Rabu, Oktober 17, 2012

Nampaknya hala tuju Pas sudah semakin bercelaru?



Beberapa pemimpin Pas secara tiba-tiba memberikan reaksi yang cukup keras terhadap kenyataan bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa yang menyentuh tentang agenda DAP dan membidas pemimpin-pemimpin Islam yang sanggup mengetepikan kepentingan agama demi kuasa.

Apa yang menghairankan ketika menyampaikan hujahnya dalam Seminar Dakwah Nasional baru-baru ini, Ahli Parlimen Bachok itu langsung tidak menujukan kenyataan beliau kepada pemimpin UMNO atau Pas.

Sebaliknya apa yang beliau bentangkan adalah tasawwur umum tentang konsep dakwah dan siasah serta beberapa kemelut yang sedang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia dalam hal yang berkaitan dengan politik.

Namun kenyataan Nasharudin tidak dilihat sebagai satu pandangan daripada seorang pendakwah yang bertanggungjawab untuk mempertahankan agama Islam dengan apa cara sekali pun, sebaliknya sesetengah pemimpin Pas melihat dari sudut politik semata-mata.

Mereka bimbang kenyataan Nasharudin akan menyebabkan DAP terasa dan ini sekali gus boleh menjejaskan impian politik Pas untuk memburu kuasa bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebab itulah kita saksikan tidak ramai pemimpin-pemimpin Pas menyokong kenyataan Timbalan Mursyidul Am parti, Datuk Harun Din yang memberi pandangan berhubung tindakan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim melancarkan buku yang ditulis oleh bekas Ahli Parlimen India berfahaman liberal, Mobashar Jawed Akbar.

Mobashar secara terbuka meremehkan peranan Islam dalam pembentukan sesebuah negara sedangkan inilah perjuangan Pas, namun pemimpin-pemimpin Pas masih dilihat sanggup bertolak ansur kerana bimbang menyinggung perasaan Anwar kalau mereka mengkritik Mobashar.

Begitu juga dalam isu kenyataan Nasharudin, biar pun beliau tidak menyebut mana-mana parti tetapi ada pemimpin Pas yang mengulas panjang lebar untuk mempertegaskan Pas tidak pernah tergelincir daripada landasan perjuangannya.

Menuduh

Sebaliknya pemimpin itu menyifatkan orang yang menuduh Pas tergelincir sekarang sedang menjerit-jerit untuk mendapatkan pertolongan daripada UMNO.

Dalam hujahnya, pemimpin berkenaan turut menyentuh tiga fasal dalam Perlembagaan termasuk fasal 3 yang menyatakan dasar Pas ialah Islam.

Hujah pemimpin berkenaan, Islam yang diperjuangkan oleh Pas ialah Islam yang lengkap, merangkumi semua perkara sama ada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata lain yang merangkumi urusan hidup dan mati.


Beliau juga menyentuh fasal 5 (1) berkaitan tujuan Pas untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Malahan beliau juga merujuk kepada fasal 7 yang menyatakan sumber rujukan tertinggi yang menjadi hukum dan kekuasaan Pas ialah al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

Pemimpin berkenaan cuba mempertegaskan bahawa Pas tidak menggadaikan prinsipnya dalam memburu kuasa dan menganggap tuduhan Pas mengutamakan kuasa sehingga mengenepikan Islam suatu tuduhan yang tidak betul.

''Memang betul dalam Perlembagaan Pas mencatatkan itu semua, tetapi dari segi realitinya apakah parti tersebut benar-benar mematuhi semua yang termaktub dalam perlembagaannya.

''Kita bukan bercakap soal Perlembagaan tetapi realiti dari segi pelaksanaan dan perjalanan parti, itu yang sepatutnya difahami pemimpin berkenaan,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi penulis.

Persoalannya bagaimana pula dengan kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menegaskan, Pas akan terus bekerjasama dengan DAP untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang biar pun dibantah oleh ahli-ahli di peringkat umbi. Tidakkah ini membuktikan memburu kuasa menjadi matlamat utama Pas?

Kalau benar Pas memerlukan kuasa untuk menghayati Islam yang syumul seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, Nik Abdul Aziz tidak akan mempertahankan kerjasama dengan DAP kerana semua orang tahu bagaimana gangguan DAP terhadap perjuangan Islam Pas.

Oleh itu tidak perlulah mana-mana pemimpin Pas hendak berdolak-dalih untuk 'menghalalkan' kerjasama berkenaan dan sekali gus berusaha menutup keghairahan parti itu memburu kuasa sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangan sendiri.

Jika Pas memegang teguh prinsip perjuangan Islamnya, kenapakah Pas masih rela bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak hukum hudud dan berpayung di bawah pemimpin-pemimpin PKR yang ada antara mereka menyokong fahaman liberalisme.

Mengaburi

Tidak usahlah hendak mengaburi ahli di peringkat akar umbi dan penyokong parti itu dengan menyatakan segala keputusan yang Pas hendak laksanakan seperti tahaluf siyasi diputus dan dikaji oleh Majlis Syura yang mampu menekuni segala permasalahan hukum berdasarkan sumber al-Quran, hadis, ijmak dan qias serta segala keputusan yang dibuat berdasarkan kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Kalau itu hujahnya, kenapakah masih mahu bekerjasama dengan DAP? Apakah kalau betul pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya nanti, Pas akan diberi kuasa sebebas-bebasnya untuk melaksanakan pemerintahan Islam?


Penulis akui dalam Pas, kelompok yang benar-benar ikhlas untuk meneruskan perjuangan Islam dalam Pas hanyalah golongan ulama, tetapi semua orang tahu sejauh mana kekuatan golongan berkenaan untuk bersuara.

Memang benar tahaluf siyasi yang dilakukan oleh Pas dengan PKR dan DAP diputuskan oleh Majlis Syura Ulama tetapi sekarang sudah jelas kerjasama berkenaan lebih banyak merugikan parti itu.

Jika mereka ikhlas hendak memastikan Pas terus memperjuangkan Islam, mereka sepatutnya menggesa majlis itu mengkaji semula hubungan dengan DAP dan PKR supaya cara berpolitik Pas adalah berlandaskan kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Kalau itu mereka tidak mahu lakukan jelaslah, Pas sememangnya sedang ghairah memburu kuasa bersama-sama DAP dan PKR sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya hatta prinsip perjuangan sendiri.

Tidak salah untuk Pas berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi biarlah hubungan itu mendatangkan keuntungan bukan sahaja kepada parti itu tetapi juga umat Islam secara keseluruhannya.

Pemimpin-pemimpin Pas sudah pasti memahami sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari sahabat Abu Musa. Baginda bersabda:

"Permisalan teman yang baik dan teman yang jelek seperti (berteman) dengan pembawa minyak wangi dan tukang pandai besi. Dan adapun (berteman) dengan pembawa minyak wangi kemungkinan dia akan memberimu, kemungkinan engkau membelinya, atau kemungkinan engkau mencium bau yang harum. Dan (berteman) dengan tukang pandai besi kemungkinan dia akan membakar pakaianmu atau engkau mendapatkan bau yang tidak enak."

Dan dalam soal ini, semua orang tahu siapa kawan karib Pas dan apa sudah terjadi dengan parti itu.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: