Ahad, November 03, 2013

Sahut seruan 'Berani Berhijrah'!


Apabila Barisan Nasional (BN) Kedah di bawah kepimpinan Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyebarkan salam 'Berani Berhijrah' untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, ia diperlekehkan oleh Pas.

Mereka membuat pelbagai andaian dan tohmahan, termasuklah menuduh kononnya tindakan pengundi Sungai Limau menyahut seruan BN itu akan menyebabkan mereka bersekongkol dengan segala kemungkaran yang dilakukan oleh parti tersebut.

Sedangkan, apa yang BN lakukan ialah dengan niat suci dan ikhlas mengajak pengundi-pengundi Sungai Limau bersama-sama melakukan perubahan di kawasan tersebut demi masa depan mereka.

Pemimpin-pemimpin BN bukanlah buta agama sehingga sanggup hendak memperalatkan slogan 'hijrah' sesuka hati. Sebaliknya mereka ingin mengajak pengundi-pengundi Sungai Limau khususnya umat Islam untuk memilih kehidupan yang lebih baik dengan menyokong BN.

BN hadir ke Sungai Limau bukanlah untuk membawa sebarang kerosakan atau kemusnahan apatah lagi menabur janji-janji kosong bagi meraih undi, tetapi untuk merangkul penduduk-penduduk Sungai Limau bersama-sama menikmati kemajuan dalam pembangunan.

Tetapi malangnya, Pas mahu terus bertahan di Sungai Limau bukan kerana mahu mengubah nasib penduduk kawasan itu sebaliknya ingin mengekalkan legasi politik yang dipegang sejak 1995 apabila Allahyarham Tan Sri Azizan pertama kali terpilih sebagai wakil rakyat.

Berikutan itu, Pas cuba mempengaruhi pengundi-pengundi untuk terus 'kekal' (slogan Pas) berada dalam kepompong kejumudan politik mereka. Biarlah Sungai Limau tidak maju, biarlah penduduk tidak menikmati pembangunan, biarlah mereka terus hidup dalam kedaifan, apa yang penting kerusi DUN Sungai Limau milik Pas.

Sehubungan itu, mereka cuba memburuk-burukkan apa juga tawaran yang dikemukakan oleh BN kepada pengundi-pengundi Sungai Limau, projek pembangunan dianggap cubaan membeli sokongan, keperibadian Mukhriz diserang habis-habisan dan hasrat kerajaan negeri Kedah memajukan kawasan itu diperlekehkan.


Bagaimanapun dalam keghairahan Pas menghalang BN untuk menawan Sungai Limau, mereka tidak pula memberi apa-apa tawaran yang dilihat mampu mengubah corak kehidupan masyarakat Sungai Limau khususnya dalam bidang pembangunan. Malah hendak sumbang sekeping zink pun tidak mampu.

Apa yang Pas tahu ialah menjaja siang dan malam dalam kempen-kempen mereka menyeru pengundi-pengundi Sungai Limau memilih parti itu sebagai tanda protes kepada kerajaan BN yang kononnya menindas rakyat.

Malangnya sekali, Pas dilihat mahu menjadikan pengundi-pengundi Sungai Limau sebagai 'alat politik' mereka, ia memandangkan seruan supaya melakukan undi protes tidak akan menguntungkan penduduk Sungai Limau apatah lagi jika akibat daripada tindakan Pas dan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutar belitkan fakta berhubung sesuatu isu.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin-pemimpin Pas yang ada antara mereka pernah memainkan peranan mengganggu kepimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar cuba menggunakan sentimen Allahyarham bagi membangkitkan kebencian pengikut-pengikut arwah yang terdiri daripada pelbagai parti kepada BN. Mereka tahu Allahyarham mempunyai pengaruh cukup besar dalam politik di Sungai Limau.

Namun begitu usaha mereka gagal kerana pelbagai isu yang cuba mereka lakukan 'mati di tengah jalan'. Sebaliknya, mereka terperangkap dengan pendekatan politik berhemah dan damai yang dipelopori oleh Allahyarham dan kini diteruskan oleh Mukhriz.

Dalam keadaan terdesak dan melihat peluang untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau menempuh laluan sukar, Pas cuba pula mempengaruhi pengundi dengan isu remeh temeh termasuklah mempersoalkan kenapakah gambar Mukhriz lebih banyak daripada calon, memperlekehkan gambar Menteri Besar Kedah itu berkopiah dan berjubah serta gambar Mukhriz serta calon BN, Dr.Ahmad Sohaimi Lazim berdoa.

Terpengaruh

Tidak cukup dengan itu Dewan Muslimat Pas pula mempersoalkan kenapa ada jentera kempen Pergerakan Wanita UMNO berjubah dan bertudung labuh. Bagi Pas, hanya pemimpin dan ahli mereka sahaja yang layak berkopiah, berjubah, bertudung labuh dan berdoa, pemimpin UMNO dan BN tidak boleh.

Apa pun, pengundi-pengundi Sungai Limau diharapkan tidak akan terpengaruh dengan dakyah politik murahan Pas itu. Mereka perlu memikirkan semasak-masaknya tawaran perkhidmatan yang dibuat oleh BN dan Mukhriz.

Sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz sudah menyatakan komitmennya untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat kepada Sungai Limau jika Dr. Ahmad Sohaimi menang.


Langkah Mukhriz itu dengan jelas membuktikan bahawa beliau benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada penduduk-penduduk Sungai Limau. Tambahan pula, sebagai seorang yang baharu menjadi Menteri Besar dan menerajui kerajaan negeri, Mukhriz sudah pasti wajar diberi peluang untuk melaksanakan janji-janjinya.

Sebab itulah, pengundi-pengundi Sungai Limau tidak harus terpengaruh dengan dakyah pemimpin-pemimpin Pas yang ada antara mereka terlalu banyak sikap hipokritnya termasuklah dalam soal hubungan mereka dengan Allahyarham Azizan.

Apa yang perlu difahami, jika BN diberi peluang menguasai DUN Sungai Limau ia bukanlah bermakna akan kekal sampai ke kiamat. Sebaliknya, dalam tempoh sepenggal sahaja jika BN gagal menunaikan janji-janji yang dibuat dalam pilihan raya kecil ini, pengundi Sungai Limau boleh menolak parti itu dalam pilihan raya-pilihan raya akan datang.

Tetapi apa yang penting, mereka perlu memberi peluang kepada BN yang mengemukakan seorang calon muka baru berbakti di bawah sebuah kepimpinan negeri yang diterajui oleh pemimpin muda seperti Mukhriz.

Janganlah menolak mentah-mentah niat ikhlas Mukhriz dan BN, hanya kerana terpedaya dengan politik Pas yang cuba menggambarkan seolah-olah mereka yang terbaik di muka bumi Allah ini dan segala yang telah, sedang dan akan dilakukan BN buruk-buruk belaka.

Pilihan raya kecil adalah berkaitan soal untuk mensejahterakan hidup rakyat di sesuatu kawasan, ia tiada kaitan dengan mempertahankan legasi politik sesiapa atau mana-mana parti.

Memang benar apa pun keputusan dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Limau ia tidak akan mengubah geografi politik negeri itu, BN tetap memerintah Kedah tetapi bukan soal itu yang menjadi percaturan BN tetapi penyertaan BN adalah untuk memastikan DUN Sungai Limau akan menikmati arus pembangunan yang selari dengan kawasan-kawasan lain yang ADUN dan kerajaan negeri daripada parti yang sama.

Jika Pas berhujah bahawa sebagai kerajaan negeri, BN perlu adil kepada semua kawasan bagaimana pula di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Apakah kawasan yang diwakili oleh ADUN BN mendapat layanan yang adil? Janganlah mengamalkan sikap apa sahaja yang dilakukan oleh pembangkang betul dan apa sahaja tindakan BN salah.

Oleh itu kepada 27,222 pengundi Sungai Limau khususnya pengundi atas pagar yang dikatakan bakal menjadi penentu dalam pilihan raya kecil kali ini, fikirlah dengan semasak-masaknya.

Mereka perlu menimbang siapakah benar-benar ikhlas membela nasib mereka apakah pemimpin-pemimpin Pas Kedah yang hanya bijak memperlekehkan usaha BN atau Mukhriz yang secara tulus ikhlas menawarkan diri untuk bersama Dr. Ahmad Sohaimi berkhidmat kepada penduduk Sungai Limau.

Ingatlah, semua jentera parti yang bertanding akan pulang ke kawasan masing-masing esok, yang akan tinggal di situ ialah penduduk Sungai Limau, susah atau senang, bahagia atau derita, maju atau tidak, membangun atau ketinggalan mereka yang akan menempuhinya.

Oleh itu sahutlah seruan BN 'Berani Berhijrah' supaya mereka tidak 'Kekal' dalam kedudukan sekarang. Sesungguhnya berhijrah ke arah kebaikan pasti diberkati Allah SWT.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: