Isnin, Disember 16, 2013

Janice semasa CES boleh mengundi tetapi dihalang ke Konvensyen Biasa DAP Selangor?

Janice Lee semasa pemilihan semula CEC Kongres Khas DAP September lepas

Agak pelik juga apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Janice Lee dilarang menyertai Konvensyen Biasa DAP Selangor Ke-17 disini hari ini sebagai pemerhati. Padahal jika kita masih ingat semasa pemilihan semula CEC kongres khas DAP penghujung bulan September yang lepas beliau dibenarkan mengundi?

Beliau yang tiba pada pukul 9 pagi telah ditahan di pintu masuk oleh petugas konvensyen itu.

Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, Janice ingin memasuki dewan sebagai pemerhati namun dihalang kerana beliau tidak lagi menjadi ahli DAP.

"Konvensyen ini tidak terbuka kepada umum. Beliau bukanlah ahli, delegasi mahupun pemerhati yang dijemput. Justeru, beliau tidak boleh menghadiri konvensyen ini.

"Pegawai yang mengendalikan dewan telah menjalankan tugas mereka dengan sewajarnya apabila tidak membenarkan Janice memasuki konvensyen kerana beliau bukan ahli parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor hari ini.

Gobind menjelaskan bahawa keahlian Janice telah diputuskan oleh jawatankuasa disiplin parti itu lebih awal dan mereka telah membuat keputusan bahawa terdapat asas untuk memecat beliau daripada parti.


Beliau berkata, isu itu telah dibawa kepada jawatankuasa kerja pusat (CEC) dalam bentuk rayuan dan pada 18 November lalu, Janice bukan lagi ahli parti itu.

"Janice juga telah memohon injunksi mahkamah untuk mengekalkan keahlian beliau dalam parti yang mendakwa bahawa pemecatannya adalah salah di sisi undang-undang.

"Peguamnya juga berusaha untuk mendapatkan mahkamah untuk membuat perintah interim yang pada dasarnya merasakan beliau masih ahli DAP, sehingga pendengaran injunksi dibuat.

"Walau bagaimanapun, permohonannya telah ditolak pada Rabu lalu. Jadi, setakat ini, dia tidak lagi menjadi ahli parti," katanya.

Dalam pada itu, Janice ketika dihubungi menyatakan bahawa beliau telah mengemukakan permohonan untuk menjadi permerhati sejak lima minggu yang lalu namun tidak menerima sebarang jawapan.

Sehubungan itu beliau berpendapat tidak menjadi satu masalah untuk masuk ke dewan konvensyen namun telah ditahan di pintu masuk.

"Saya tidak dibenarkan masuk oleh petugas dan ini adalah sesuatu yang mengarut kerana wartawan turut dibenarkan masuk walaupun acara ini diadakan secara tertutup," katanya.

Janice menjelaskan, beliau meninggalkan konvensyen itu setelah berjumpa dengan Setiausaha DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah.

"Dia (Ean Yong) juga enggan memberikan saya satu sebab mengapa nama saya tidak dimasukan dalam senarai kehadiran," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: