENUH DR HASAN ALI:

Saya tertarik dan terpanggil untuk memberi sedikit ulasan kepada kenyataan daripada Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) yang juga merupakan Mursyidul Am Pas.

Seperti yang diketahui TGNA mempunyai kedudukan istimewa di dalam Pas. Bagi kebanyakan ahli dan penyokong Pas, mereka menganggap TGNA segala-galanya. Beliaulah Mursyidul Am. Beliaulah "Presiden". Beliaulah Menteri Besar dan beliaulah Tok Guru dari sudut agama.

Kedudukan yang sedemikian bagi saya adalah pemberian ALLAH kepada beliau. Setiap satu kedudukan termasuk dirinya sebagai hamba ALLAH mempunyai tanggungjawab yang begitu besar bukan sahaja di kalangan ahli dan penyokong Pas tetapi yang lebih penting disisi ALLAH SWT.

Saya sendiri dan mungkin orang lain juga merasa begitu kerdil untuk membuat ulasan terhadap sebarang kenyataan yang dibuat oleh TGNA atas kedudukan beliau yang begitu supreme dikotak pemikiran ahli dan penyokong Pas.

Ketiadaan ahli dan penyokong yang berupaya untuk menyanggah pendapat beliau yang setengah-setengahnya begitu ganjil bukan sahaja dari segi perkataan malah dari segi implikasi kenyataan yang dikeluarkan yang mungkin atas supremenya beliau, beliau dan orang-orang dalam lingkungan beliau tidak menyedarinya. Saya tidak perlu mengulangi kenyataan yang mana, waktu bila yang termasuk dalam kategori ini.

Untuk menyatakan DAP tidak pernah mengganggu Pas dan DAP juga merupakan rakan kongsi yang akan menjamin kemenangan Pas dalam PRU13, bagi saya agak keterlaluan.

Bagi saya juga kenyataan sedemikian tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang yang mempunyai 'stature' seperti yang disebutkan diatas. Lupakah TGNA dan orang-orang disekeliling beliau bahawa TGNA pernah beberapa kali menyanggah pendirian Karpal Singh dan Lim Kit Siang yang berterusan menghina dan menentang perjuangan Pas untuk melaksanakan hudud?

Kita tidak lupa, beliau juga pernah menyebutkan akan meneruskan hudud di Kelantan dalam keadaan apa pun yang di datangkan oleh DAP? Kita juga masih ingat betapa tegasnya beliau mengatasi mana-mana pimpinan Pas yang lain menyatakan perasaan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang adakalanya tidak layak oleh seseorang yang dianggap begitu 'supreme'.

Bagi saya kedua-dua kenyataan terakhir TGNA mempunyai dua implikasi besar.

Pertama, kenyataan tersebut tidak layak lagi akan menghiris hati dan perasaan ahli dan penyokong Pas yang sudah tidak menahan perasaan sabar akibat daripada bertambah berani dan ghairahnya pimpinan DAP menghina Islam.

Kedua, saya bimbang kenyataan-kenyataan supreme ini akan menjadikan pimpinan DAP dan sebahagian daripada pimpinan Pas daripada golongan parasit terus mendapat pembelaan dan menjadikan mereka lebih ganas menghentam Islam dan perjuangan Pas disebabkan “peluru” yang disediakan oleh TGNA.

Saya berpendapat demi untuk menjaga keutuhan dalam Pas dan menjadikan Pas terus berdarjat dan bermartabat sebagai “custodian” kepada perjuangan Islam, TGNA perlu menoleh ke belakang untuk bermuhasabah.

Sudah sampai masanya bagi TGNA untuk merenung sejauh-jauhnya tentang kehadiran beliau dalam hierarki kepimpinan Pas sama da benar-benar menguntungkan atau merugikan bukan sahaja Pas sebagai sebuah parti Islam tetapi yang lebih penting perjuangan Pas itu sendiri termasuklah imej, kehebatan dan keagungan Islam itu sendiri.

Mungkin sudah sampai masanya sebelum nasi menjadi bubur, TGNA memikirkan untuk menyerahkan tanggungjawab besar sebagai Mursyidul Am kepada timbalannya yang saya yakin mempunyai kemampuan dan kewibawaan yang setara dengan beliau.

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

Satu Kapai ..... berkata...

Umo saja panjang tapi amalan semakin sia-sia ,muko tempek kulit babi ,suruh Tun M undur diri tapi dia tak mahu undur... Apasal malu pada penyokong atau rakyat msia ke atau nk tunggu di jemput ... Baru tiada perasaab malu pada seluruh umat islam mukabumi

tokgaru berkata...

Niat Pas masuk politik adalah untuk berjuang menegakkan islam di bumi malaysia. Islam pulak adalah satu2nya agama yang diterima oleh Allah. Sepatutnya kepada Allah Nik Aziz meminta pertolongan untuk memberikan kemenangan kepada Pas dan bukannya meletakkan harapan kepada DAP untuk memberi pertolongan menang pilihanraya.

Pelik sangat bunyinya bila seorang ulamak besar dalam Pas buat kenyataan " memerlukan bantuan DAP " untuk menang. Saya tak pelik kalau DAP tu parti yang 95% ahlinya adalah orang islam seperti mana dalam Umno.

Apa nak buat kalau Nik Aziz lebih yakin bahawa ahli2 DAP mesti akan tolong Pas hennak tegakkan islam di bumi malaysia. Kita tunggu dan lihat sajalah.

Cuma kepada Tok Najib dan para ulamak dalam Umno, kita minta jangan lah mengharapkan pertolongan selain daripada Allah. Yakin lah selama ini Umno duk menang pilihanraya pun adalah kerana pertolongan Allah disertai dengan kebajikan yang Umno buat kepada rakyat.

Nik Aziz nak minta bantuan DAP kah atau nak minta bantuan dari syaitan sekali pun itu adalah hak dia. Biar lah dia dengan keyakinan dia. Keyakinan kita adalah pada Allah yang berkuasa menentukan siapa menang dan siapa kalah selepas kita berusaha dengan bersungguh2 dan ikhlas.

Semuga orang melayu dalam Umno dan dalam Pas dapat membezakan di antara Umno dngan Pas siapa yang lebih yakin kepada pertolongan daripada Allah swt. Ameeeen.