Rabu, November 27, 2013

Campur tangan melampau tahap gaban PKR Pusat punca keluar?

Datuk Jelani Hamdan (duduk, tengah) bersama bekas ketua-ketua Cabang PKR Sabah pada sidang media pengumuman keluar parti di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur hari ini.

Terlalu banyak campur tangan kepimpinan di peringkat pusat dalam urusan parti di Sabah merupakan antara faktor pemimpin dari 11 cabang PKR keluar parti.

Adun Matunggong Datuk Jelani Hamdan berkata soal autonomi yang dicanangkan pemimpin PKR di peringkat Pusat sebenarnya tidak langsung dipraktikkan, termasuk dalam urusan melantik ketua pembangkang negeri dan Majlis Pimpinan Negeri parti itu.

"Bukan soal pembangunan semata-mata. Tapi kita hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR khususnya di peringkat pusat dan negeri. Soal autonomi...beri kuasa kepada Sabah pilih pemimpin tapi authority datang dari seorang individu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman keluar parti pemimpin cabang PKR Sabah dan menyokong Barisan Nasional (BN) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Jelani dan Adun Kadamaian Jeremy Malajad, kedua-duanya, telah terlebih dahulu keluar parti pada 4 Nov, turut hadir pada sidang media itu.

Jelani yang mewakili pemimpin dari 11 cabang parti itu turut mendedahkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan individu yang terlibat campur tangan dalam urusan pentadbiran parti di Sabah.

Mengulas mengenai gelombang kedua pemimpin cabang PKR negeri yang akan keluar parti selepas ini, Jelani mendakwa jumlah keseluruhan yang terlibat tidak kurang 20 cabang.

Di Sabah terdapat 25 cabang (bahagian) PKR, katanya sambil menambah keputusan mereka meninggalkan parti telah dibuat sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lepas.

Beliau turut menafikan bekas pemimpin cabang PKR yang keluar parti itu telah 'dibeli' oleh BN memandangkan parti itu (BN) telah menguasai dua pertiga kerusi Dun.

Mengenai maklum balas Anwar berhubung tindakan keluar parti, Jelani berkata: "Dalam SMS, memang kecewa...memang normallah dia (Anwar) kata kami dapat tawaran lebih baik daripada pihak lain."

Dalam pada itu, Jelani turut menyatakan komitmen kesemua mereka untuk memberi sokongan 100 peratus kepada BN, tetapi masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai komponen parti itu atau membentuk satu kumpulan baharu.

Ditanya pindaan perlembagaan PKR pada konvensyen parti itu Ahad lepas yang akan melantik seorang wakil negeri Sabah dan Sarawak mengisi jawatan naib presiden, Jelani berkata: "Anda boleh pinda apa juga artikel, tapi dari segi pelaksanaan, sama ada ikut atau tidak. Mungkin hanya atas kertas sahaja.

"Ini terjadi dalam keputusan-keputusan yang dibuat di peringkat negeri."

Bekas ketua cabang Kota Marudu Anthony Mandiau pula berkata kegagalan pucuk pimpinan parti mendengar suara rakyat di Sabah adalah punca mereka hilang kepercayaan dan beralih menyokong BN.

Beliau mendakwa presiden dan timbalan presiden parti itu turut mencampuri urusan parti di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) mengumumkan Adun dan Ketua-ketua Cabang Pakatan Rakyat (PKR) Sabah keluar parti pada sidang media di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu, Pemimpin 11 cabang PKR Sabar keluar parti!

Pemimpin 11 cabang PKR Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti hari ini dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Mereka terdiri daripada ketua cabang, timbalan ketua cabang dan ketua penerangan cabang parti itu dari Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di sini berkata mereka mengambil keputusan itu kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan PKR dan memberi kepercayaan kepada kepimpinan BN di peringkat nasional dan negeri.

Beliau berkata gelombang kedua akan berlaku tidak lama lagi apabila banyak lagi pemimpin PKR Sabah akan keluar parti dan menyokong BN.

"Dengan apa yang sudah berlaku dan akan berlaku bererti bahawa parti PKR di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya parti BN semakin kuat, semakin utuh dan semakin mendapat kepercayaan rakyat Sabah," katannya.

Mereka yang hadir pada sidang media itu ialah Akhmain Sabtu (Ketua Cabang PKR Kudat), Anthony Mandiau (Ketua Cabang Kota Marudu), Juhani Abd Halim (Ketua Cabang Silam), Mohd Jun (Ketua Cabang Kalabakan), Mustapha Tambuyung (Ketua Cabang Kinabatangan), Lokman Ureh (Ketua Cabang Semporna), Timothy Lim (Ketua Cabang Sepanggar), Apandy Sipin (Ketua Cabang Pensiangan) dan Aris Remigius (Ketua Cabang Batu Sapi), Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu) dan Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud).

Hanya wakil Beluran tidak hadir. Turut serta ialah dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengisytiharkan keluar parti pada 4 Nov lepas iaitu Adun Matunggong Datuk Jelani Hamdan dan Adun Kedamaian Jeremy Malajad.


Najib berkata turut sama mengisytiharkan keluar parti pada hari ini ialah bekas anggota Parlimen Bandau Henry Madatang dan calon PKR Parlimen Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Jomi Kamadan.

Beliau telah dimaklumkan banyak lagi dalam kalangan penyokong pemimpin-pemimpin PKR itu akan turut serta keluar parti dan memberi sokongan kepada BN.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada mereka atas keyakinan untuk mengalih sokongan kepada BN dan ini menggambarkan usaha kita untuk melakukan perubahan dan transformasi kepada negara khususnya Sabah, mendapat kepercayaan dan keyakinan mereka.

"Mudah-mudahan dengan ini BN akan dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat Sabah," katanya.

Najib berkata tindakan mereka keluar parti tidak sekali-kali dipengaruhi BN.

"Tak mungkin, sebab mereka sudah hilang kepercayaan (kepada parti PKR), itu pokoknya," katanya.

Ditanya sama ada PKR akan terus lumpuh dengan perkembangan itu, beliau berkata PKR akan cuba mengumpulkan semula kepimpinan parti itu di Sabah tetapi kekuatan sebenar parti terletak kepada pemimpin yang keluar PKR hari ini dan mereka yang bakal keluar parti. - Bernama

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: