Tingkap kaca bertaburan selepas berlaku letupan di luar ibu pejabat Parti Komunis di bandar Taiyuan, China semalam.- AFP
BEIJING - Seorang mangsa terbunuh manakala lapan lagi cedera semalam dalam satu siri letupan bom yang berlaku di luar ibu pejabat wilayah Parti Komunis di bandar Taiyuan, dekat utara China, kata para pegawai.
Bagaimanapun, para pegawai pemerintah tidak menyatakan sasaran serangan atau pelaku suspek yang melakukan serangan bom tersebut.
Media-media tempatan menyatakan letupan itu berlaku disebabkan beberapa bom buatan sendiri.
Siri letupan itu berlaku ketika kawalan keselamatan diketatkan ekoran satu kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta yang merempuh orang ramai di Pintu Dataran Tiananmen, Beijing.
Kejadian itu menyebabkan tiga orang penumpang kereta tersebut dan dua pejalan kaki terbunuh.
Polis mengepung kawasan letupan bom di ibu pejabat Parti Komunis di Taiyuan, Shanxi di utara China, semalam.
Beberapa pegawai keselamatan mendakwa, kejadian di dataran tersebut merupakan satu tindakan pengganas yang dilakukan oleh beberapa militan Islam dari barat China.
Bagaimanapun, letupan yang berlaku semalam itu kelihatan seperti dilakukan oleh beberapa warga China yang marah dengan pemerintah komunis di negara ini.
Sebelum ini, beberapa orang yang dipercayai marah kepada ketidakadilan yang berlaku di China telah meletupkan beberapa buah bas, menikam beberapa pegawai dan menyerang beberapa buah sekolah.
Pemerintah wilayah Shanxi dan polis berkata, letupan itu berlaku pada pukul 7.40 pagi waktu tempatan. - Agensi
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan