Ahad, Disember 22, 2013

Beri penjelasan berhemah kenaikan tol?


Isu kenaikan tol adalah salah satu daripada proses rasionalisasi subsidi yang telah dimulakan oleh kerajaan sejak September lepas. Beban kenaikan bahan dan perkhidmatan itu semestinya ditanggung oleh rakyat dan pengguna.

Mengapakah kerajaan perlu menaikkan kadar tol? Apakah yang akan terjadi sekiranya kerajaan tidak memenuhi perjanjian yang telah dibuat dan tidak menaikkan kadar tol lebuh raya?

Mengapakah kerajaan tidak menaikkan kadar tol ini sebelum pilihan raya lalu? Mengapakah ia perlu dinaikkan selepas pilihan raya?

Sewaktu kerajaan menganugerahkan konsesi tersebut kepada syarikat konsesi, beberapa perkara yang kita perlu fahami bahawa terdapat beberapa perkara yang dibincangkan oleh wakil Majlis Ekonomi dengan syarikat konsesi seperti:

a. Tempoh konsesi - Tempoh yang diberi oleh kerajaan kepada syarikat untuk mengutip dan menyelenggara lebuh raya.

b. Kadar tol yang dikenakan - Kadar tol yang dipersetujui perlulah mengambil kira pertumbuhan pengguna lebuh raya dan juga tempoh konsesi.

Kadar tol juga perlu mengambil kira kadar keuntungan yang sesuai dengan tempoh dan risiko yang telah diambil oleh pihak syarikat konsesi.

Pihak syarikat perlu memberi sebab yang kukuh untuk meletakkan kadar tersebut kepada pihak Majlis Ekonomi supaya ia tidak mengaut keuntungan yang banyak dan menindas pengguna.


Untuk sebuah syarikat swasta menerima sesebuah projek, ia harus memastikan pulangan yang bakal diterimanya setimpal dengan risiko yang perlu diambil. Antara risiko yang perlu dihadapi oleh mereka adalah risiko pembinaan, risiko pertumbuhan pengguna lebuh raya, interest rate risk, force majeure, dan risiko-risiko lain.

Dalam pengiraan kadar pulangan yang sesuai, carta aliran tunai yang disediakan oleh pihak syarikat dalam siri rundingan dengan Majlis Ekonomi telah mengambil kira kenaikan kadar tol yang sesuai dan dikira tidak membebankan para pengguna dan akan disemak mengikut sela masa yang telah ditentukan.

Semasa proses semakan dijalankan, wakil Majlis Ekonomi akan meminta pihak syarikat konsesi untuk menyediakan laporan terkini dan proposal yang munasabah untuk menaikkan kadar tol. Laporan tersebut perlulah disertakan sekali dengan kajian trafik di lebuh raya berkenaan.

Sekiranya laporan tersebut munasabah dengan kadar kenaikan yang diminta, pihak kerajaan perlu mengumumkan kenaikan kadar tol tersebut.

Sekiranya kerajaan tidak menaikkan kadar tol, maka pihak kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi dengan bayaran tunai atau memanjangkan lagi tempoh konsesi.

Seperti negara-negara lain, contractionary fiscal policy bukanlah sesuatu yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan menjelang pilihan raya. Ini bukanlah sesuatu yang asing dan sering menjadi praktis kepada kebanyakan kerajaan lain di seluruh dunia menjelang pilihan raya.

Jadi adakah wajar tindakan kerajaan menaikkan kadar tol di 13 lebuh raya serentak?

Soalan yang sepatutnya ditanya adalah mengapakah kerajaan menangguhkan kenaikan kesemua kadar tol tersebut dan mengakibatkan kenaikan mendadak untuk kesemua lebuh raya tersebut.

Sekiranya kerajaan akur dan membuat kenaikan tol tersebut mengikut sela masa yang telah ditentukan, kemungkinan besar kadar kenaikan tidaklah setinggi kali ini dan tidak terasa terlalu membebankan rakyat.

Kadar kenaikan kali ini terlalu tinggi dan sangat membebankan rakyat kerana beberapa siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dilakukan oleh kerajaan sejak September yang lalu.

Kenaikan ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada pengguna lebuh raya tetapi juga kepada harga barang-barang. Lori kontena yang menggunakan lebuh raya yang dikenakan caj tol pada kadar yang baru sudah pasti akan meningkatkan kos pengangkutan dan seterusnya kenaikan harga barangan di pasaran.

Benarkah kerajaan berupaya mengawal kenaikan kadar tol? Ada yang berpendapat bahawa kerajaan berupaya untuk mengawal kenaikan kadar tol kerana kebanyakan pemegang saham syarikat konsesi adalah GLC. Adakah ini benar?

Syarikat konsesi adalah entiti yang berbeza dengan pemegang saham. Walaupun KWSP, PNB dan Khazanah adalah pemegang saham terbesar di dalam sesetengah syarikat konsesi, harus diingat mengapakah kesemua entiti ini melabur sejumlah wang simpanan rakyat ke dalam syarikat konsesi ini?

KWSP dan PNB adalah entiti bisnes yang menjamin pulangan tetap kepada pencarum jadi ia memerlukan sebuah pelaburan yang stabil dan menjamin pulangan yang konsisten seperti lebuh raya.


Pulangan yang sepatutnya diperolehi oleh pemegang saham (KWSP, PNB) ini bergantung kepada projected cashflow yang telah dikira dengan mengambil kira kadar kenaikan tol pada setiap sela masa yang ditetapkan.

Apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini?

Kerajaan boleh memberi penerangan yang jauh lebih baik daripada sekadar mengarahkan rakyat untuk menggunakan jalan raya biasa yang tidak bertol.

Dalam usaha kita menjadi negara berpendapatan tinggi yang berkepakaran dalam pelbagai bidang, rakyat tidak sepatutnya dimomokkan dan dibodohkan dengan alasan-alasan yang sangat tidak munasabah sebaliknya rakyat perlu dididik dan dijelaskan dengan baik serta alasan yang boleh diterima akal.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menangani masalah ketirisan dan keborosan melampau dalam penggunaan dana awam (seperti yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara 2012 dan tahun-tahun sebelumnya).

Isu kenaikan yang tidak dapat dielakkan seperti tol ini tidak akan menjadi isu yang besar sekiranya kerajaan sudah mula cermat dalam menguruskan perbendaharaan negara sejak awal lagi.

Namun perkara ini tidak berlaku. Kerajaan tetap berbelanja dengan cara yang tidak cermat dan sebaliknya meminta rakyat untuk berjimat. Sekiranya isu ketirisan melampau ini dapat ditangani oleh kerajaan, nescaya kenaikan tol ini dapat dirasionalisasikan oleh rakyat dengan lebih mudah.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: