Rabu, Disember 04, 2013

Kebangsaan Melayu bersatu ertinya cukup besar, tetapi ke mana kita?

Para perwakilan dan barisan kepimpinan tertinggi UMNO menyanyikan lagu Negaraku sebelum sesi Taklimat Presiden dimulakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam.

Selamat bersidang UMNO. UMNO bermakna Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Oleh kerana terlalu kerap menggunakan singkatan, kadang kala kita lupa makna kepada semangat singkatan itu.

Maka renung betul-betul erti singkatan itu. Ia cukup bermakna, sebuah pertubuhan kebangsaan Melayu bersatu. Benar, orang Melayu harus bersatu demi agama, bangsa dan negara.

UMNO sudah berumur 67 tahun. Apa sahaja orang kata pasal UMNO, apa sahaja keputusan pilihan raya umum yang dihadapinya, UMNO terus utuh. Ia adalah satu-satunya parti terlama di dunia yang menjadi parti memerintah sebuah negara yang berjaya.

Ia adalah rekod. Rekod yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun termasuklah oleh orang-orang yang membencinya, atau orang yang paling membencinya seperti Nik Aziz Nik Mat.

Namun, UMNO harus sedar tiada yang kekal di muka bumi ini. Waima alam sejagat ini pun akan sampai hari kiamatnya suatu ketika kelak. Sebagai orang Islam kita percaya akan berlakunya fenomena itu.

Begitu juga dengan UMNO. Oleh itu selagi ada kuasa, maka gunakanlah sebaik-baik mungkin.

Sebagai parti kebangsaan Melayu bersatu, satukanlah orang Melayu. Orang Melayu akan bersatu jika orang Melayu senang dan mewah.

Hadis Rasulullah SAW ada berpesan kemiskinan menuju kekufuran. Manusia sanggup menjual apa sahaja, waima agamanya, apatah lagi kebangsaannya sendiri kerana kemiskinan.

Maka itu, perkasakanlah orang-orang Melayu, dari peringkat bawah sehingga ke atas. Berilah mereka peluang. Dalam 10 orang Melayu yang dibantu, mungkin empat akan berjaya. Maka gandakan usaha membantu mereka.

Rapatkan jurang ekonomi orang Melayu dengan kaum lain di negara ini. Gerakkan segera secara berterusan Jihad Ekonomi Melayu. Daripada 1,000 orang Melayu yang dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran ke seantero dunia, insya-Allah 600 akan menjadi kapten industri dan pentadbir hebat negara.

Tanamkan juga jati diri di hati mereka supaya yang akan menjadi kapten-kapten industri dan ketua-ketua GLC ini kelak adalah yang sedar diri kepada agama, bangsa dan negara.

Formula politik negara ini amat mudah. Jika Melayu bersatu padu dan solid, maka kaum lain akan menghormati kita. Jika kita berpecah maka, kita boleh diperkotak-katikkan.

Formula itu sudah terbukti betul sejak beberapa PRU lalu dan yang terakhir PRU-13. Pemimpin seperti Ghani Othman dan Ali Rustam diperlakukan macam “tiada maruah" oleh kaum lain yang telah cukup dibantu, terlalu kemarukkan kuasa.

PM Najib juga diperlakukan seolah-olah tiada langsung jasanya, setelah mereka begitu yakin “ini kalilah...!"

Itu semua berlaku kerana kita berpecah-belah. Mereka melihat kita berpecah belah dan peluang keemasan harus diambil segera.

Wahai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, satukanlah umat Islam kita semua. Di negara ini, Islam ialah Melayu dan Melayu ialah Islam.

Wujudkanlah satu lagi sayap dalam UMNO iaitu Sayap Ulama. Anak-anak kita yang mengaji agama di Asia Barat dan ramai di negara ini bukan semua berhaluankan Pas. Mereka juga sayangkan UMNO. Maka bukalah ruang kepada mereka berjuang dalam sayap baru ini. Tidak rugi pun jika UMNO membuka satu lagi sayap seperti Puteri dan Putera.

Fungsi sayap baru ini ialah ke arah aktiviti surau, masjid dan keagamaan yang kurang dikuasai oleh UMNO. Baguslah orang macam Ustaz Kazim, Ustaz Ashraf Wajdi serta Ustaz Fathul Bari sudah ada dalam UMNO. Biar mereka aktif dalam sayap baru itu supaya lebih fokus dan tersusun.

Wahai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, perjuangkanlah Melayu semahunya. Walaupun UMNO akan menjadi parti rakyat, itu bukan perkara baru.

UMNO ialah parti berteraskan rakyat sejak penubuhannya lagi. Jika tidak, tidaklah rakyat negara ini senang-lenang belaka dan kaum Cina pula menguasai dalam kedudukan senarai bilionair di negara ini. Itulah jasa-jasa UMNO yang selama ini menjadi peneraju kepada negara Malaysia bertuah ini.

Oleh itu, sudah sampai masanya untuk UMNO terus memajukan bangsanya sendiri. Biar mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Tapi persoalannya benarkah orang Melayu ini sudah terlalu lemah sehinggakan mahu mengedarkan nasi lemak ke stesen-stesen minyak pun sudah tak berupaya? Itu baru nasi lemak, bukan kontrak-kontrak besar lain? Apakah teruk sangat kita ini? Renung-renungkanlah. Selamat bersidang wahai pejuang sekalian...

Oleh : Zaini Hassan

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: