Rabu, September 26, 2012

PAS tulang belakang atau hanya 'makan tulang'?



Walaupun pembahagian kerusi antara anggota-anggota pakatan pembangkang masih belum diputuskan secara rasmi namun Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan baru-baru ini bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding DAP dan PAS.

Kenyataan yang dibuat oleh Mustafa pada sidang akhbar di ibu pejabat PAS itu mengesahkan pandangan beberapa pihak sebelum ini yang menegaskan bahawa PAS tidak akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding PKR.

Lebih daripada itu ia juga sekali gus menafikan hasrat PAS untuk menjadi dominan dalam pakatan pembangkang memandangkan kerusi yang bakal mereka tandingi jauh lebih rendah berbanding PKR.

Namun apa yang melucukan dalam kenyataannya, Mustafa berkata, PAS tetap akan menjadi tulang belakang kepada PR (Pakatan Rakyat). Persoalannya, bagaimanakah PAS hendak menjadi tulang belakang kepada pakatan pembangkang kalau kerusi yang ditandingi pun kurang daripada PKR.

Dan apakah PAS begitu yakin jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh mereka dalam pilihan raya umum nanti lebih banyak daripada PKR.


Penulis bersetuju kalau kenyataan tulang belakang ini merujuk kepada pengundi dan penyokong PAS kerana tanpa sokongan mereka, PKR tidak akan ke mana. Malahan pengundi dan penyokong PAS lah yang berduyun-duyun menghadiri ceramah PKR, tanpa mereka sudah pasti ceramah berkenaan tidak seramai mana.

Selain itu ahli dan penyokong PAS juga mempunyai gerakan jentera pilihan raya yang jauh lebih hebat berbanding PKR.

Tetapi malangnya, PAS tidak mempertimbangkan kelebihan yang ada kepada mereka, sebaliknya lebih rela PKR menjadi dominan biar pun parti tersebut bergelumang dengan pelbagai masalah.

Tahniahlah kepada penyokong PAS kerana dalam pilihan raya umum nanti mereka akan bertungkus lumus bukannya untuk memastikan PAS menjadi tonggak pemerintahan jika pembangkang memerintah sebaliknya akan menjulang pemimpin parti lain sebagai ketua.

Pada sidang akhbar itu, Mustafa turut memberitahu, PAS juga dijangka mendapat tujuh kerusi Parlimen baru di Sarawak. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa PAS akan bertanding di kawasan yang rakan dalam pakatan tidak berani berbuat demikian.


Memanglah PKR dan DAP lebih bijak daripada PAS kerana mereka tidak mahu membazirkan tenaga dan masa dengan bertanding di kawasan yang boleh disifatkan masa hari penamaan calon pun sudah kalah.

Namun PAS mungkin hendak menunjukkan keberanian tidak bertempat apabila rela berbuat demikian.

Bagaimanapun pengumuman Mustafa mengenai penguasaan kerusi PKR dalam pilihan raya nanti sudah jelas membuktikan bahawa segala isu mengenai hukum hudud dan negara Islam yang kini begitu rancak diperkatakan oleh pemimpin PAS dan DAP hanyalah sandiwara politik PAS.

Kalau PAS tidak dominan dalam pakatan pembangkang, kalau PAS tidak memenangi kerusi lebih banyak daripada PKR dan DAP, apakah mungkin mereka mampu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam itu?

Pendirian DAP dalam perkara berkenaan sudah jelas manakala pendirian PKR pula semua orang boleh menjangkakan pihak mana yang akan disokong oleh parti tersebut.

Bukankah Angkatan Muda Keadilan (AMK) sudah menyanggah PAS dalam isu hukum hudud ini? Itu belum lagi mengambil kira bagaimana pemimpin PKR mahu semu anggota pakatan pembangkang berpegang kepada Buku Jingga yang di dalamnya langsung tidak menyebut soal hukum hudud dan negara Islam.


Apatah lagi sudah ada cakap-cakap bahawa PKR akan membuka laluan kepada DAP untuk bertanding di kerusi miliknya yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Semua ini menunjukkan bahawa PAS hakikatnya hanya alat dalam pakatan pembangkang untuk meraih undi rakyat dan jenteranya akan 'diperkudakan' untuk memastikan kemenangan calon PKR dan DAP.

Jika PAS tidak boleh menjadi tulang belakang maka tidak payahlah parti itu bercakap soal memperjuangkan Islam lagi kerana semua itu hanyalah retorik. Begitulah juga penceramah-penceramah bebas yang menyokong PAS janganlah begitu mendabik dada dalam ceramah-ceramah mereka mengatakan PAS parti Islam manakala UMNO adalah parti sekular dan sesat.

Kenyataan ini dibuat oleh seorang penceramah popular ketika mengulas penyertaan ulama muda dalam UMNO dan beliau menyifatkan ulama-ulama berkenaan bergelumang dengan najis apabila sertai UMNO.

Apa yang kita mahu tanya kepada penceramah berkenaan sejauh manakah beliau yakin bahawa PAS adalah parti Islam? PAS akan bertanding kerusi kurang daripada PKR dan DAP, dengan keadaan itu bolehkah ia memperjuangkan Islam?

Kalau beliau menganggap UMNO parti sekular, bagaimana pula dengan PAS yang berkawan dengan parti sekular? Perjuangan PAS sekarang adalah negara berkebajikan dan bukannya negara Islam, inilah faktanya.

PAS akan bertanding kerusi kurang daripada PKR dan akan menang kerusi lebih rendah daripada DAP, oleh itu tidak perlulah PAS hendak memperjuangkan apa-apa agenda parti itu. Sebaliknya mereka perlu menjadi 'pak turut' yang setia dengan mematuhi apa sahaja kehendak dan perancangan politik PKR dan DAP.

Tidak payah lagi berbangga dengan sejarah perjuangan Islam yang dipelopori oleh ulama-ulama ketika PAS ditubuhkan pada tahun 1951 kerana semua itu sudah ditinggalkan dan hanya sekadar catatan sejarah.

Ia memandangkan matlamat PAS sekarang hanyalah mahu merebut kuasa politik bersama PKR dan DAP. Daripada sebuah parti yang cukup digeruni suatu ketika dulu, PAS kini dilihat hanyalah sebuah parti yang tidak mempunyai apa-apa kekuatan.


Sebab itulah PAS bersedia membenarkan PKR terus dominan dalam pakatan pembangkang dan tidak berani menyanggah tindak tanduk DAP.

Kini berdasarkan kenyataan Mustafa penyokong-penyokong PAS mempunyai dua pilihan dalam pilihan raya umum nanti, pertama, mereka menyokong pakatan pembangkang atau memberi isyarat kepada kepimpinan PAS untuk 'kembali ke pangkal jalan'.

Ia kerana kalau mereka terus mahu menyokong pakatan tersebut yang akan untung bukan PAS tetapi PKR yang pemimpin-pemimpinnya sudah banyak menyusahkan pakatan dengan pelbagai isu dan DAP yang terang-terang menentang hukum hudud dan perjuangan negara Islam PAS.

Dalam keadaan ini penyokong PAS akan menjadi seperti lebai malang, menang sorak kampung tergadai.

Tetapi kalau mereka membuat pilihan kedua iaitu menghantar isyarat kepada kepimpinan PAS dengan tidak menyokong pakatan pembangkang, ia akan berupaya mengembalikan PAS sebagai sebuah parti Islam sebenar dengan ulama kembali menjadi tonggak penentu perjalanan politik PAS.

Apa pun sama-samalah kita tunggu pengumuman rasmi jumlah kerusi yang ditandingi oleh PKR,DAP dan PAS, namun isyarat awal sudah diterima PAS tidak akan jadi tulang belakang sebaliknya mungkin berada di posisi 'orang lain makan isi, dia makan tulang'. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: