Selasa, November 26, 2013

Sudah lepas 'waktu amaran' 5 hari, namun tiada pun tindakan diambil oleh Dewan Pemuda Pas terhadap Karpal?


Dewan Pemuda Pas Pusat diminta supaya membuktikan bahawa mereka akan mengambil tindakan terhadap Karpal Singh selepas tempoh lima hari yang diberikan agar Pengerusi DAP itu menarik balik kenyataan supaya parti berasaskan agama termasuk Pas dibatalkan, berakhir semalam.

Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, sehingga hari ini Karpal tidak menarik balik kenyataan supaya pendaftaran Pas dibatalkan.

Beliau berkata, sekiranya Dewan Pemuda Pas gagal untuk mengambil tindakan, membuktikan sayap parti itu pengecut dan hanya berani 'berkokok'.

"Saya menunggu untuk melihat adakah ini hanya akan menjadi drama bersiri yang menghidangkan khayalan atau hanya dentuman berdepan pemilihan parti.

"Bukti jelas hari ini, Karpal tidak berganjak walau seinci dengan pendirian beliau dalam isu penghinaan terhadap rakan sekutunya itu. Saya mahu melihat siapa yang akan hilang wadah perjuangan sebenar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas mengenai tempoh lima hari yang diberikan oleh Dewan Pemuda Pas kepada Karpal supaya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu.

Sayap kanan Pas itu sebelum ini memberi tempoh lima hari kepada Karpal bermula 17 November lalu supaya berbuat demikian kerana mereka mempunyai bukti Karpal berbohong ketika menafikan kenyataannya yang mendesak supaya pendaftaran Pas dibatalkan.

Sekiranya Karpal gagal berbuat demikian, Dewan Pemuda Pas akan mengambil tindakan susulan termasuk kemungkinan memanjangkan perkara itu kepada Majlis Syura Ulama untuk tindakan selanjutnya.

Wan Khairul Ihsan yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan berkata, sejak beberapa tahun lalu, Pas hanya bercakap berdegar-degar apabila pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membangkitkan isu mengenai Islam, tetapi tidak ada sebarang tindakan yang diambil.

"Kita hendak tahu apa pendirian Pas yang sebenarnya, sebagai contoh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya menyelar Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) tetapi berakhir begitu sahaja kerana tidak ada sebarang tindakan diambil.

"Maka, selepas ini akan berulang lagi siri yang menghina Islam kerana tidak ada sebarang tindakan yang diambil. Begitu juga dengan Karpal, beliau tidak akan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang jelik disebabkan pemimpin Pas penakut," katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku sekarang jelas menunjukkan Pas sudah tidak ada hala tuju melainkan 'mabuk' untuk berkuasa.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: