Jumaat, September 28, 2012

Alhamdulillah...Keluhan golongan 'Middle Income' didengari juga oleh PM?



Alhamdulillah, walaupun tak seberapa namun keluhan golongan 'middle income' didengari juga oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 petang tadi.

Kira-kira 170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan berikutan penurunan kadar satu mata peratusan bagi golongan tersebut mulai tahun depan.

DS Najib Tun Razak berkata penurunan kadar cukai itu akan menguntungkan kumpulan dengan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 hingga RM50,000.

Beliau berkata langkah itu akan turut memberi manfaat kepada pembayar cukai sedia ada untuk menikmati penjimatan bayaran cukai mereka.

"Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan RM5,000 akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga RM425 seorang," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan telah menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan dua rebat cukai yang menjadikan hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

Pada masa ini, kadar cukai pendapatan individu pemastautin adalah progresif iaitu antara kosong peratus hingga 12 peratus ke atas pendapatan bercukai RM2,500 hingga RM50,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang mulai tahun taksiran 2013.

Katanya langkah itu diambil kerana kerajaan prihatin dengan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa, selain merupakan satu pelaburan untuk meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara di masa depan.

Untuk artikel sebelum ini, sila klik di sini.

Terima kasih PM. Janji ditepati.

Suara Politik
Taminsari



Tiada ulasan: