Jumaat, November 29, 2013

United Kingdom sahkan wanita jadi hamba di London warganegara M'sia!


Pihak berkuasa United Kingdom hari ini mengesahkan status wanita yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London adalah warganegara Malaysia dengan nama berdaftar Aishah Wahab dan bertarikh lahir 27 Mei 1944.

Menurut Kementerian Luar memandangkan kes itu masih di peringkat siasatan, akses bagi mendapatkan maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-undang tempatan United Kingdom.

Pihak berkuasa tempatan masih belum memberikan akses terus kepada mangsa setakat ini.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) akan menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak terlibat dalam membantu urusan penyiasatan," kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini. Kementerian Luar melalui STM di London memantau rapi status wanita itu yang sebelum ini dijadikan hamba selama 30 tahun di Selatan London.

Kenyataan itu menyebut STM juga akan mengambil langkah susulan bagi menentukan status mangsa tersebut dari segi undang-undang.

"Sekiranya beliau secara tidak disedari telah kehilangan kewarganegaraan Malaysia serta tidak mempunyai sebarang kerakyatan dalam tempoh 30 tahun yang lalu di bawah keadaan daif, STM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi mengembalikan semula kerakyatan beliau.

"Bantuan konsular selanjutnya akan dihulurkan kepada mangsa dan ahli keluarga, sebagaimana sesuai dan perlu," kata Kementerian Luar. Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Okt lepas di London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain.

Aishah yang sebelum ini dikenali dengan nama Siti Aisyah, berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) di United Kingdom.

Namun, ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pengajiannya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan identiti wanita itu sebagai Siti Aishah Abdul Wahab dan merupakan individu yang dikehendaki pada 1970-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

AJAI62 berkata...

Assalam Bro

Kenapa nak dibantu pulak... 30 tahun kat sana... Kad pengenalan tak pernah tukar dan passport dia masih ada ke?... Ini kes macam Hisham Raislah ni... Lepas di tolong dia gigit tangan orang yang menolong... dasar komunis... Adakah dia masih RAKYAT MALAYSIA...? Dahlah tu jadi BURUAN Polis sejak 30 tahun dulu... Sendiri nak jadi hamba tembusan paria tu siapa suruh...