Rabu, November 06, 2013

Sandiwara hudud Pas berkumandang lagi?


Nampaknya tiap kali ada pilihan raya, sama ada pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK), pasti Pas akan mula memukul gendang hudud dan PRK Sungai Limau baru-baru ini tidak terkecuali.

Malah mereka semakin galak bila Sultan Brunei mengumumkan negara itu akan melaksanakan hudud; tanpa sedikit pun memahami perbezaan besar di antara Malaysia dengan Brunei Darussalam.

Pertama, Brunei Darussalam adalah negara milik tuanku sultan sebagai pemerintah mutlak. Tiada siapa boleh mempertikai kuasa tuanku sultan Brunei. Dan kita bersyukur walaupun diberi kekayaan hasil minyak yang melimpah ruah, dan menjadi antara orang terkaya didunia, Tuanku Sultan Brunei tetap meletakkan undang-undang Allah sebagai keutamaan. Alhamdulillah dan sekarang tuanku telah bersedia melaksanakan hudud.

Kedua, Brunei Darussalam tidak ada parti cauvinis rasis, ekstremis atau pelampau perkauman dan agama. Dan Brunei tidak ada Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Brunei tidak ada Anwar Ibrahim. Brunei tidak ada Suaram, Bar Council, atau pelopor penganjur seks bebas LGBT. Brunei tidak jual kalimah Allah. Brunei tidak bersekongkol dengan mana-mana kafir harbi!

Suasana di Brunei berbeza dengan Malaysia. Malaysia sebuah negara yang tidak dimiliki atau dikuasai oleh individu. Malaysia milik seluruh rakyat dan warganegaranya, dengan tuanku sultan dan Raja-raja negeri sebagai payung mahkota bagi rakyat jelata.

Kalau Pas benar-benar ikhlas mahu mengikut seperti Brunei, penulis cadangkan kepada Pas supaya membawa usul ke Parlimen supaya hak milik dan kekuasaan pemerintahan negara diserah kembali kepada Raja-raja Melayu secara mutlak, sebagaimana Tuanku Sultan Brunei.

Dan setelah hak milik negara dan kuasa pemerintahan mutlak diserahkan kepada Raja-raja Melayu, barulah kita usulkan kepada tuanku supaya mengikut jejak langkah Tuanku Sultan Brunei.


Jika tidak, janganlah bandingkan Malaysia dengan Brunei. Itu perbandingan yang cukup kurang cerdik namanya. Dan bagi Datuk Seri Hadi Awang untuk sekali lagi bermain kompang hudud, dan menolak sistem Malaysia kononnya ini negara yang berpaksikan Perlembagaan sekular, penulis mahu tanya Hadi Awang:

1. Beranikah Hadi Awang membawa usul hudud ke Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Pembangkang DAP-PKR-Pas supaya hudud diterima dan dilaksanakan sebagai undang-undang negara jika pembangkang menang PRU dan berkuasa?

2. Bukankah Hadi Awang sendiri pada 8 Sept 2008 menandatangani Suratcara Persefahaman Pakatan Pembangkang yang menegaskan pendirian 'menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan termasuk dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan?'.

3. Bukankah Hadi Awang sendiri pada 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA Shah Alam dalam Konvensyen Pakatan Pembangkang DAP-PKR-Pas menandatangani Memorandum Persefahaman yang menegaskan akan 'mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan?'.

4. Bukankah Hadi Awang sendiri menyatakan dalam Amanat Perdana Pemangku Presiden bertajuk 'Pilihan raya ke 11: Formula Kemenangan" pada 18 Januari 2003 bahawa 'justeru kerana isu negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syariat menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif (BA) dahulu, maka Pas perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat federal. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini di peringkat federal. Seandai menang dalam pilihan raya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat Federal atau Pusat, yang mendokong Perlembagaan Persekutuan sedia ada?'.

5. Bukankah Hadi Awang yang menyatakan semasa Muktamar Agung Pas 2011 bahawa 'Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang disebut ialah Negara Berkebajikan?'.

6. Bukankah Hadi Awang pada 08 Jan 2013 bersama-sama dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang menyatakan Kristian boleh mengguna pakai kalimah Allah dan walaupun Majlis Syura Pas telah pada 13 Jan 2013 menegaskan kristian tidak boleh mengguna pakai kalimah Allah atas soal akidah, Hadi Awang tidak pernah menarik balik persetujuan pembangkang 8 Januari 2013 tersebut?

7. Adakah Hadi Awang lupa kenyataan beliau mengenai pelaksanaan hudud semasa mengambil alih menjadi Menteri Besar Terengganu?

Sebenarnya penulis boleh aturkan beberapa lagi kenyataan dan pendirian Hadi Awang dan Pas mengenai hudud dan negara Islam yang jelas berbolak-balik dan tidak konsisten. Depan orang Melayu lain cerita, depan Karpal Singh dan DAP lain cerita.


Pokok pangkalnya, janganlah jadikan hudud sebagai modal meraih undi bila tiba musim pilihan raya sahaja. Ittaqullah. Takutlah kepada Allah!

Dan janganlah bermegah dengan calon Pas bagi PRK Sungai Limau lulusan agama, lulusan Al-Azhar. Kita orang Melayu memang sejak dahulu diajar menghormati para ulama dan ilmuwan, termasuk para ustaz dan ustazah yang benar-benar hidup melaksanakan ajaran Islam.

Tetapi tidak semua ustaz dan ustazah, tidak semua lulusan Al-Azhar yang benar-benar melaksanakan dan mengamalkan perjuangan dan cara kehidupan menurut al-Quran dan Sunah. Malah ada yang pernah sampai murtad keluar daripada Islam, nauzubillah.

Jangan lupa pernah ada dua orang ustaz dan ustazah lulusan Al-Azhar Mesir telah mengisytiharkan diri murtad dan keluar daripada agama Islam. Pernah ada ustaz dicekup berkhalwat. Pernah ada ustaz yang menyondol isteri orang.

Menjadi ustaz dan ustazah, menjadi graduan dan lulusan Al-Azhar semata-mata bukan tiket dan kelayakan untuk menjadi pemimpin dan wakil rakyat.

Kalau kebolehan dan kelayakan calon sekadar menjadi ustaz, elok bertanding jawatan imam atau bilal, bukan untuk menjadi wakil rakyat. Dan calon yang akan menjadi wakil rakyat memerlukan bantuan dan kerjasama sebuah kerajaan untuk melaksanakan tugas dan tanggung jawab dia. Dan kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa sejak dulu, kini dan selamanya, BN adalah sebuah kerajaan yang bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah Kerajaan, malah akan menepati semua janji-janji yang diberikan.

Yang penting bagi seorang pemimpin termasuk wakil rakyat ialah amanah dan quwwah, selain beriman dan benar-benar memperjuangkan Islam yang sebenarnya seperti yang diperintahkan Allah didalam al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.Rasulullah SAW bersabda, "Akan datang sesudahku penguasa-penguasa yang memerintahmu. Di atas mimbar mereka memberi petunjuk dan ajaran dengan bijaksana, tetapi bila turun mimbar mereka melakukan tipu daya dan pencurian. Hati mereka lebih busuk dari bangkai." Hadits Riwayat Ath-Thabrani -UMO

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Unknown berkata...

Kat Brunai ada pilihanraya ke tak...?