Sabtu, Disember 14, 2013

Anwar cuba 'mainkan' mahkamah lagi...!!! Pendengaran Rayuan Pendakwa Kes Liwat II Ditangguh 19 Disember?


Mahkamah Rayuan menetapkan 19 Disember ini bagi mendengar permohonan kali kedua Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang itu.

Pada tarikh itu juga, mahkamah akan menetapkan tarikh rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali menangguhkan rayuan yang dijadualkan selama dua hari hingga esok bagi membolehkan barisan peguam bela diketuai oleh peguam Tommy Thomas membalas afidavit jawapan yang difailkan oleh Muhammad Shafee hari ini.

Muhammad Shafee memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan kedua pihak pembelaan untuk menyingkirkan beliau daripada mengetuai pendakwaan dalam rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu daripada tuduhan liwat tersebut.

Notis usul terhadap permohonan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co., pada 6 Disember lalu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 21 November lalu yang memutuskan pelantikan Muhammad Shafee adalah sah di sisi undang-undang.

Permohonan terbaharu ini berpandukan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang dibuat pada 7 Oktober lalu.


Sementara itu, Muhammad Shafee dalam afidavit jawapannya menyatakan, permohonan baharu yang bersandarkan kepada akuan berkanun Mat Zain, hanya bertujuan untuk melengah-lengahkan rayuan pendakwa raya.

Muhammad Shafee berkata, permohonan kali kedua berturut-turut Anwar yang berasaskan kepada alasan yang remeh-temeh, merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan seharusnya ditolak kerana akan menjurus kepada penangguhan demi penangguhan.

Dalam afidavitnya, Muhammad Shafee turut menafikan dakwaan dalam akuan berkanun Mat Zain yang menyentuh penglibatan beliau dengan pelbagai pihak yang mengaitkan plot dan konspirasi untuk memecat Peguam Negara berhubung beberapa isu sensitif.

Sehubungan itu, beliau memohon agar permohonan Anwar ditolak kerana kehadirannya selaku pendakwa raya semata-mata bertujuan berhujah dalam rayuan itu berdasarkan kepada rekod rayuan dan sama sekali tidak akan menyebabkan prejudis ke atas Ketua Pembangkang itu.

Hakim Aziah yang turut bersidang bersama Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sepatutnya mendengar rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 9 Januari tahun lalu yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

Anwar, 66, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Terdahulu, seorang lagi peguam bela, Ramkarpal Singh memohon agar pendengaran rayuan tersebut ditangguhkan ke satu tarikh baharu ekoran peguam utama Anwar, Karpal Singh sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan jangkitan paru-paru.

Tambahnya, Karpal dimasukkan ke hospital sejak 7 Disember lalu dan dijangka menjalani rawatan sehingga hujung minggu ini.

Sementara itu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada pihak media selepas selesai prosiding berhubung rasa tidak puas hatinya ekoran ketidakhadiran Anwar yang difahamkan kini berada di Washington bagi menghadiri satu seminar. -UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: