Sabtu, November 02, 2013

Minta maaf bukan satu kerugian?


Ketua Publisiti DAP, Tony Pua tidak rugi jika meminta maaf berhubung kenyataannya menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai 'anjing UMNO'.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, sekiranya pemimpin pembangkang itu mendahulukan aspek keharmonian negara, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sebaliknya bersikap lebih matang dalam berpolitik.

Menurut beliau, Tony juga tidak sepatutnya membabitkan pihak lain berhubung kecuaian yang berpunca daripada masalah dalaman DAP sendiri dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

''Tony perlu menyedari hal ini dan beliau perlu meminta maaf kepada pihak terlibat kerana sikap keanak-anakan beliau yang tidak meneliti kenyataan yang dikeluarkan,'' katanya di sini hari ini.

Pemimpin DAP itu sebelum ini menggelar ROS sebagai 'anjing UMNO' berhubung isu pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selepas parti itu diarah menjalankan pemilihan semula berikutan pelbagai pihak mempertikaikan kewibawaan proses yang pertama pada 15 Disember lalu.

Mengulas isu sama, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, Tony perlu mengakui kesalahan beliau dan mengambil pendekatan secara lebih profesional untuk menyelesaikan masalah tersebut.

''Semua sedia maklum tentang perangainya yang suka mencabar sensitiviti kaum dan agama dalam kenyataannya.

''Walaupun beliau ahli pembangkang, seharusnya Tony bersikap lebih berhati-hati dan bersopan santun dalam menangani hal ini tanpa mengguris hati pihak lain,'' katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: