Rabu, September 12, 2012

Projek kompleks pengurusan mayat dibantah?


Penduduk di sekitar Jalan Sungai Chua, Kajang mengadakan perhimpunan untuk membantah hasrat Kerajaan Negeri Selangor membina kompleks pengurusan mayat di kawasan tanah perkuburan Hokkien Kajang yang berhampiran dengan kawasan perumahan semalam.

Kira-kira 120 penduduk pelbagai kaum mengadakan perhimpunan hari ini bagi membantah kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu membina kompleks pengurusan mayat di Jalan Wan Siew, Sungai Chua.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Semarak, Jackie Cheng berkata, penduduk mendesak agar kompleks itu dibina di kawasan lain.

Malah, katanya, penduduk mencadangkan agar status tanah berkenaan ditukarkan kepada komersial memandangkan kawasan tersebut sangat hampir dengan kawasan perumahan dan pusat komersial.

Kawasan itu ketika ini merupakan Tanah Perkuburan Hokkien.

Menurut Jackie, pihaknya telah mengumpulkan kira-kira 2,000 tandatangan penduduk dan peniaga di sekitar Sungai Chua dan Seksyen 7 Bandar Baru Bangi yang membantah pembinaan kompleks itu.

"Penduduk bantah kerana jika pembinaan kompleks ini diteruskan, nilai hartanah di kawasan ini akan turun. Jaraknya juga terlalu hampir dengan Taman Semarak iaitu sekitar 100 meter sahaja.

"Ia juga akan menyebabkan kesesakan trafik," katanya kepada pemberita di hadapan tapak pembinaan tersebut.

Katanya lagi, pihaknya akan berjumpa Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching pada Jumaat untuk membincangkan isu tersebut dan memohon Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan kerajaan negeri turut berdialog dengan penduduk.

"Kami juga akan hantar memorandum bantahan pembinaan kompleks ini kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Majlis Perbandaran Kajang, Nie Ching; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dan ADUN Kajang, Lee Kim Sin dalam masa terdekat," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: