Isnin, November 04, 2013

Kemuncak penghinaan terhadap Pas papar wajah dua pemimpin?


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan tindakan ahli DAP mengedarkan poster yang memaparkan wajah dua pemimpin utama mereka ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, semalam sebagai kemuncak penghinaan DAP terhadap Pas.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, poster itu yang turut mengandungi lambang DAP di dalam logo Pas jelas menunjukkan DAP adalah parti dominan dalam pakatan pembangkang.

"Saya ingin bertanya apakah ahli dan penyokong Pas boleh menerima penghinaan seumpama itu ke atas lambang parti tersebut. Jika mereka boleh terima, ia bermakna DAP telah berjaya menjatuhkan pegangan politik Islam Pas," katanya ketika ditemui di Sungai Limau, dekat sini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sekumpulan ahli DAP membantu calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat berkempen di Sungai Limau dengan mengedarkan poster yang memaparkan gambar Penasihat DAP, Lim Guan Eng dan anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Turut dipaparkan dalam poster itu ialah lambang DAP yang berada dalam logo Pas.

Ibrahim berkata, apa yang dilakukan oleh ahli-ahli DAP itu boleh dianggap satu penghinaan melampau dan ia jelas menunjukkan Pas sudah hilang 'kemuliaan' sebagai sebuah parti Islam.

"Sikap gelojoh dan rakus DAP ini harus disedari oleh umat Islam dan orang Melayu khususnya penyokong Pas," katanya.

Beliau mengulas tindakan DAP yang turun padang berkempen dari rumah ke rumah pengundi Cina dalam PRK DUN Sungai Limau semalam sambil membawa poster yang memaparkan gambar Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng serta logo DAP dalam lambang Pas.

Aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, jika mereka ikhlas membantu Pas, poster tersebut sepatutnya memaparkan gambar calon yang bertanding iaitu Mohd. Azam Abd. Samat, bukannya gambar pemimpin mereka.

"Saya rasa mereka (DAP) ini tidak faham siapa sebenarnya yang bertanding dalam PRK itu. Kalau betul ada kesepakatan (dalam pakatan pembangkang), DAP sepatutnya menjulang calon Pas," katanya ketika dihubungi.

Mohd. Riza berkata, pengundi Cina tidak sepatutnya termakan dengan helah DAP tersebut yang cuba menangguk di air keruh.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: