Isnin, Julai 07, 2014

Pusat judi, pelacuran dan makna 'kebersihan' bagi Kuala Lumpur?


Kuala Lumpur akan bersih apabila dikuatkuasakan larangan terhadap orang perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi makanan percuma kepada warga gelandangan Kuala Lumpur. Itulah yang saya faham daripada kenyataan awal Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansur apabila mahu 'menangkap' orang yang memberi makanan dan warga gelandangan yang menerima makanan percuma. Kenyataan-kenyataan yang berikutnya agak lembut selepas banyak pihak melihat tindakan ini agak tidak wajar.

Siapa warga gelandangan? Warga gelandangan tidak semestinya pengemis atau pesakit mental tetapi juga warga kota yang tidak mampu memiliki premis untuk berlindung. Banyak dalam kalangan warga gelandangan ini mempunyai pekerjaan tetapi tidak mampu untuk menyewa waima sebuah bilik kecil di Kuala Lumpur. Mereka inilah yang tidur di bawah jambatan dan di kaki lima bangunan sementara menunggu siang. Sebungkus nasi besar ertinya bagi mereka dan hanya yang berjiwa marhaen sahaja yang tahu nilai sebungkus nasi kepada warga gelandangan.

Saya mengakui ada sesetengah warga gelandangan yang membuang sisa makanan di merata-rata tempat, tidur di tempat awam hingga mengganggu lalu lalang. Tetapi ini tidak cukup untuk saya bersetuju bahawa hanya mereka sahaja yang mengotorkan Kuala Lumpur. Saya percaya ada lain yang lebih mengotorkan, bukan sahaja kepada imej Kuala Lumpur tetapi memberikan kesan jiwa yang buruk kepada masyarakat.


Tetapi kalau ada pihak boleh meyakinkan saya bahawa melarang memberi makanan percuma kepada warga gelandangan boleh membersihkan Kuala Lumpur, walaupun tidak sampai hati, tetapi saya akan menyokong. Bagaimanapun kita kena faham juga apakah makna 'kebersihan' kepada Kuala Lumpur dalam konteks yang lebih luas. Bagi saya Kuala Lumpur yang bersih ialah Kuala Lumpur yang bebas pusat pelacuran, pusat judi dan pusat-pusat hiburan yang bertentangan dengan Kuala Lumpur sebagai bandar raya berimej Islam.

Minggu lalu akhbar Mingguan Malaysia membuat pendedahan eksklusif bahawa di Kuala Lumpur sahaja dianggarkan terdapat lebih 2,000 pusat judi yang transaksinya tidak kurang RM40 juta sehari. Ini belum lagi berselerak pusat pelacuran yang seolah-olah diberi permit untuk menjalankan operasi tanpa merasa takut dan bimbang. Lebih teruk lagi ada kes di mana serbuan dan rampasan mesin judi dibuat pukul 2 pagi, tetapi pukul 4 pagi boleh beroperasi semula.

Sebenarnya semua ini lebih mengotorkan imej Kuala Lumpur malah menjadi satu tempat pencambahan penyakit sosial yang memberikan kesan yang sangat buruk kepada masyarakat. Kuala Lumpur ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sepatutnya membersihkan segala kekotoran ini. Saya begitu terkejut apabila di Kuala Lumpur ada lebih 2,000 pusat judi kerana sebagaimana banyak orang tahu DBKL sangat tegas. Ini diperlihatkan dengan operasi mengangkut gerai-gerai haram dengan lori DBKL.

Merampas gerai haram untuk membersihkan Kuala Lumpur. Itu bagus. Tetapi janganlah gerai haram sahaja - yang menjadi punca rezeki pemilik untuk membesarkan dan sekolahkan anak-anak. Pusat-pusat judi kena ambil tindakan juga. Kalau gerai haram mencacatkan pandangan, pusat judi dan pusat pelacuran mencacatkan jiwa warga Kuala Lumpur. Ini lebih teruk.

Penyanggak-penyanggak dari Pakatan Haram mengambil kesempatan dari isu gelandangan. Sebelum ini mereka langsung tidak pedulikan nasib para gelandangan di sekitar Kuala Lumpur! Mengapa sekarang?

Mengenakan peraturan itu dan ini kepada warga gelandangan termasuk melarang diberi makan percuma hanya pendekatan mudah supaya Kuala Lumpur kelihatan bersih. Tetapi kebersihan itu hanya luaran. Tidak bersihlah kalau luar nampak bersih tetapi di dalamnya penuh dengan kekotoran sosial.

Hasrat membersihkan Kuala Lumpur memang baik dan perlu disokong. Tetapi biarlah agenda pembersihan diperluaskan kepada semua pihak yang mengotorkan Kuala Lumpur. Melarang memberi makanan percuma kepada warga gelandangan tidak cukup untuk membersihkan Kuala Lumpur kalau kekotoran yang terlindung dari pandangan mata tidak dibersihkan.

Seorang kawan saya pernah mengamuk apabila gerai burgernya 'diangkut' naik lori. Tetapi saya mewaraskan dengan berkata bahawa dia berniaga secara haram. Ini tidak adil kepada orang lain yang membayar lesen untuk berniaga. Kawan saya akhirnya insaf dan menerima hakikat bahawa tindakan DBKL adalah betul. Tetapi apabila berselerak pusat judi seperti yang didedahkan Mingguan Malaysia Ahad lalu, saya sudah tidak ada hujah untuk mempertahankan DBKL kalau kawan saya menyoal balas tindakan saya menyalahkan dia dahulu. Saya pasti tidak ada hujah untuk menangkis tohmahan bahawa DBKL hanya menangkap bilis dan melepaskan jerung.


Mengambil semangat Tengku Adnan yang bertujuan baik untuk membersihkan Kuala Lumpur, apa kata kalau tindakan tegas dalam isu warga gelandangan diperluaskan kepada pusat judi dan pusat pelacuran. Ini Kuala Lumpur bukan Bangkok yang ada Pat Pong. Tetapi biasalah warga gelandangan ini tidak ada kuasa politik dan kuasa wang, mereka tidak berdaya untuk membantah malah sentiasa menurut perintah. Tetapi pusat judi dan pusat pelacuran ada kuasa wang. Kuasa ini boleh membuatkan undang-undang tidak dapat dilaksana, sistem akan menjadi tergendala, masyarakat menjadi mangsa.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: