Ahad, November 03, 2013

#PRKSgLimau : BN buat tak boleh, Pas buat tak apa?


Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau supaya menjadi ikan yang bijak dengan hanya mengambil umpan dan tidak memakan joran.

Maksudnya, terimalah apa sahaja yang diberikan oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau berlangsung tetapi jangan mengundi parti itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Mahfuz Omar pula, mempertikaikan projek- projek yang dijanjikan oleh BN di kawasan itu. Selain mempersoalkan jumlahnya yang dikatakan jauh berbeza berbanding DUN Kuala Besut, beliau juga meragui sama ada BN akan menunaikan janji tersebut atau tidak.

Sebenarnya, sesiapa juga yang berada di DUN Sungai Limau termasuk dalam kalangan penyokong Pas sendiri amat memahami bagaimana parti itu kini berada dalam keadaan bagaikan 'cacing kepanasan'.

Ia memandangkan momentum sokongan menunjukkan semakin ramai pengundi Sungai Limau sudah menunjukkan tanda-tanda akan beralih kepada BN. Pas memahami laluan mereka untuk mempertahankan kerusi itu semakin sukar.

Justeru mahu tidak mahu, mereka perlu berusaha mencetuskan isu bagi mewujudkan persepsi dalam kalangan pengundi supaya tidak menyokong BN. Ia termasuklah membangkitkan keraguan sama ada BN akan menunaikan janjinya atau tidak.

Dalam soal ini, kita tidak harus lupa bagaimana kerajaan Pas di Kelantan turut menabur pelbagai janji berbentuk projek pembangunan bagi mempertahankan pemerintahan mereka. Antaranya Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai RM.85.6 juta, Bandar Sukan dan Stadium Olimpik Bukit Merbau (RM320 juta), Perumahan Rakyat Kampung Baru Wakaf Mek Zainab (RM67.2 juta) dan Bandar Baru Dabong (RM40juta). Ini tidak termasuk ada 22 lagi janji yang tidak ditunaikan.

Oleh itu, kaji dan lihat apa status projek-projek tersebut, apakah ia sudah dilaksanakan atau sekarang sekadar menjadi 'batu peringatan' sahaja?


Tetapi tidak ada sesiapapun di dalam Pas yang mahu menegur kepimpinan Pas Kelantan dalam soal itu, namun apabila BN menawarkan projek pembangunan yang pasti dilaksanakan, pemimpin-pemimpin Pas melemparkan pelbagai tuduhan termasuklah 'gula-gula pilihan raya'. Soalnya, adakah hanya Pas layak membuat janji biar pun ia tidak ditunaikan? Tetapi BN bukan seperti Pas, apa yang BN janjikan pasti akan dilaksanakan.

Kalaulah istilah 'ikan cerdik' mahu digunakan, bagaimana dengan penyokong-penyokong tegar Pas yang terus menerima apa sahaja kata-kata pemimpin mereka termasuklah termakan dengan janji-janji pembangunan yang dibuat oleh Pas di Kelantan.

Apa pun, BN bukannya kali pertama menyertai pilihan raya tetapi sejak merdeka lagi justeru sudah pastilah memahami apa kesannya kalau janji tidak ditepati. Begitu juga di Kuala Besut, projek yang BN janjikan di kawasan itu sememangnya memerlukan kos yang besar seperti RM250 juta untuk pembangunan bandar baru pelancongan dan muara serta RM35 juga baik pulih empangan. Ia mengambil masa lama untuk dilaksanakan kerana melibatkan kajian pihak perunding. Tak kanlah, hari ini janji, esok projek akan siap!

Di Sungai Limau, projek-projek yang hendak dilaksanakan sudah tentulah mengikut keperluan penduduk, BN bukannya parti yang mahu melaksanakan projek yang sekadar menjadi 'gajah putih' sahaja.

Sebab itulah, biarlah pun setakat ini peruntukan baru sekitar RM15.15 juta ia adalah projek-projek yang secara langsung menyentuh kepentingan rakyat. BN berhati-hati menyalurkan bantuan dan bukannya belanja sesuka hati untuk meraih undi.

Kita percaya kalau, BN datang ke Sungai Limau dan tidak menjanjikan apa-apa projek pembangunan, Pas pasti akan menjadikan ia modal politik dengan menuduh BN menganaktirikan penduduk Sungai Limau.

Inilah perangai pembangkang, BN buatlah apa pun semuanya tak betul. Hanya mereka sahaja yang betul.

Seperkara lagi, janganlah Mahfuz memberikan hujah dangkal dengan mengatakan peruntukan kecil yang diberikan BN kepada Sungai Limau itu membuktikan kawasan tersebut menikmati kemajuan di bawah Pas. Kemajuan apa yang dicapai? Janganlah hanya bercakap kosong dan cuba memperbodohkan rakyat Sungai Limau dengan kenyataan seumpama itu. Semua orang tahu bagaimana DUN Sungai Limau memerlukan pembangunan.


Kalau benar Pas sudah membuat kemajuan di situ, kenapakah takut dengan projek-projek yang dijanjikan oleh BN yang bertujuan meningkatkan taraf hidup mereka? Malah kenapakah Pas bimbang apabila Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir berjanji akan menjadi DUN Sungai Limau sebagai kawasan angkat bagi membolehkan segala projek pembangunan di situ berjalan lancar.

Jelaslah, Pas mengamalkan sikap kalau BN buat tak boleh tetapi kalau Pas atau pembangkang buat semuanya betul, kalau Pas buat silap mereka akan berhujah, 'kita manusia biasa' tetapi kalau BN buat silap parti itu akan diserang habis-habisan, hujah 'kita manusia biasa' entah ke mana.

Begitu juga soal janji, kalau BN berjanji dan kemudian melaksanakannya tidak boleh tetapi kalau Pas berjanji tetapi tidak melaksanakannya tidak apa. Soalnya, apakah ini ajaran Islam sebenar? Apakah ini prinsip Islam sejati?

Sebenarnya, Pas semakin bimbang kerana isu pembangunan yang dibawa oleh BN mula membuka mata pengundi-pengundi Sungai Limau untuk menyokong parti yang kini menguasai pemerintahan negeri Kedah itu. Mereka semakin yakin dengan pemerintahan Kedah kini di bawah BN, sudah pasti projek pembangunan di kawasan Sungai Limau bukan sekadar janji tetapi satu janji yang akan ditepati.

Jelaskan, dalam usaha mempertahankan Pas di Sungai Limau, pemimpin-pemimpinnya semakin kehilangan punca dan modal untuk berkempen sebab itulah kejadian dua tiga tin susu tamat tempoh dijadikan bahan kempen berhari-hari oleh Pas.

Kita percaya banyak lagi isu yang remeh temeh akan dibangkitkan oleh Pas bagi memburuk-burukkan BN menjelang tempoh akhir berkempen.

Justeru kepada pengundi-pengundi Sungai Limau, berfikirlah dengan terbuka, cukup-cukuplah terpedaya dengan mainan politik Pas, janganlah sampai apabila pilihan raya kecil itu selesai Pas bersorak meraikan kemenangan tetapi akhirnya pengundi yang menangis 'tak berlagu'.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: