Sabtu, Disember 07, 2013

Nalla, Zulkifli hentam Rafizi 'The Dirt'?


Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan menyelar Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang didakwa mengeluarkan kenyataan 'memburuk-burukkan' ahli PKR yang bertindak keluar daripada parti itu.

Malah beliau yang juga bekas rakan karib Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen Pandan itu juga tidak wajar 'menyindir' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'menyuci kekotoran' PKR.

"Dia (Rafizi) perlu tahu, sudah ramai yang keluar daripada PKR. Dia juga perlu sedar dengan siapa dia bersama ketika ini (pemimpin PKR).

"Saya kenal siapa yang memimpin parti itu, saya tahu karakternya. Dia tidak ada hak nak kata apa-apa tentang Perdana Menteri kerana beliau (Najib) adalah pemimpin yang terbaik untuk rakyat dan negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi seperti dipetik melalui portal Malaysia Today yang antara lain menyebut: "Thank you for sucking away our dirt" yang didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri susulan tindakan beberapa ahli PKR khususnya di Sabah yang mengumumkan keluar daripada parti itu, baru-baru ini.


Semasa mengumumkan perkara itu, Najib menegaskan bahawa mereka membuat keputusan itu kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan PKR, dan seterusnya memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional mahupun negeri.

Pemimpin-pemimpin PKR negeri yang bertindak keluar parti ialah Akhmain Sabtu (Kudat); Anthony Mandiau (Kota Marudu); Juhani Abd. Halim (Silam); Mohd. Jun (Kalabakan); Mustapha Tambuyung (Kinabatangan) dan Lokman Ureh (Semporna).

Selain mereka ialah Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu); Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud); Timothy Lim (Sepanggar); Apandy Sipin (Pensiangan) dan Aris Remigius (Batu Sapi).

Dua lagi yang turut mengisytiharkan keluar parti ialah bekas Ahli Parlimen Bandau, Henry Madatang dan calon PKR Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Jomi Kamadan.


Nallakaruppan berkata, beliau juga mempunyai alasan tertentu menjauhi pemimpin PKR, khususnya Anwar yang dikenalinya selama puluhan tahun.

"Apakah kesemua mereka yang keluar (PKR) itu 'dirt'? Jangan cakap begitu, dia (Rafizi) juga akan keluar juga nanti," tegasnya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, turut mengeluarkan kenyataan sindiran berbunyi: "Sebenarnya kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada pembangkang kerana mengutip sampah-sampah UMNO yang telah disingkirkan kerana masalah peribadi yang serius."

Dalam pada itu, wartawan gagal mendapatkan ulasan daripada Rafizi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung kenyataan beliau itu.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: