Isnin, September 03, 2012

Lagi kisah biadap Menteri Besar Khalid Ibrahim?



Apa sudah jadi dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim apabila tidak memaklumkan kepada Sultan Selangor berhubung sambutan malam kemerdekaan anjuran kerajaan negeri itu.

Sudahlah begitu, beliau mengundang pula Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menjadi tetamu utama dan menyampaikan ucapan. Kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang dan pemimpin parti, belum cukup untuk melayakkan beliau diberi penghormatan luar biasa. Seolah-olah kedudukan Anwar lebih besar daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkara seperti itu tidak pernah berlaku. Apa makna menjadi Menteri Besar jika tidak tahu protokol dan tidak mengutamakan sultan pada majlis seperti itu. Tetapi kita percaya apa yang berlaku sudah dirancang.

Difahamkan, ada pihak yang telah mengingatkan kerajaan negeri tentang hal tersebut termasuk Anwar tidak layak dijemput tetapi tidak dihiraukan. Kita tidak terkejut kerana PKR sememangnya makin terdesak untuk mempolitikkan apa sahaja. Sehingga semalam, Khalid berdolak-dalik.

Dari awal lagi penjelasan beliau tidak menyakinkan. Pada mulanya Khalid mempertahankan tindakan tidak memaklum kepada Sultan kerana mendakwa itu amalan biasa. Sedangkan pihak istana Selangor menegaskan, memaklumkan kepada Sultan adalah amalan biasa sebelum ini.

Setelah mendapat bantahan banyak pihak, nada Khalid berubah pula dengan menyalahkan pihak lain. Ada yang bertanya apakah Anwar yang mendesak Khalid agar beliau diberi ruang untuk hadir dan berucap, siapapun tidak pasti.

Apa pun, tahniah diucapkan kepada pasukan tentera dan polis yang segera menarik diri daripada majlis tersebut apabila mendapat tahu berlaku manipulasi. Ia adalah mesej yang sangat jelas untuk ditafsir oleh semua.

Kehadiran Anwar dikatakan menjadi puncanya. Jawatannya selaku Penasihat Ekonomi Negeri Selangor hanya lantikan politik sedangkan sambutan kemerdekaan yang diadakan saban tahun itu adalah majlis rasmi.

Dalam protokol majlis rasmi, nama Ketua Pembangkang itu tidak ada dalam senarai, Apatah lagi jika disediakan tempat khusus di atas pentas dan diberi penghormatan pula untuk berucap.

Dalam konteks majlis sambutan kemerdekaan itu, Anwar ialah orang luar. Beliau tidak layak berada di atas pentas. Kenapa protokol kerajaan negeri mengagung-agungkan orang luar tentulah menjadi tanda tanya, jika ia bukan untuk tujuan politik?

Jika ia majlis berkaitan ekonomi negeri Selangor, bolehlah difahami alasan kehadiran Anwar. Tetapi ini majlis rasmi kerajaan negeri. Siapakah sebenarnya yang mahu mempolitikkan hari kemerdekaan?

Khalid selaku Menteri Besar sepatutnya merasa malu. Sekali lagi beliau telah bertindak biadap. Jika hal ini tidak ditentang habis-habisan, kedudukan Institusi Raja Melayu dan Perlembagaan negara akan terhakis.

Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil. Pencerobohan itu semakin menjadi-jadi sejak pembangkang memerintah beberapa negeri. Ini termasuk sikap Khalid - pemimpin Melayu dan Islam - yang umpama pagar makan padi.

Fikir-fikirkan lah. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: