Khamis, September 13, 2012

Penghuni pangsapuri rasa tertekan?


Gambar : Penduduk terpaksa menaiki tangga ke rumah mereka di tingkat lima berikutan semua lif rosak sejak enam bulan lalu.

Kira-kira tujuh tahun lalu ramai penghuni setinggan sekitar Puchong teruja mendiami Pangsapuri Aman yang dibina pemaju bagi golongan itu memiliki kediaman sendiri.

Selain fasiliti lengkap, suasana pangsapuri di Taman Puchong Prima itu juga terletak di lokasi strategik.

Namun, kehidupan kira-kira 4,000 penduduk yang sebelum ini aman bertukar menjadi sebaliknya sejak enam bulan lalu apabila Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang dilantik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dakwa penduduk, mereka bukan sahaja berhadapan dengan masalah kerosakan lif, tetapi juga bekalan air dipotong dan lambakan sampah tidak dikutip.

Lebih memberi tekanan, apabila pemaju, pihak berkuasa tempatan dan JMB hanya saling menuding jari tanpa sebarang jalan penyelesaian.

Seorang penduduk, R. Mogama, 50, berkata, dua unit lif rosak di Blok A pangsapuri lapan tingkat itu tidak pernah ada tanda-tanda untuk dibaiki sehingga ke hari ini.

Katanya, keadaan itu telah menyukarkan penghuni untuk turun dan naik ke rumah masing-masing terutama, golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

"Apa yang mengecewakan, bukan sahaja kami terpaksa membayar RM50 untuk yuran penyenggaraan bulanan, bayaran tambahan sebanyak RM40 kononnya untuk membaiki lif yang rosak juga turut dikutip.

"Namun apa yang berlaku sehingga kini tiada sebarang kerja-kerja pembaikian dilaksanakan," katanya ketika ditemui semasa lawatan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, T. Mohan di sini, baru-baru ini.

Penduduk R. Tanggarajoo, 52, pula berkata, turut mengecewakan jadual kutipan sampah di pangsapuri itu juga tidak sempurna selain bekalan air dan elektrik sering kali terganggu.

"Bukan hanya lif tidak boleh guna, paip bomba juga sudah rosak. Sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran bagaimana kami mahu memadam api sebelum kedatangan bomba," katanya.

Menurut Tanggarajoo, pengurusan pangsapuri tersebut baru mengambil alih tanggungjawab itu pada Januari lalu setelah dilantik oleh MPSJ namun perkhidmatan yang ditawarkan tidak memuaskan hati mereka.

Sementara itu, Mohan berkata, pihaknya kecewa kerana kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo tidak memandang serius masalah itu biarpun penduduk sudah membuat aduan kepada mereka sejak empat bulan lalu.

"Saya amat terkejut melihat keadaan pangsapuri ini dan saya diberitahu terdapat beberapa kematian berlaku di sini kerana mereka tidak sempat untuk dibawa ke hospital ekoran kerosakan lif.

"Ini kelemahan kerajaan negeri, apa gunanya menyimpan berbilion-bilion ringgit jika rakyat menderita dengan kemudahan asas yang sepatutnya dijaga oleh mereka dan saya mencadangkan agar MPSJ segera mengambil alih pengurusan pangsapuri ini," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikan masalah itu sebelum ia dibawa ke peringkat atasan sekiranya tiada tindakan susulan.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: