Selasa, September 18, 2012

Kedegilan kerajaan Selangor boleh timbulkan malapetaka bekalan air kata pakar?



Seorang pakar pengurusan air hari ini memberi amaran Selangor pasti menghadapi krisis air yang serius sekiranya kerajaan negeri terus berdegil untuk menyekat pembinaan loji rawatan air Langat 2.

Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, menyediakan bekalan air terawat merupakan tanggungjawab paling utama kerajaan negeri dan loji Langat 2 merupakan satu-satunya alternatif yang boleh menjamin negeri berkenaan mampu menyediakan bekalan air mencukupi memandangkan semua loji rawatan air sedia ada, kini beroperasi melebihi kemampuan pengeluaran masing-masing.

``Sekiranya pelan alternatif ini tidak dilaksanakan, penduduk dan industri di Selangor tidak akan lagi mendapat bekalan air yang dirawat kerana kita sudah mencapai paras pengeluaran maksimum.


``Kita sudah sampai ke peringkat yang memerlukan kita mempunyai penyelesaian dan alternatif baru. Bagi jangka masa sederhana, Langat 2 merupakan satu-satunya penyelesaian yang kita ada," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Zaharuddin Sani mengambil contoh “nasi lemak “ untuk menjelaskan keadaan yang dihadapi sekarang.

Kata beliau: “Sekiranya kita ada 500 bungkus nasi lemak dan orang yang ada juga 500 orang, maka jumlahnya memanglah mencukupi. Tapi, jika kita ada 500 bungkus dan orang yang ada pula 520 orang, maka jumlah nasi lemak yang kita ada ini tentulah tidak cukup."

Beliau juga tidak dapat menerima dasar air percuma yang dilaungkan kerajaan Selangor dan sebaliknya menggesa agar dasar itu dikaji semula kerana air merupakan aset penting bagi setiap negara dan tidak boleh lagi dianggap sesuatu yang murah, apatah lagi untuk diberi percuma. - Bernama

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: